DARI MATRIX

 

Mahkamah tolak rayuan Anwar panggil Dr M

KUALA LUMPUR -- Mahkamah Rayuan menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk tidak memanggil Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai saksi perbicaraan liwat beliau.
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Yunus, membuat keputusan itu setelah membenarkan bantahan awal oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, yang mengetuai pasukan pendakwaan, mengenai rayuan itu.

Tan Sri Lamin, yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Encik Denis Ong, juga mengarahkan supaya perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Arifin Jaka diteruskan.

Bagaimanapun, tiada ketetapan dibuat mengenai tarikh perbicaraan itu.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusannya, peguam utama Datuk Seri Anwar, Encik Christopher Fernando, memberitahu pemberita pihak pembela akan merayu kepada Mahkamah Persekutuan dan notis rayuan akan difailkan secepat mungkin.

Perbicaraan kes liwat itu telah ditangguhkan oleh hakim Datuk Arifin sementara menunggu rayuan diselesaikan.

Hakim Datuk Arifin telah memutuskan bahawa memanggil Dr Mahathir memberi keterangan dalam perbicaraan itu adalah penyalahgunaan proses mahkamah dan menjadi tanggungjawab beliau menge lakkan perkara seumpama itu berlaku. -- Bernama.