Mahathir Gagal Dapat Sambutan Di Universiti Putra Malaysia

Dr. Mahathir telah mengadakan lawatan di Universiti Putra Malaysia , Serdang pada 15/12/2000 yang lalu. Beliau tiba di UPM pada pukul 11 pagi dan terus menghadiri majlis sesi soal jawab bersama-sama dengan pimpinan-pimpinan mahasiswa kelab dan persatuan Universiti Putra Malaysia.

Sebelum beliau tiba , mahasiswa dan kakitangan yang menguruskan program tersebut terpaksa memanggil pelajar-pelajar yang tidak terlibat dengan program tersebut yang berada di luar Panggung Percubaan Dewan Besar untuk memenuhkan dewan sebelum ketibaan Perdana Menteri.

Pihak HEPUPM telah menapis soalan-soalan yang akan ditanya kepada Perdana Menteri sebelum majlis soal jawab itu berlangsung. Sebab itulah semasa sesi soal jawab itu berlangsung , kedengaran soalan-soalan yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut mahasiswa seperti "adakah Malaysia menjalinkan hubungan dengan kerajaan Israel ? " .

Selepas selesai program soal jawab bersama pimpinan-pimpinan mahasiswa , beliau terus pergi ke Masjid UPM untuk menunaikan solat Jumaat. Setelah selesai solat Jumaat pada hari itu kebanyakkan orang terus keluar daripada masjid. Tinggal hanya tidak lebih daripada 100 orang sahaja yang menunggu beliau di luar masjid.

Walaupun tidak ada sebarang demonstrasi diadakan selepas selesai solat jumaat tersebut , tindakan para mahasiswa UPM yang berjumlah hampir 40 000 dan peratusan pelajar muslimnya hampir 70 % untuk keluar bermai-ramai daripada masjid itu sudah menyampaikan mesej yang cukup jelas kepada Dr. Mahathir bahawa mahasiswa sudah menolak pemimpin yang mengamalkan corak pemerintahan ala-diktator itu.

Hanya segelintir kaki-kaki "ampoo" (istilah ini diambil daripada nama teater "tok Ampoo" arahan Hishamuddin Rais) yang kelihatan bersama-sama beliau selepas selesai solat Jumaat itu. Tetapi kelihatan juga para demonstran-demonstran yang kelihatan seperti menunggu siapa yang akan memulakan demonstrasi pada hari itu.

Selepas selesai solat Jumaat , Dr. Mahathir yang diiring oleh polis trafik , polis biasa , UTK (Unit Tindakan Khas) dan pengawal peribadinya terus ke Fakulti Veterinar untuk menyampaikan sijil ISO kepada fakulti tersebut.Setelah selesai beliau terus pulang meninggalkan Universiti Putra Malaysia.

Ini sudah cukup untuk membuktikan kepada UMNO dan Barisan Nasional bahawa mahasiswa-mahasiswa UPM telah menolak kepimpinan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Dr. Mahatir Mohammad. Mahasiswa-mahasiswa tidak lagi seperti di zaman sebelum era- Reformasi tercetus yang akan menyambut beliau ketika lawatan Perdana Menteri ke universiti.

Rakyat Malaysia seharusnya dapat melihat mesej yang disampaikan dengan jelas oleh mahasiswa UPM bahawa mereka juga bersama dengan rakyat menolak kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

Walaupun sering ditakut-takutkan dengan pelbagai cara seperti menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti ( AUKU ) dan sering juga ditimbulkan isu-isu untuk menakut-nakutkan dan melaga-lagakan rakyat seperti isu al - Ma’unah dan Suqui mereka ( baca : UMNO dan Barisan Nasional ) tetap gagal untuk meyakinkan mahasiswa untuk bersama mendokong perjuangan mereka.

Bayangkanlah sesi soal jawab bersama Perdana Menteri Malaysia gagal untuk mendapatkan tempat di hati mahasiswa UPM sehinggakan pihak HEPUPM dan mereka-mereka yang menguruskan program tersebut terpaksa mengarahkan pelajar-pelajar yamg berada di luar Panggung Percubaan Dewan Besar untuk masuk ke dalam dewan untuk memenuhkan dewan tersebut.

Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional seharusnya sudah dapat menerima mesej yang diberikan oleh mahasiswa UPM ini. Mahasiswa-mahasiswa UPM telah menunjukkan bahawa mereka bersama-sama mendukung perjuangan rakyat yang mahukan perubahan dilaksanakan dengan segera di Malaysia.

Mahasiswa-mahasiswa UPM telah jelas menunjukkan bahawa mereka sudah tidak mahu lagi berkompromi dengan pemerintah yang mengamalkan kronisme , korupsi dan nepotisme. Mereka sudah tidak sanggup lagi mengaku mereka ini ber"Perdana Menteri" kan Dr. Mahathir Mohammad.

Hussain al- Gombaki.

(Solidaritas Mahasiswa Untuk Demokrasi)