Oleh Ummu Natasya

ummu_natasya@hotmail.com

 

Mahathir Mahu Kekal Selama-lamanya

 

KHABARNYA ketika MT Umno membincangkan pindaan perlembagaan, semua anggotanya sudah “dikunci” mulutnya.

Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan “pre-council” dengan empat atau lima grup dalam MT. Mereka mesti menyuarakan tidak perlu pindaan kecuali mengadakan pemilihan sekali selama sepenggal pilihan raya.

Abdullah Badawi sedar, Tengku Razaleigh Hamzah adalah saingan terdekatnya. Jika tidak disekat, dia akan terlepas peluang menjadi Perdana Menteri.

Itulah sebabnya, peratusan pencalonan dikekalkan dan sekali pemilihan setiap lima tahun juga diperkenalkan.

Seluruh perwakilan Umno yang “dungu” akan dipanggil berhimpun pada 18 November 2000 ini untuk “membincangkan” persetujuan Dr. Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi itu. Mereka berdua mahu mempusakai Umno tanpa memberi peluang orang lain menentangnya.

Bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Musa Hitam sudahpun menyuarakan pandangannya. Dia mahukan para perwakilan (ahli-ahli) membahaskan secara mendalam pindaan itu. Ini kerana dia sudah nampak, Dr. Mahathir mahu terus kekal sebagai Presiden Umno walaupun dengan cara “haram”.

Pada mulanya Dr. Mahathir mahu mencadangkan Presiden Umno hanya perlu ditandingi jika berlaku kekosongan, seperti kematian. Bermakna, tiada pertandingan seumur hidup dan giliran menjadi Presiden Umno dibuat mengikut sistem Raja-Raja Melayu, iaitu diganti yang baru selepas kematian.

Bagaimana pun, Dr. Mahathir tidak mahu dia dikritik dan itulah sebabnya dia hanya mahu meminda sekali pemilihan dalam tempoh lima tahun.

Dr. Mahathir mahu terus menjadi Presiden Umno dan terus menjadi Perdana Menteri. Baginya, tanpa dia Malaysia akan mundur dan masalah ekonomi tidak ada siapa yang mampu untuk menyelesaikannya.

Hakikat sebenarnya, dia khuatir dia akan ditangkap dan didakwa sebaik sahaja hilang kuasa. Dia tahu, seluruh dunia sedang menanti saat-saat “wajar” untuk memberkasnya.

Sibuklah Utusan Malaysia memainkan cerita betapa Joseph Estrada sudah semakin goncang sekarang. Akhbar yang sama juga sibuk memainkan cerita kejatuhan Habibie di Indonesia dan kini Gus Dur sedang kacau bilau menghadapi pelbagai masalah. Kononnya kesemua mereka ini adalah simpatisan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim ibarat air laut yang mahu pasang. Walau diempang, walau ditahan sekali pun, ia akan pasang jua. Begitulah juga Dr. Mahathir. Dia boleh diibaratkan sebagai air laut yang mahu surut. Walau diempang, walau ditahan, ia akan tetap surut juga. Oleh itu, masa sahaja akan menentukan kenaikkan Anwar dan kejatuhan Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir tidak boleh naik lagi. Dia sudah sampai ke kemuncak. Hari-hari dia asyik berleter dan melepaskan kerisauannya tentang keberanian anak-anak muda yang berada di dalam PAS dan keADILan. Baginya, Umno tidak mempunyai “baka”yang baik untuk diketengahkan.

Polis terus digunakan untuk menghalang segala bentuk aktiviti Barisan Alternatif (BA). Gertakan dan gas pemedih mata menjadi senjata yang cuba menakut-nakutkan. Namun, semakin hari, semakin jelas rakyat tidak gentar dengan gertakan dan ugutan.

Si mulut becok, Rafidah Aziz menafikan pelabur luar bimbang untuk datang ke Malaysia. Dalam masa yang sama, dia menafikan Wanita Umno yang diketuainya takut dengan kehadiran Azalina Othman Said, anak seorang pegawai rasuah yang dikenakan tindakan dahulu.

Rafidah menangis di depan Perdana Menteri; “Ingatlah jasa Wanita. Kerana Wanitalah Dato’ Seri (Dr. Mahathir) masih kekal di situ. Biarlah Puteri Umno lahir dari ‘perut’ Wanita Umno. Jangan buat-buat pandai kerana “ia cukup mengecewakan kami (Wanita)”!”

Khabarnya Sharizat Abd Jalil juga menangis sama. Shahrizat diminta menangis oleh Rafidah. Kalau mahu selamat dalam Wanita Umno, kena “menangis”… Rafidah dikatakan berpesan kepada Shahrizat. Maka menangislah “orang-orang tua” dalam Wanita Umno ini kerana mereka tahu, Dr. Mahathir juga pandai menangis untuk menarik simpati.

Berucap di Perhimpunan Agung Umno, Dr. Mahathir menangis. Baca sajak, Dr. Mahathir menangis dan kali ini, Wanita-Wanita Umno pula menangis di depannya. Baru jadi… menangis lawan menangis.