KIRIMAN MATRIX

 

'Strategi hadapi pilihan raya 2004'

Amanat Fadzil di muktamar ke-46 PAS

KUALA TERENGGANU -- Presiden Parti Islam (PAS), Datuk Fadzil Noor, berkata parti tersebut akan menghadapi masa paling mencabar dalam tempoh lima tahun akan datang terutamanya bagi menghadapi pilihan raya umum 2004.

Ini memerlukan parti itu mengambil pendekatan berstrategi termasuk memantapkan struktur organisasinya, kata beliau dalam ucapan merasmikan Muktamar Tahunan ke-46 PAS di Stadium Negeri di sini, semalam.

Turut hadir dalam perasmian itu ialah Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Kit Siang; Presiden Parti Rakyat Malaysia, Dr Syed Husin Ali, serta Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional, Dr Chandra Muzaffar.

"Persediaan secara rambang, penggemblengan tenaga di saat akhir, menggerakkan jentera selepas pengumuman tarikh pilihan raya adalah amalan usang dan tidak mungkin relevan lagi dalam konteks tuntutan semasa," Datuk Fadzil menegaskan lagi.

Menurutnya, PAS telah menyiapkan program penyusunan semula melalui rangka kerja pengauditan pengurusan.

Beliau berkata, PAS perlu memberi keutamaan kepada usaha untuk meraih kemenangan mutlak bersama parti pembangkang lain dalam pakatan Barisan Alternatif dengan menggunakan segala sumber dan kekuatan yang ada dengan sepenuhnya melalui sistem pengurusan yang canggih.

Datuk Fadzil berkata Barisan Alternatif memain kan peranan penting sebagai kaedah terbaik dalam pakatan keempat-empat parti pembangkang itu.

"PAS mempunyai potensi besar untuk membuktikan kepada dunia bahawa Islam mampu memerintah dengan pendekatan yang disenangi oleh rakyat termasuk orang bukan Islam," katanya.

Beliau juga berkata bahawa sejak awal lagi parti Islam itu komited untuk memelihara dan memimpin perpaduan ummah dan negara.

Menurutnya lagi, tema muktamar parti itu bagi tahun ini -- PAS Memimpin Perpaduan -- adalah selaras dengan usaha parti itu yang sentiasa mengajak semua golongan termasuk bukan Islam membina perpaduan dan keadilan. -- Bernama.