DARI MAHASISWA keADILan

 

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Beberapa hari ini perjuangan reformasi dan keadilan menghadapi serangan bertalu-talu. Sudah tentu serangan ini dirancang dan disusun strateginya oleh pecacai-pecacai Mahathir dan UMNO. Tindakan terbaru "hack" laman reformasi dengan memasukkan gambar lucah adalah satu lagi tindakan keji mereka.

Dalam saat-saat getir sebegini adalah amat perlu untuk kita sama-sama bersatu dan berpadu tenaga. Jangan diikutkan sangat perbezaan pendapat. Dalam menghadapi musuh yang semakin menggila kita perlu bersama. Jika tidak semakin ramai ahli dan pemimpin pertengahan yang akan hanyut dengan umpanan wang dan kesenangan.

Kesenangan yang mereka perolehi adalah sementera semata-mata. Ia tidak akan kekal dan berterusan keranan UMNO selepas ini tidak memerlukan mereka lagi. Namun apabila kehidupan makin terdesak, sudah tentu umpan mudah dimakan walaupun tidak seberapa.

Saya yakin setiap pendokong setia reformasi dan keadilan marah dan kecewa dengan tindakan meninggalkan parti terutamanya dalam kita menghadapi perjuangan di Telok Kemang. Namun apakah kita pernah mengambil berat dan cuba membantu meringankan beban mereka yang tersepit dengan masalah kewangan? Saya faham ini bukan sesuatu yang mudah namun kita perlu melakukan sesuatu.

Kita fikirkan bersama bagaimana kita boleh berdikari tanpa berharap kepada naungan seperti di dalam UMNO. Bijak pandai kita perlu berusaha memikirkan cara yang terbaik. Pendokong yang sedikit berada perlu melebarkan kepada yang kesempitan walaupun dermawan ini telah terlalu banyak menyumbang (terima kasih; ALlah jua membalasnya).

Rakan-rakan pejuang keadilan,

Saya adalah seorang yang sangat muda dalam perjuangan ini. Namun saya tidak pernah kesali penglibatan dalam perjuangan ini. Saya percaya perjuangan ini bukan kerana membela kelompok tertentu atau demi mengenyangkan tembolok.

Saya tidak pernah kesal walaupun diBUANG dari universiti di tahun tiga. Tidak pernah saya menyalahkan sesiapa melainkan Mahathir dan kuncu-kuncunya semata-mata. Sekarang ini saya berjuang juga untuk memastikan kehidupan dan masa depan saya. Walaupun saya pernah ditahan dan disoal siasat, saya tetap menghadiri demonstrasi dan saya sumbangkan tenaga setakat yang terdaya.

Saya bukanlah sesiapa di dalam parti. Saya juga tidak dikenali di kalangan "street fighters" (penghormatan dan tabik hormat saya untuk kalian). Saya bersyukur saya bukan orang besar; kerana jika orang besar banyak cubaannya. Saya lega kerana sebagai orang kecil saya tidak diumpan untuk belot.

Rakan-rakan seperjuangan -- street fighters, pendokong keADILan, webmasters dan semuanya,

Saya merayu agar kita sama-sama bersatu dan berpadu dalam menentang kezaliman Mahathir, Pak Lah dan kuncu-kuncu mereka. Bersatulah demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Walaupun kita punya perbezaan pendapat jangan kita hamburkan di media; websites dan jangan sekali-kali kita keluar parti. Kita harus kekal bersatu dan mendokong agenda reformasi. Kalau kita ada ketidakpuasan hati kita sampaikan melalui saluran parti. Perhimpunan Agung keADILan yang akan tiba kita gunakan sebaiknya untuk menyuarakan pandangan kita. Kalau majoriti ahli menerima maka kita laksanakan sebagai agenda bersama. Jika ditolak maka kita tetap bertaut kembali.

Kepada pemimpin-pemimpin parti,

Jika ahli merungut harap jangan diketepikan begitu sahaja. Kalau ahli membangkang harap jangan ditengking kembali. Sesungguhnya kalian diletakkan sebagai pemimpin adalah kerana kalian punya pengalaman, kebijaksanaan dan hikmah yang lebih. Gunakan hikmah itu dalam menyantuni ahli. Teruskan memimpin perjuangan ini. Harap bersabar dalam menghadapi cabaran.

Kepada semua,

Setiap pendokong reformasi perlu menyertai keADILan sebagai jentera rasmi kita. Jika reformis tidak menyertai keADILan bagaimana agendanya mahu dibentuk.

Kita serahkan kepada ahli, jika majoriti ahli mahukan pemimpin ditukar atau apa jua dipinda maka semua pihak perlu akur dengan kehendak ahli itu. Namun jangan kita desak dengan cara-cara di luar saluran perti.

Sekali lagi saya menyeru agar kita bersatu kerana saat ini amat memerlukan kekuatan semua pihak. Jangan ada perpecahan di kalangan kita. Sama-sama kita gemblingkan tenaga menentang kezaliman. InsyaALlah kita akan beroleh kemenangan.


Mahasiswa keADILan