“SHAHIDAN KASIM SAMAN LUTFI RM30 JUTA (berita yang dipetik dari HARAKAH)
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Editor Detik – majalah proreformasi yang diharamkan KDN – Ahmad Lutfi Othman, yang giat  menerbitkan makalah-makalah tidak berkala, kini menghadapi tekanan baru selepas Kementerian Dalam Negeri dilihat gagal menyekat kebebasannya untuk berkarya.
Menteri Besar Perlis, Shahidan Kassim telah mengemukakan notis tuntutan gantirugi kepada Lutfi dan juga pencetak makalah ADIL sebanyak RM30 juta di samping perlu meminta maaf di muka surat hadapan setiap akhbar-akhbar di Malaysia dalam masa 14 hari. (ADIL merupakan salah satu tajuk dari makalah-makalah politik semasa yang diterbitkan Penerbitan Pemuda).
Tuntutan itu  ekoran terbitnya berita bertajuk “MB Perlis Arah Sekat Biasiswa Baitulmal” tulisan ‘Ain Azmi yang dipetik daripada akhbar internet popular, Malaysiakini, 7 Jun lalu.  Berita berkenaan adalah susulan daripada liputan   akhbar The Sun yang melaporkan bahawa bantuan kewangan kepada pelajar Perlis yang  antikerajaan di Asia Barat akan ditarik balik dan mereka kini sedang mengawasi kegiatan pelajar terbabit melalui kedutaan Malaysia.
Bagaimanapun laporan yang memetik  Pengerusi Baitulmal, Abu Bakar Ahmad itu menyatakan “setakat ini kegiatan mereka masih terkawal” walaupun dipercayai berjaya dipengerusi pembangkang.
Melalui syarikat guaman Jamil Mohamed Shafie & Associates, dalam suratnya bertarikh 15 Ogos lalu, yang dihantar kepada pencetak ADIL, ada dicatatkan:
“Antara ayat-ayat yang berunsur fitnah (dalam berita itu) ialah ‘Arahan agar menyekat biasiswa pelajar luar negara tajaan Baitulmal Perlis dikatakan datang dari Menteri Besar sendiri, Shahidan Kasim yang bertanggungjawab meluluskan peruntukan dana pendidikan didakwa berbuat demikian sebagai memenuhi desakan ahli-ahli Umno. Pihak tuan telah secara palsu dengan niat jahat mengeluarkan artikel tersebut untuk menjatuhkan maruah, reputasi, kewibawaan dan status anakguam kami sebagai pemimpin Umno Negeri Perlis, menerbitkan kata-kata pada pengertian biasa dan makna semulajadi adalah palsu dan fitnah terhadap anakguam kami dengan niat dan sengaja di dalam keghairahan menyebar fitnah untuk menjatuhkan anakguam kami sebagai Menteri Besar Perlis.”
Ahmad Lutfi ketika dihubungi berkata, beliau belum mendapat apa-apa notis daripada Shahidan. Bagaimanapun, dilaporkan pencetak ADIL, telahpun menerima surat tersebut Sabtu lalu. “Saya dimaklumkan tuntutan yang sama telahpun dihantar kepada saya. Yang pasti, kami menyiarkan berita berkenaan tanpa sebarang niat buruk. Dan saya diberitahu oleh pemberita Malaysiakini, dia mempunyai asas kukuh dan sumber yang sahih daripada seorang pegawai kanan Majlis Agama Islam Perlis, atas apa yang dilaporkannya,” tambah Lutfi.
“Tetapi, jika benar berlaku percanggahan fakta dan Shahidan ingin membuat pembetulan, kami bersedia menyiarkan keterangan dari pihaknya dalam makalah lain pada masa akan datang.  Kami sentiasa memberi ruang seadanya kepada mana-mana pihak  untuk membuat jawapan balas terhadap sebarang keraguan yang timbul.
“Adalah menjadi dasar kami untuk tidak menyiarkan berita atau laporan palsu. Namun setakat ini kami belum menerima apa-apa penjelasan  daripada pihak Shahidan mengenai berita tersebut,” katanya lagi.