KOMENTAR

GERAKAN REFORMASI RAKYAT

14.06.2000

Salam Reformasi

 

PERLETAKAN JAWATAN MARINA YUSOFF

 

Heboh dalam e-group persoalan-persoalan perihal perletakan jawatan Pn Marina Yusoff sebagai Ahli Kepimpinan Tertinggi Parti keADILan Nasional. Pn Marina Yusoff suatu masa dahulu pernah menerima kritikan dari laman Komentar akibat beberapa keputusan beliau yang tidak diterima oleh kepimpinan peringkat penaja Bahagian Wangsa Maju tetapi Komentar harus melapurkan juga apa yang terkandung disebalik perletakan jawatan beliau. Komentar berharap penjelasan ini akan dapat menunjukkan beberapa perkara yang perlu di tangani oleh Ahli Majlis Tertinggi agar keADILan dapat dipulihkan dari terus tergelincir dalam usaha memperjuangkan reformasi.

 

MARINA PERNAH MENGUTUS EMAIL KEPADA KOMENTAR DAN MENUDUH KOMENTAR MENYEBARKAN FITNAH MENGENAI KEPIMPINAN

 

Ikhlas dikatakan Komentar pernah menerima email dari Pn Marina menggesa agar Komentar menghentikan kritikan terhadap kepimpinan. Sungguhpun begitu Komentar tetap dengan pendirian Komentar untuk cuba menangani kepincangan dalam keADILan agar jalan menuju ke pilihanraya akan datang lebih mantap. Setakat hari ini Komentar yakin Pn Marina kini mengakui tentang segala kenyataan yang pernah Komentar utarakan mengenai kepincangan beberapa kepimpinan yang meletakan agenda sendiri melebihi agenda parti.

 

ISU PERLETAKAN JAWATAN MARINA YUSOFF

 

Surat perletakan jawatan Marina Yusoff telah diutarakan jauh sebelum pilihanraya Teluk Kemang. Walaubagaimanapun pengumuman tersebut tidak dibuat bagi tidak menganggu pilihanraya tersebut. Sungguhpun terdapat mereka yang menyatakan bahawa isu perletakan jawatan berhubung kait dengan kesempitan dan tekan kewangan TETAPI itu bukan isu menyeluruh. Pelbagai isu yang menyebabkan Marina Yusoff meletakan jawatan. Komentar tidak akan menafikan kemungkinan benar Marina Yusoff menghadapi tekanan dari kerajaan berhubungan dengan kewangan tetapi yang pasti ialah Marina juga menghadapi krisis dengan Timbalan Presiden Dr Chandra Muzaffar. Komentar dilapurkan bahawa konflik antara Chandra dengan Marina memuncak sebaik sahaja pilihanraya umum ke 10 berakhir. Dari lapuran yang diterima Pn Marina telah mengajukan keresahan ini kepada Datin Presiden dan satu lapuran khusus dibuat oleh beliau kepada Chandra Muzaffar untuk menggesa beliau berhenti dari mainan politik murahnya.

 

ANTARA ISU BANTAHAN PN MARINA

 

Pergolakan dalam kepimpinan jelas bila Chandra melaksanakan pemusatan kuasa terhadap keputusan-keputusan penting dalam parti. Chandra mahu “the last word” dalam semua keputusan baik dalam mesyuarat MPT mahupun dalam mesyuarat biro khususnya Biro Politik. Beberapa tuduhan dibuat keatas Pn Marina dan tuduhan itu menyebabkan pergeseran besar berlaku antara kedua-dua kepimpinan tersebut.

 

Kuasa mutlak Chandra dalam pemilihan calon juga menjadi satu isu yang dipertikaikan oleh beberapa MPT. Yang jelas Pn Marina adalah antara kepimpinan MPT yang lantang bersuara menentang  beberapa keputusan Chandra Muzaffar.

 

Komentar tidak mahu dilihat sebagai pembela Marina kerana Komentar bukan pembela sesiapa kecuali menuntut kebenaran dan keadilan. Kita sekarang ini digembar gemburkan oleh kononnya Marina mahu memasuki kembali UMNO untuk menyelamatkan hutang-hutangnya. Kebenaran kenyataan ini masih tidak ada walaupun terdapat SATU LAMAN BARU yang berlogokan kerajaan Malaysia sebok mengakui yang mereka tahu. Laman itu kononya mahu membongkarkan kelemahan keADILan tetapi Laman itu pernah meletakkan kenyataan jijik seperti “siapa lelaki Marina yang terbaru”. Ini bukan menuntut keadilan dan kebenaran tetapa lebih kepada cerita gossip dan sensasi terbitan pendokong kerajaan yang kemungkinan mempunyai motif berbeza.

 

Biar apa pun Marina tetap didakwa atas intipati ceramah umum yang dikatakan subersif. Biar apa pun MPT sekarang kehilangan satu suara yang garang menentang agenda Chandra yang sehingga kehari ini tidak kita ketahui motif dan niatnya.

 

LAMAN WEB YANG TERLIBAT DENGAN TAFAKUR SEKETIKA SUDAH SEDAR DAN MAHU MEMBETULKAN LANDASAN PERJUANGAN

 

Tidak siapa yang tahu kenapa secara tiba-tiba Laman Web bergabung untuk menuntut perubahan dalam keADILan. Hakikatnya Laman Web reformasi khususnya Laman Mahazalim, Laman Pemantau dan Laman Komentar sering menerima input-input perihal pergolakan parti. Selama ini Laman lain berdiam kecuali Komentar. Tindakan bertafakur dilakukan kerana Laman Web menyedari bahawa masa telah pun suntuk untuk memperbaiki keadaan khususnya kerana Perhimpunan Agung keADILan akan diadakan selang beberapa hari sesudah pilihanraya Teluk Kemang. Selain dari input melalui siber input secara nyata turut membuatkan kesedaran bagi kami memberi satu signal yang kuat terhadap perlunya perubahan. Bagi mereka yang mengetahui , mereka yakin keputusan bergelap itu tepat. Bagi mereka yang tidak tahu berhelai-helai tulisan membidas dan mengutuk tindakan tersebut. Biar apa pun kutukan sekiranya pembetulan dapat dilaksanakan dan terus menjana kepada kejayaan tuntutan reformasi maka kami rela. Kami rela dikutuk dan ditohmah sebagai menerima wang dari pihak UMNO.

 

KINI MPT LAIN HARUS BERTINDAK AGAR MESYUARAT AGUNG keADILan SEMPURNA DAN TIDAK DIMANIPULASI OLEH SEGELINTIR MEREKA YANG BERAGENDA TERSENDIRI

 

Perjuangan perlu diteruskan bagi menjayakan tuntutan reformasi sehingga terbebasnya Sdr Anwar Ibrahim. Kejayaan ini memerlukan pengorbanan. Unsur-unsur negetif, beragenda tersendiri harus disingkirkan dan diketepikan. Kita juga perlu perubahan bagi menangani kelemahan dan mempertingkatkan kekuatan.

 

LAWAN TETAP LAWAN