Resolusi Lunas 2000

BA perlulah meneruskan usaha konsolidasi barisan pembangkang dengan lebih giat lagi. Buat masa ini, sebahagian rakyat Malaysia masih melihat BA sebagai sebuah 'perkahwinan politik' yang rapuh dan boleh patah bila-bila masa sahaja. Ini seolah-olah dibuktikan benar apabila berlakunya perselisihan faham mengenai calon BA bagi kerusi Lunas yang akhirnya diperbesar-besarkan oleh jentera media BN. Kami merasakan pencapaian setakat ini adalah sangat membanggakan, namun konsolidasi ini perlu terus merentasi seluruh lapisan parti pembangkang, bukan sahaja di peringkat atasan seperti yang kita lihat sekarang. Kerjasama dan usaha ke arah pembentukan sebuah barisan pembangkang yang bersepadu ini perlu juga diterajui oleh lapisan bawahan dan pertengahan - dan kami gariskan cadangan-cadangan ke arah ini seperti yang di bawah:

1) Penggunaan lambang BA yang seragam

Kesediaan parti-parti pembangkang untuk bersepadu di bawah satu lambang akan menjadi bukti kesanggupan dan komitmen mereka terhadap Barisan alternatif ini. Lambang parti adalah identiti yang menjadi kebanggaan setiap parti, dan kesediaan mengorbankan identiti ini untuk satu lambang yang seragam adalah bukti kesediaan untuk terus bersama. Selagi BA tidak memutuskan untuk menggunakan satu lambang yang seragam bagi semua parti, identiti BA tidak akan dapat ditonjolkan kerana ia terpaksa bersaing dengan identiti parti-parti komponen seperti PAS, DAP, PRM dan keADILan.

Kami berpendapat rakyat kini tidak lagi membeza-bezakan parti pembangkang yang berlainan ini - kerana mereka terlalu mengharapkan sebuah barisan pembangkang yang berkredibiliti untuk mencabar keangkuhan BN. Atas dasar ini, penggunaan lambang yang seragam merupakan manifestasi perpaduan, kesetiakawanan, ciri pelbagai agama dan kaum dan kesatuan di dalam perjuangan.

2) Penyebaran maklumat BA secara induk

Kewujudan sebuah Pusat Media dan Penerangan BA yang menyelaras sebaran maklumat, promosi dan publisiti secara induk akan dapat mengenengahkan BA sebagai sebuah 'government in-waiting' yang mempunyai kecekapan dan kebolehan.

Kami mengalu-alukan kehadiran Saudara Rustam A. Sani sebagai Jurucakap Media BA, namun fungsi dan peranan beliau perlu disokong oleh sebuah badan media yang bergerak sepenuh masa di dalam usaha menampilkan BA sebagai sebuah badan politik - bukan 'perkahwinan politik' semata-mata. Atas dasar merapatkan jurang di antara peringkat pertengahan parti-parti BA, Pusat Media dan Penerangan BA perlu menggabungkan sukarelawan-sukarelawan BA dari seluruh komponen parti dan Gerakan Reformasi. Pusat ini perlulah bertanggungjawab menyelia laman web BA yang menjadi tempat induk segala dasar, polisi dan pergerakan BA.

Pengwujudan pusat ini juga boleh memberi peluang kepada PAS untuk menghulurkan tangan membantu parti-parti lebih kecil sama-sama membangunkan unit teknologi maklumat mereka, sedang parti-parti lain boleh menyumbangkan pendapat dan sama-sama menyumbangkan kepada sebuah media BA ini. Kami juga berharap pengwujudan pusat ini akan membolehkan semua aktiviti BA dipromosi secara sekata walaupun dianjurkan oleh parti yang berlainan - kerana matlamat kita sekarang adalah untuk menguatkan semua parti komponen sebagai persediaan bagi pilihanraya seterusnya.

3) Perincian manifesto BA dan inisiatif polisi

Kami tidak menafikan bahawa manifesto BA yang dibentangkan sebelum pilihanraya umum yang lepas adalah begitu komprehensif dan luhur. Walau bagaimanapun, Ma.S.A.M berpendapat manifesto semata-mata tidak akan dapat meyakinkan golongan pengundi atas pagar atau masyarakat bukan Melayu akan kebolehan BA memimpin Malaysia. Ini bukanlah salah BA kerana BN telah memerintah Malaysia sejak merdeka lagi, namun pada masa yang sama kita tidak boleh berpeluk tubuh menunggu rakyat mengubah fikiran mereka. Tanggungjawab menyakinkan rakyat Malaysia adalah terletak di bahu BA dan kami secara ikhlas berpendapat belum ada usaha bersepadu dilakukan untuk mengatasi persepsi segolongan pengundi Malaysia berhubung kebolehan BA ini. Perkara-perkara berikut perlu difikirkan:

Oleh yang demikian, kami mencadangkan Dr. Chandra Muzaffar dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Bertindak Dasar BA bagi menyelia dan memantau usaha ini. Jawatankuasa ini adalah diharapkan dianggotai oleh pemimpin dan aktivis sosial dari seluruh spektrum masyarakat dan parti komponen. Keberkesanan Jawatankuasa ini akan menutup mulut BN bahawa BA tidak berkemampuan memerintah kerana selama ini strategi mereka adalah memperbesarkan perkara ini - mereka sedar jika dibandingkan kredibiliti dan kebersihan moral, BN sudah lama kalah di dalam pertarungan ini.

4) Membina reputasi tokoh BA bagi pilihanraya yang akan datang

Kami mencadangkan agar Majlis BA memutuskan dari sekarang calon-calon tentatif yang akan bertanding bagi kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihanraya yang akan datang. Pertama, ini akan memberi masa yang panjang untuk menyelesaikan sebarang perselisihan faham mengenai calon di antara parti komponen BA. Kedua (dan yang lebih penting), ia akan membolehkan calon berkenaan mula mendekati masyarakat setempat dan memenangi hati pengundi mulai sekarang. Menilai prestasi calon BN, kita tahu bahawa pengundi seringkali tidak dipedulikan di dalam keghairahan mereka menghambat kemewahan wang dan kuasa.

Masa tiga tahun ini boleh digunakan untuk membina sokongan akar umbi supaya menjelang pilihanraya nanti, BA tidak akan mempunyai masalah memperkenalkan calonnya. Calon-calon tentatif ini juga boleh dilihat sebagai 'Shadow MPs' yang bertanggungjawab juga mengambil tahu kebajikan dan masalah masyarakat setempat - seterusnya menggunakan saluran BA untuk mengemukakan permasalahan ini ke peringkat yang lebih atas. Langkah ini kami rasa penting untuk mengasaskan BA (bukannya parti komponen) sebagai pejuang rakyat dan penggerak sosial - bukannya aktivis politik semata-mata.

5) Konsolidasi parti BA dan Gerakan Reformasi

Usaha menubuhkan BA di peringkat cawangan dan bahagian perlu dipercepatkan agar kerjasama peringkat akar umbi dapat berjalan sepenuh masa, bukan sempena pilihanraya semata-mata. Ini penting bagi mengukuhkan BA, namun yang lebih penting lagi - ia merupakan langkah pertama bagi mengeratkan perpaduan kaum. Kami mencadangkan perkara-perkara berikut bagi usaha konsolidasi ini:

6) Membina jentera pilihanraya yang lebih mantap

Parti-parti yang lebih muda dan kecil seperti keADILan dan PRM perlu mula memberi tumpuan serius membina jentera pilhanraya yang akan datang. Lunas membuktikan bahawa penipuan dan propaganda kerajaan akan dapat dipatahkan apabila jentera pilihanraya cukup bersedia untuk melawan angkara mereka. Di masa yang lepas, keADILan contohnya dikatakan tidak mempunyai sukarelawan yang cukup (tidak seperti PAS) untuk memantau proses pilihanraya. KeADILan dan PRM perlu melakukan usaha besar-besaran mencari lebih ramai ahli bagi menyiapkan satu jentera pilihanraya yang setanding dengan PAS di masa akan datang.

Kami siswa reformasi di seluruh dunia amatlah berharap agar cadangan-cadangan daripada resolusi ini akan diberi pertimbangan serius oleh pimpinan BA - dan dilaksanakan secepat mungkin jika dirasakan bersesuaian. Kita tiada masa untuk terus menunggu, dan percayalah - golongan muda sentiasa berdiri di belakang untuk memberi sokongan. Kemenangan Lunas perlu menjadi titik tolak kepada kemenangan kita yang lebih besar di masa akan datang.

Ahmad Kamal Mustapha, Ma.S.A.M (New York)