DARI MATRIX

 

Berita Harian Singapura:Jumaat, 2 Jun 2000

Ezam nafi dakwaan jalin hubungan sulit

Dikatakan bercinta dengan anak sulung Anwar
PORT DICKSON -- Ketua Pemuda Parti Keadilan, Encik Mohamad Ezam Mohd Noor, secara terbuka menafikan beliau mempunyai hubungan sulit dengan Nurul Izzah dan menyifatkan dakwaan itu sebagai satu pakatan jahat.

Beliau berkata dakwaan bekas pembantu peribadinya, Encik Zul Azhar Cha, bahawa beliau menjalin hubungan dengan anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai tidak berasas yang cuba merosakkan imejnya dan Nurul Izzah.

"Kalau saya layan cerita ini, mungkin saya kena jawab 1,000 lagi pertanyaan lain yang mungkin timbul esok... lusa.

"Orang seperti saya yang kuat menentang kerajaan di dalam dan luar negara seharusnya dilakukan sebegini.

"Mereka akan gunakan orang rapat dengan saya untuk menyerang saya," katanya kepada akhbar Utusan Malaysia semalam ketika ditemui di bilik gerakan jentera pilihan raya Keadilan Telok Kemang di sini.

Ini reaksi pertama Encik Mohamad Ezam terhadap tuduhan Encik Zul Azhar.

Encik Zul Azhar dalam satu sidang akhbar baru-baru ini mendakwa hubungan Encik Mohamad Ezam dan Nurul Izzah begitu rapat sehingga bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar itu pernah memanjat pagar rumah Nurul Izzah pada 3 pagi tahun lalu semata-mata untuk menyerahkan sendiri hadiah hari jadi daripadanya kepada anak sulung mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau juga mendakwa mempunyai bukti lain seperti bil telefon yang mencecah ribuan ringgit melibatkan perbualan antara Mohamad Ezam dengan Nurul Izzah.

Encik Mohamad Ezam berkata tindakan Encik Zul Azhar bersumpah bagi membuktikan kesahihan tuduhan itu tidak boleh diterima kerana "ramai orang bersumpah sekarang dan semua orang boleh buat cerita ini".

Beliau mencabar Encik Zul Azhar membuktikan beliau mempunyai hubungan sulit dengan Nurul Izzah.

"Dakwaan ini hanyalah serangan. Lainlah kalau ada bukti kukuh... gambar," katanya.