Lunas, Sekolah Wawasan, dan Perpaduan  Rakyat

Oleh Hassan Karim

Saya datang ke Lunas untuk membantu Saifudin Nasution Ismail, calon
Barisan Alternatif dari Parti Keadilan Nasional (Keadilan). Saya sempat
berceramah, antaranya di dua tempat yang halayaknya masyarakat Cina
iaitu di Pekan Lunas dan juga di Kilang Sago. Saya bercakap hanya
mengenai satu isu sahaja iaitu Sekolah Wawasan. Walaupun saya mahu BA
menang;  walaupun saya mahu meraih undi untuk  Saifudin tetapi saya
tegas mengingatkan diri saya sendiri supaya  bercakap sebagai seorang
ahli politik yang jujur dan bermaruah. Saya perlu bertanggungjawab
tentang apa yang saya cakapkan.

Saya bernasib baik kerana sebelum datang ke Lunas telah sempat
berbincang dengan kepimpinan PRM mengenai isu Sekolah Wawasan itu.
Selain itu saya agak beruntung kerana dapat bersama-sama dalam delegasi
12 orang pemimpin PRM mengadakan dialog dengan Dong Jiao Zong di Kajang
pada hari Rabu 22 November lalu.

Ramai anggota masyarakat kita, terutamanya orang-orang Melayu tidak
kenal apakah itu Dong Jiao Zong dan mengapa mereka membantah penubuhan
Sekolah Wawasan. Dong Jiao Zong adalah nama kolektif bagi dua badan
peringkat nasional bagi sekolah-sekolah Cina. Yang pertama ialah
Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia
(Dong Zong). Satu lagi ialah Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina
Malysia (Jiao Zong). Apabila dua nama pertubuhan itu digabungkan, ia
dipanggil dengan ringkas sebagai Dong Jiao Zong. Dong bererti
jawatankuasa; jiao bererti guru-guru; dan zong bererti pertubuhan
nasional.

Jadi saya rasa sedikit sebanyak saya faham tentang pendirian  Dong Jiao
Zong dalam isu Sekolah Wawasan itu. Saya tidak bersetuju dengan
pernyataan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di Kubang Pasu pada hari
Ahad 26 November, yang menuduh Dong Jiao Zong sebagai golongan ekstremis
Cina kerana membantah penubuhan Sekolah Wawasan. Sebenarnya, Dr Mahathir
kecewa dan marah kerana Dong Jiao Zong kelihatan menyokong Barisan
Alternatif dalam pilihanraya kecil Lunas, 29 November lalu.

Dari perbincangan antara pemimpin PRM dengan Dong Jiao Zong selama tiga
jam di Kajang itu, saya berani berkata bahawa Dr Mahathir telah tersilap
kerana menuduh Dong Jiao Zong sebagai golongan ekstremis. Mereka bukan
golongan ekstremis. Mereka adalah ahli pergerakan pendidikan Cina yang
ingin menjaga dan melindungi kelangsungan sekolah-sekolah Cina.

Mereka di dalam Dong Jiao Zong juga inginkan perpaduan kaum dan rakyat
di Malaysia ini. Mereka hanya membantah penubuhan Sekolah Wawasan.
Bantahan itu  ada sebab-sebabnya. Sama ada kita bersetuju atau tidak
dengan sebab-sebab itu, adalah wajar untuk kita faham terlebih dahulu
dan melihat dengan fikiran terbuka apakah alasan-alasan bantahan Dong
Jiao Zong itu.

Tetapi sebelum itu patut difahami apakah itu konsep Sekolah Wawasan?
Konsep Sekolah Wawasan ialah menempatkan dua atau tiga buah sekolah
rendah berlainan aliran dalam kawasan yang sama dan menggunakan
kemudahan sekolah secara bersama. Kerajaan berkata matlamat Sekolah
Wawasan adalah untuk menggalakkan intergrasi dan memupuk perpaduan di
kalangan murid-murid pelbagai kaum. Tetapi Dong Jiao Zong tidak
bersetuju dengan konsep Sekolah Wawasan itu kerana pada akhirnya apa
yang dilakukan itu menuju kepada penggabungan sekolah-sekolah berkenaan.
Dengan lain perkataan, Dong Jiao Zong bimbang lama kelamaan pada
akhirnya sekolah-sekolah Cina yang ada sekarang akan pupus, iaitu secara
beransur-ansur.

Hujah-hujah bantahan Dong Jiao Zong ialah:

(a) Jalan atau pintu masuk yang sama, bangunan yang sama ataupun
bangunan-bangunan yang disambung antara satu sama lain dengan jambatan
penghubung semuanya bererti secara fizikal hanya terdapat sebuah sekolah
sahaja;
(b) Waktu rehat yang sama, perhimpunan bulanan yang sama, peserta
pertandingan aktiviti kurikulum atau kokurikulum dihantar sebagai satu
pasukan sekolah wawasan, mengadakan secara bersama temasya sukan
tahunan, hari guru dan hari kantin, semuanya bererti sebahagian
pentadbiran sekolah-sekolah itu telah digabungkan;
(c) Setiap Sekolah Wawasan akan membentuk satu Jawatankuasa Penyelaras
yang terdiri daripada Guru Besar dan guru sekolah masing-masing.
Penubuhan Jawatankuasa Penyelaras itu bererti kuasa guru besar
sekolah-sekolah berkenaan akan tersekat. Perkara-perkara yang dahulunya
boleh diputuskan oleh guru besar itu sendiri sekarang perlu dapat
kelulusan daripada Jawatankuasa Penyelaras;dan
(d) Penubuhan Jawatankuasa Penyelaras itu akan menjadikan Lembaga
Pengelola   sekolah rendah Cina berkenaan kehilangan kedudukan dan
kuasanya. Bagi masyarakat Cina, Lembaga Pengelola adalah penjaga dan
pelindung sekolah rendah Cina. Sebarang tindakan yang cuba melemahkan
atau menghapuskan kedudukan dan kuasa lembaga pengelola sekolah rendah
Cina dilihat sebagai satu ancaman kepada kedudukan sekolah rendah Cina
berkenaan.

Demikianlah pendapat Dong Jiao Zong mengenai Sekolah Wawasan seperti
yang tercatat di dalam satu dokumen yang  bertajuk, “ Soalan-Soalan
Mengenai Projek Sekolah Wawasan” yang dikemukakan dalam dialog
pertubuhan itu dengan PRM.

Terdapat sesetengah pihak telah salah anggap tentang pendirian Dong Jiao
Zong itu lalu menuduh pertubuhan itu tidak inginkan intergrasi dan
perpaduan antara murid-murid pelbagai kaum, dan seterusnya menuduh Dong
Jiao Zong tidak patriotik. Kini Mahathir menambah lagi dengan tuduhan
ekstremis Cina terhadap Dong Jiao Zong.

Untuk bersikap adil perlu disebut bahawa Dong Jiao Zong menyokong
usaha-usaha menggalakkan interaksi antara murid-murid pelbagai kaum.
Tetapi ia berpendapat pentadbiran serta aktiviti pengajaran dan
pembelajaran sekolah masing-masing tidak harus diganggu. Dong Jiao Zong
tidak setuju jika sekolah-sekolah dijadikan sasaran untuk digabungkan,
meskipun atas alasan “menggalakkan semangat intergrasi antara
murid-murid”. Seterusnya Dong Jiao Zong berpendapat bahawa adalah baik
menggalakkan interaksi demi memupuk semangat toleransi dan perpaduan
antara murid-murid pelbagai kaum melalui aktiviti-aktiviti luar bilik
darjah seperti yang disenaraikan dalam Rancangan Intergrasi Murid-Murid
Untuk Perpaduan Tahun 1986.

Dalam ceramah-ceramah saya kepada masyarakat Cina di Lunas saya berkata
kepada mereka bahawa saya faham akan kebimbangan mereka terhadap
cadangan kerajaan menubuhkan Sekolah Wawasan. Kebimbangan itu ada
asasnya. Saya melihat kerajaan BN telah melakukan kesilapan dalam isu
Sekolah Wawasan. Kerajaan BN mendakwa Sekolah Wawasan itu bertujuan
untuk menyatukan rakyat. Tetapi masyarakat Cina pula menganggap Sekolah
Wawasan itu adalah titik permulaan kepada lenyapnya sekolah-sekolah
Cina. Kekalahan BN di Lunas ada kait mengaitnya dengan isu Sekolah
Wawasan ini.

Di Pekan Lunas dan di Kilang Sago saya berkata sikap bimbang masyarakat
Cina itu berpunca antaranya kerana sikap kerajaan BN yang mahu
melaksanakan Sekolah Wawasan itu secara paksa, iaitu cadangan datang
dari atas. Tidak dinafikan ada perbincangan antara Kerajaan dengan Dong
Jiao Zong dalam projek sekolah wawasan. Tetapi pandangan Dong Jiao Zong
tidak diambil kira. Perbincangan itu tidak ikhlas. Kerajaan kelihatan
memaksakan keputusannya ke atas Dong Jiao Zong dan masyarakat Cina
mengenai satu perkara yang menentukan masa depan sekolah Cina. Dong Jiao
Zong dan masyarakat Cina dipaksa supaya terima. Pada pandangan saya,
sesuatu dasar yang dilakukan secara paksa terutama yang menyentuh soal
pendidikan bahasa ibunda, sekiranya diteruskan juga, dikhuatiri ia boleh
membawa perpecahan rakyat, walaupun matlamat asalnya dikatakan mahu
mengwujudkan perpaduan rakyat.

Semasa dialog PRM dengan Dong Jiao Zong, saya bercakap berterus terang
di hadapan para pemimpin pertubuhan pendidikan Cina itu bahawa saya
masih percaya bahawa dalam usaha kita mahu membentuk satu masyarakat
Bangsa Malaysia yang bersatu padu, faktor Bahasa Kebangsaan dan Sistem
Pendidikan Kebangsaan dengan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar
adalah penting kerana ia dapat membantu mencapai tujuan tersebut. Saya
tegaskan perkara itu walaupun saya menyedari akan pendirian Dong Jiao
Zong dalam soal tersebut seperti yang tercatat di dalam Deklarasi
Pendidikan Bahasa Ibunda Dong Jiao Zong Tahun 1999  yang menyebut dua
belas tuntutan kepada pihak yang berkuasa. Antara tuntutan itu (tuntutan
yang kedua) ialah , “untuk menyingkirkan dasar pendidikan satu bahasa,”.

Saya menyedari bahawa perpaduan kaum tidak hanya ditentukan semata-mata
oleh faktor adanya satu sistem pendidikan yang anak-anak kita berada di
bawah bumbung yang sama. Banyak faktor lain turut menentukan bersatu
atau tidaknya masyarakat Malaysia kita ini. Tetapi apa yang mahu
disentuh sekarang ini ialah isu Sekolah Wawasan. Perbezaan misalnya,
antara pendirian saya dengan Dong Jiao Zong dalam soal Dasar Pendidikan
Kebangsaan secara keseluruhannya boleh dibincangkan di lain kesempatan.
Yang penting pada ketika ini perlu banyak dialog dan perbincangan supaya
salah faham dapat dihindarkan dan mencari jalan pemuafakatan. Sepatutnya
pendekatan seumpama ini perlu diambil oleh kerajaan.

Di hadapan orang-orang Cina di Lunas saya berkata adalah tidak adil,
malah zalim jika sekolah-sekolah Cina yang ada sekarang dihapuskan.
Kepada mereka saya tegaskan bahawa adalah satu hak asasi manusia bagi
setiap anak-anak di Malaysia kita ini untuk mendapat pendidikan dalam
bahasa ibunda mereka sendiri. Bagi anak-anak Cina bererti pendidikan
dalam bahasa Cina. Bagi anak-anak India bererti pendidikan dalam bahasa
Tamil. Ini satu hak asas manusia. Dalam soal bahasa ibunda, Dong Jiao
Zong dalam deklarasinya berkata, “Bahasa ibunda adalah jiwa sesuatu kaum
dan adalah cara bagi kaum itu untuk meneruskan warisan kebudayaan, dan
ia berkait rapat dengan status, maruah dan identiti kaum. Penerimaan ke
atas kewujudan dan perkembangan bebas pendidikan bahasa ibunda adalah
realisasi kesamaan antara kaum dalam bidang pendidikan,”

Ada beberapa perkara yang saya tidak bersetuju dengan Dong Jiao Zong
dalam hal-hal mengenai dasar pendidikan negara, seperti yang saya sebut
di atas. Tetapi dalam soal bantahan Dong Jiao Zong terhadap Sekolah
Wawasan, saya mempunyai pendirian yang agak rapat dengannya. Satu
perkara yang saya tegaskan di Lunas ialah perlunya kerajaan menghormati
dan memberi jaminan terhadap kepelbagaian dalam soal pendidikan bahasa
ibunda dan budaya di negara Malaysia yang pelbagai kaum dan etnik ini.
Sikap toleransi yang berprinsip perlu diamali. Pendekatan secara
paksa-paksaan oleh kerajaan tidak wajar digunakan.

Di hadapan seorang tokoh pendidikan Cina yang terkenal, Saudara Lee Ban
Chen dan ramai bekas ahli-ahli Parti Buruh dan Sosialis Fron serta
ahli-ahli PRM, DAP dan Parti Keadilan Nasional yang  berketurunan Cina
yang mendengar ucapan saya di Kilang Sago di Lunas, saya berkata secara
terus terang bahawa Sistem Pendidikan Kebangsaan dengan Bahasa Malaysia
sebagai bahasa pengantar adalah penting untuk dikembang dan dimajukan
bagi tujuan perpaduan rakyat dan pembinaan masyarakat Malaysia yang
bersatu padu pada masa sekarang dan juga hadapan. Tetapi dalam nafas
yang sama saya tegaskan bahawa kerajaan apapun juga di negara kita ini
mesti menjamin sekolah rendah Cina dan Tamil yang memberi pendidikan
dalam bahasa ibunda kepada anak-anak Cina dan India yang sedia ada
sekarang ini, malah sejak sekian lama di negara kita ini supaya
dipelihara, dibantu dan dijamin kelangsungannya.

Para menteri dan pemimpin kerajaan BN selalu berkata bahawa mereka tidak
berhajat untuk menghapuskan sekolah-sekolah Cina. Mereka berkata bahawa
tidak ada agenda tersembunyi untuk melenyapkan sekolah-sekolah Cina. Itu
kata mereka. Pendapat masyarakat Cina khususnya di kalangan Dong Jiao
Zong lain pula. Mereka mengkaji dan meneliti setiap tindakan kerajaan
dari dulu hingga sekarang berhubung isu sekolah Cina.

Satu aspek yang penting sekali ialah soal undang-undang. Mereka melihat
Akta
Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996 adalah ancaman ke atas
kelangsungan sekolah-sekolah Cina di negara ini dari sudut
undang-undang. Mereka melihat kewujudan akta-akta itu seperti sebilah
kapak tajam yang boleh memusnahkan masa depan sekolah-sekolah Cina
sekiranya kerajaan yang berkuasa mahu menguatkuasakannya. Dari segi
undang-undang kebimbangan masyarakat Cina itu ada asasnya.

Dalam dialog PRM dengan Dong Jiao Zong pada 22 November di Kajang,
Saudara Yong Pei Keng, Penasihat undang-undang kepada Dong Jiao Zong
banyak becakap untuk menghuraikan isu Sekolah Wawasan dari perspektif
undang-undang. Beliau adalah seorang peguam dari Johor Bahru dan kenalan
baik saya. Di Lunas, saya sempat bertemu beliau seketika. Ini
mengingatkan lagi saya kepada isu keadilan, isu hak asasi manusia, isu
demokrasi yang diucapkan oleh Yong Pei Keng. Mungkin tidak semua yang
beliau katakan itu saya setujui, tetapi hujah-hujahnya mengenai hak
mendapat pendidikan dalam bahasa ibunda sebagai satu hak asasi manusia,
satu bentuk keadilan yang tidak wajar dinafikan, saya kongsi bersama.

Kemudian, pada petang Ahad di Lunas, tiga hari sebelum Hari Pembuangan
Undi, saya sempat membeli sebuah akhbar tabloid,  Berita Keadilan,
terbitan Parti Keadilan iaitu keluaran 30 November. Saya dapati ada
sebuah tulisan saya pada muka surat 7 akhbar tersebut dengan tajuk,
“Apakah arah perjuangan politik kita?”

Saya baca kembali apa yang telah saya tulis dalam akhbar itu. Antara
lainnya saya berkata, “…apabila kita bercakap tentang keadilan, kita
bermaksud keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, budaya dan
agama. Begitu juga, apabila kita bercakap tentang hak asasi manusia,
maka kita bermaksud hak asasi bagi semua manusia. Ini jelaslah satu
cabaran kepada kita semua. Kita mahu membina satu sistem politik,
ekonomi dan sosial yang adil. Hanya dengan keadilan baru sebuah
masyarakat adil dapat dibangunkan,”.

Jadi isu Sekolah Wawasan perlu ditangani dengan memberi perhatian utama
kepada soal keadilan, hak asasi manusia dan juga demokrasi. Jambatan
harus dibina untuk menghubungi pendirian-pendirian yang berbeza di
kalangan rakyat pelbagai kaum di negara kita ini dalam isu-isu sensitif
seperti pendidikan, bahasa, agama dan budaya. Toleransi perlu dipupuk;
dialog perlu diperluaskan dan keazaman yang kuat untuk membina satu
masyarakat yang harmoni, bersatu dan aman amat diperlukan.

Bertarikh 2 Disember 2000