INISIATIF MANIFESTO RAKYAT

Jawatankuasa Penyelaras

Bosses Group, ERA Konsumer, Ex-ISA Detainees Group, Gabungan Rumah Panjang, Group of Concerned Citizens, Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar, Majlis Graduan Malaysia,  Persatuan Masyarakat Selangor & Wilayah Persekutuan, Persatuan Sahabat Wanita Selangor,  Pusat Komunikasi Masyarakat, Suara Rakyat Malaysia,

Women’s Candidacy Initiative

 

c/- 21 Jalan Muhibbah 8, Taman Muhibbah, 43000 Kajang, Selangor  tel-fax:  60-3-87378380

 

 


29 Julai 2000

 

KENYATAAN AKHBAR

 

 

Kami dari sebelas buah badan bukan kerajaan yang menganggotai gabungan Inisiatif Manifesto Rakyat ingin membantah sikap kerajaan, khususnya pihak polis dan kepimpinan yang mengeluarkan amaran umum seolah-olahnya akan wujud rusuhan dan keganasan pada hari 4 Ogos 2000 yang menghalang perbicaraan mahkamah dan perundangan negara. Malahan, ia seolah-olah dikaitkan dengan isu rompakan senjata oleh kumpulan Al-Maunah dan juga beberapa insiden rampasan senjata dan aktiviti keganasan lain yang berlaku sejak akhir-akhir ini. 

 

Pendirian kami adalah jelas - bahawa kami membantah sekeras-kerasnya segala kegiatan keganasan sebagai cara penyelesaian masalah atau konflik. Tetapi, ia tidak seharusnya disalahkaitkan dan dikelirukan dengan hak asasi rakyat untuk mempraktik hak berhimpun secara aman untuk menyuarakan pendapat dan aspirasi mereka.

 

Kami menyeru agar pihak kerajaan dan  parti-parti politik henti membuat andaian dan tuduhan tanpa asas terhadap satu sama lain  mengenai isu rampasan senjata sebelum laporan yang berkredibiliti dikeluarkan.

 

Kami berpendapat bahawa pada prinsipnya, kerajaan harus bersikap terbuka dan demokratik bahawa rakyat berhak menyampaikan perasaan dan pendapat mereka melalui perhimpunan secara aman - perhimpunan rakyat 4 Ogos adalah suatu tanda  kesayangan rakyat kepada sistem keadilan dan juga suatu inspirasi dan hasrat  rakyat sendiri yang ingin menyuarakan keprihatinan mereka kepada pemimpin yang disayangi mereka,  bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kami berpendapat bahawa sesebuah pihak kerajaan yang matang mampu menghormati inspirasi dan hak rakyat yang ingin menyalurkan perasaan sayang mereka terhadap mana-mana kepimpinan negara mereka, dan bukannya menakut-nakutkan rakyat supaya akur kepada pemimpin negara.

 

Demi menegakkan hak berhimpun rakyat secara aman dan sistem demokrasi negara, pihak kami menyeru bahawa:

 

Pertama, kerajaan yang demokratik ini menghormati hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman tanpa diganggui oleh pihak polis. Hak berhimpun dan bersuara adalah hak asasi manusia yang diperakui sejagat demi mana-mana pihak menyuarakan keprihatian.  Mereka dalam sesuatu isu. Malah, hak tersebut telah temaktud di dalam perlembagaan negara kita, iaitu berhimpun secara aman adalah salah satu saluran yang sah untuk menyuarakan pendapat atau inspirasi rakyat.

 

Kedua, kami berpendapat bahawa Pihak Kerajaan atau kepimpinn yang bertanggungjawab tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang mengelirukan keadaan dan menakutkan rakyat jelata seolah-olah berlaku rusuhan pada 4 Ogos 2000.  Pihak polis  seharusnya menyiasat mana-mana kepimpinan yang mengeluarkan kata-kata tanpa asas, mengeliru dan menakutkan rakyat serta  mendatangkan kesan ketidaktenteraman awam.

 

Ketiga, kami membantah sekeras-kerasnya jikalau pihak polis atau keselamatan tidak menghormati hak berhimpun secara aman dan menggunakan keganasan terhadap rakyat yang berhimpun secara aman. Banyak kes-kes perhimpunan awam yang telah dijalankan sebelum ini sering menjadi kelam kabut akibat dari serang polis dengan cara ganas terhadap rakyat yang berhimpun secara aman. Justeru itu, kita menyeru bahawa polis  mengambil sikap profesional dan tidak menggunakan keganasan terhadap rakyat. Malah , kami menggesa pihak polis supaya memastikan tidak berlakunya provokasi dari pihak-pihak tertentu yang berniat menafikan hasrat rakyat berhimpun secara aman demi menegakkan prinsip keadilan dan demokrasi semula di negara ini.

 

Keempat, kami ingin menggesa pihak Suruhanjaya Hak Asasi (SUHAKAM) menghantar perwakilann untuk memantau situasi sebenar pada perhimpunan rakyat 4 Ogos 2000 dan memastikan pihak polis tidak bersikap ganas kepada  rakyat yang berhimpun secara aman. Ketua SUHAKAM, Datuk Musa Hitam telah mengakui dalam kenyataan rasmi beliau pada beberapa minggu yang lalu bahawa hak rakyat mempraktikkan hak asasi mereka dengan melibatkan diri dalam  perhimpunan aman harus dihormati dan  dibenarkan oleh pihak kerajaan dan polis.

 

Kami menyeru bahawa kerajaan Malaysia dan jua pihak polis agar menghentikan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dan menakutkan rakyat. Kami membantah mana-mana pihak yang cuba membuat provokasi atau keganasan untuk menafikan hak berhimpun secara aman.

 

Ditandatangani,

Irene Xavier

Bagi Pihak Inisiatif Manifesto Rakyat