TERIMA KASIH MATRIX

 

Soal letak jawatan: Daim enggan ulas

Menteri Kewangan juga nafi tidak sependapat dengan Mahathir atas beberapa isu
KUALA LUMPUR -- Tun Daim Zainuddin enggan mengulas khabar angin yang menyatakan beliau meletak jawatan Menteri Tugas Khas dan Menteri Kewangan Malaysia.
Beliau berkata: "Terpulang kepada PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad) memutuskannya."

Apabila ditanya sama ada beliau akan berhenti selepas membereskan usaha memulihkan ekonomi, beliau berkata: "Tugas saya hampir selesai tetapi kerja tidak akan selesai kerana sentiasa akan ada perkara-perkara baru yang timbul dari masa ke masa yang perlu ditangani."

Bercakap kepada pemberita selepas membuka satu seminar ekonomi di sini, beliau, yang ditanya siapakah yang mungkin menjadi pengganti sekiranya beliau berhenti, menjawab: "Ramai orang yang berkeupayaan mengambil alih."

Tun Daim juga berkata sasarannya bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) tahunan Malaysia ialah 8.0 peratus bagi tahun ini.

Untuk mencapai sasaran itu, katanya, perlu mengenal pasti bidang-bidang pertumbuhan baru bagi menjana kuasa lebih besar untuk mempertahankan ekonomi.

Para pengamat kebelakangan ini berkata khabar angin mengenai kemungkinan Tun Daim meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan mengakibatkan pasaran saham setempat lesu sejak beberapa minggu lalu walaupun Malaysia telah dimasukkan semula ke dalam Indeks Morgan Stanley Capital International.

Apabila Tun Daim dilantik sebagai Menteri Tugas Khas selepas Malaysia dilanda krisis kewangan serantau lebih dua tahun lalu, beliau berkata keutamaan terdekatnya ialah memulihkan ekonomi.

Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Kewangan Pertama dan selepas itu Menteri Kewangan.

Sebelum ini, Tun Daim sering berkata beliau akan meletak jawatan setelah mengemudi ekonomi keluar daripada kegawatan.

Beliau semalam turut menafikan mempunyai perbezaan pendapat dengan Dr Mahathir.

Khabar angin menyatakan Tun Daim dan Dr Mahathir tidak sependapat mengenai sebilangan isu.

Dr Mahathir juga telah menafikan perkara itu. -- Bernama.