From: 

"Parti Sosialis Malaysia PSM" <parti_sosialis@hotmail.com>

Subject: 

Mana hitam-putih...MB Perak dicabar !

Date: 

Wed, 06 Sep 2000 02:23:47 MYT

MANA HITAM-PUTIH …..MB PERAK DICABAR !

Ipoh, 5hb. September 2000

Hari ini, lebih enam ratus penduduk daripada Kampung Baru Kuala Kuang
berhampiran pekan Chemor di Perak membanjiri Pejabat Menteri Besar Perak,
Dato Seri Tajol Rosli. Mereka datang beramai-ramai setelah bosan menanti
satu surat hitam-putih yang dijanjikan oleh Menteri Besar Perak pada bulan
Mac 2000.

Para penduduk Kuala Kuang ini sejak hampir dua tahun memperjuangkan agar
satu kilang memproses getah dipindahkan daripada kawasan perumahan mereka
kerana kilang tersebut mengeluarkan bau busuk sehingga menganggu kehidupan
dan mengancam kesihatan mereka. Setelah berkempen untuk sekian lama,
akhirnya mereka mendapat sedikit harapan apabila Menteri Besar Perak yang
baru dilantik menjanjikan pada 8hb. Mac 2000 bahawa kilang tersebut akan
dipindahkan dalam masa dua tahun dan para penduduk akan diberitahu melalui
surat rasmi.

Para penduduk terus menunggu surat yang dijanjikan oleh MB. Para penduduk
juga menghantar empat surat untuk mengingatkan Menteri besar akan janji
memberikan surat tetapi tidak berhasil. Pada 23hb. Mei 2000, mereka telah
sekali berjumpa dengan MB yang sekali lagi berjanji akan memberikan surat
dengan segera. Namun demikian, surat yang dinanti tak sampai juga. Akhirnya
penduduk setelah bermesyuarat pada hari Ahad memutuskan untuk membuat satu
bantahan pada hari ini.

Para penduduk sejak 9 pagi telah membanjiri kawasan hadapan pejabat Menteri
Besar. Namun demikian mereka diberitahu bahawa MB Perak tidak ada kerana
pergi ke Korea. Mereka terkejut kerana baru semalam, mereka diberitahu MB
akan berada di Pejabat.
Turut bersama memberi sokongan ialah ahli-ahli Parti Sosialis Malaysia(PSM).
Setelah lama menunggu, akhirnya mereka telah ditemui oleh Setiasusaha Sulit
kanan kepada menteri Besar, Encik Karim dan Dato G.Rajoo(ahli Exco negeri
Perak). Mereka berdua memberitahu bahawa mereka datang mewakili pihak MB.
Mereka berdua kemudian didesak untuk mengeluarkan surat hitam putih yang
dijanjikan.Pihak penduduk juga menunutu tiga perkara iaitu :
1) Surat rasmi kilang akan dipindah dan tarikh bila.
2) Jabatan Alam Sekitar meletak satu Pejabat Sementera di kawasan tersebut
3) Tanah disana digazet hanya untuk pertanian atau perumahan sahaja.

Dua orang wakil MB kemudian meminta maaf dan berjanji surat rasmi akan
dikeluarkan sebelum 9hb. September 2000.

Akhirnya penduduk bersurai pada jam lebihkurang 12 tengahari dengan satu
lagi janji baru……….