LAPURAN BERITA HARIAN SINGAPURA

TERIMA KASIH MATRIX

 

Berita Harian Singapura:Sabtu, 22 April 2000

 

Pembangkang, aktivis hak asasi kritik hakim

 

KUALA LUMPUR -- Para pemimpin pembangkang dan aktivis kumpulan hak asasi manusia semalam mengkritik Hakim Mahkamah Tinggi kerana tidak mahu memanggil Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, memberikan ketera ngan sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat mantan timbalannya, dan mendakwa bahawa mahkamah menurut perintah pemimpin Malaysia itu.

"Kami amat tidak berpuas hati dengan keputusan itu," kata Encik Kerk Kim Hock, Setiausaha Agung DAP.

 

"Terdapat cukup bukti yang menunjukkan bahawa (Dr) Mahathir harus memberi keterangan," ujarnya.

 

Datuk Arifin Jaka memutuskan bahawa Dr Mahathir tidak perlu dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar dan sekaligus me ngetepikan semua usaha pihak pembela untuk menunjukkan adanya satu komplot politik menentang Datuk Seri Anwar.

 

Peguam bela Datuk Seri Anwar telah memanggil Dr Mahathir tahun lalu dan terus berusaha untuk mendapatkan perdana menteri itu tampil memberi keterangan tentang dakwaan-dakwaan yang beliau menjadi dalang satu skim menjatuhkan Datuk Seri Anwar.

 

Tetapi Datuk Arifin berkata tidak terdapat sebarang kenyataan yang Dr Mahathir terlibat dalam komplot serupa itu.

 

"Nampaknya sekarang, ada orang-orang tertentu yang boleh mengatasi undang-undang, termasuk perdana menteri," kata Cik Elizabeth Wong, jurucakap sebuah kumpulan hak asasi manusia, Suaram.

 

"Saya tidak fikir keputusan ini akan dapat memperbaiki keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman negara ini," katanya.

 

Dipecat pada September 1998, Datuk Seri Anwar menyatakan Dr Mahathir dan beberapa orang yang rapat dengannya telah berkomplot untuk menghancurkan kerjaya politiknya dan menghalangnya daripada mendedahkan pelbagai corak rasuah.

 

Datuk Seri Anwar kini menjalani hukuman penjara enam tahun setelah didapati bersalah pada April tahun lalu atas tuduhan menyalah- gunakan kuasa.

 

Jika didapati bersalah dalam kes liwat yang sedang dibicarakan itu, beliau boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun. -- AP.