Terima Kasih Matrix

 

Berita Harian Singapura:Khamis, 27 April 2000

Pembela diizin rayu keputusan tidak panggil Dr Mahathir

KUALA LUMPUR -- Hakim Mahkamah Tinggi di sini semalam menangguhkan perbicaraan kes liwat mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi membolehkan pihak pembela mengemukakan rayuan terhadap keputusan tidak memanggil Dr Mahathir Mohamad memberi keterangan di mahkamah.

Peguam bela, Encik Karpal Singh, memberitahu Hakim Datuk Arifin Jaka bahawa pihak pembela mahu meminta Mahkamah Rayuan menolak keputusan yang dibuat oleh Datuk Arifin minggu lalu yang menolak permintaan Datuk Seri Anwar untuk memanggil Perdana Menteri memberi kenyataan dalam perbicaraan ini.

"Saya membenarkan penangguhan keputusan itu dengan syarat anda mengemukakan rayuan dengan segera," kata Datuk Arifin, sebelum menangguhkan perbicaraan hingga ke satu tarikh yang tidak ditetapkannya.

Datuk Seri Anwar dibicarakan atas tuduhan meliwat yang boleh dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan dirotan.

Mantan timbalan perdana menteri itu yang dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dalam April tahun lalu atas tuduhan rasuah, menafikan dakwaan salah laku seks itu dan menuduh Dr Mahathir dan rakan-rakannya berkomplot untuk menjatuhkan beliau.

Minggu lalu, hakim memutuskan Dr Mahathir tidak perlu memberi keterangan dalam perbicaraan ini dan mengatakan bahawa tiada sebarang kenyataan yang menunjukkan Perdana Menteri Malaysia itu berkomplot menjatuhkan mantan timbalannya.

Datuk Seri Anwar mencabar keputusan Hakim Datuk Arifin itu.

"Saya minta Yang Aref menimbangkan semula keputusan tidak memanggil (Dr) Mahathir sebagai saksi...

"Keputusan ini berat sebelah," katanya.

Beliau selanjutnya telah meminta peguam belanya supaya menghentikan pembelaan.

Tetapi semalam, peguam bela Encik Christopher Fernando berkata pihaknya akan terus berusaha untuk menggunakan apa juga saluran undang-undang yang ada bagi mendapatkan Dr Mahathir memberi keterangan di mahkamah. -- Reuters.