LUNAS: PRM MENYERU SEMUA KAUM MENYOKONG BA

Beberapa orang pemimpin Barisan Nasional (BN) menuduh Barisan Alternatif (BA) memainkan sentimen perkauman. Pada hal mereka sendiri yang memperalat media dan jentera-jentera kerajaan untuk membuat gertakan serta ugutan, menimbulkan ketakutan dan memanaskan api perkauman demi meraih sokongan di kalangan pengundi. Parti-parti BA bercorak pelbagai kaum dari segi keanggotaannya.

Parti keADILan telah memilih  untuk menjadi parti yang tidak terbatas hanya kepada satu kaum saja.  Manifesto Bersama “Ke Arah Malaysia Yang Adil” menyatakan keazaman serta dasar BA untuk membetulkan ketidakadilan yang diamalkan oleh BN terhadap kaum dan golongan tertentu  dengan mengutamakan kepentingan sebilangan kecil yang di atas saja. BN memperalatkan “kedudukan istimewa” orang Melayu untuk memperkaya kunco-kunco di sekeliling pucuk pimpinan BN.

Golongan miskin Melayu masih rendah taraf ekonominya. Pekerja India di estet-estet masih rendah gajinya dan belum mendapat gaji bulanan. Pihak polis sering bertindak ganas, sehingga mengakibatkan ramai orang India yang tidak bersalah dibunuh. Peniaga-peniaga kecil Tionghua tidak mendapat perlindungan serta pembelaan sewajarnya. Pemerintah BN mempunyai agenda tersembunyi untuk menafikan hak asasi orang Cina, India, Kadazandusun, Iban dan lain-lain  belajar melalui bahasa ibunda mereka.

BN masih mengabaikan nasib pelajar-pelajar aliran kebangsaan, terutama di kawasan-kawasan mundur, di mana mutu  bangunan sekolah, peralatan serta guru-guru masih rendah. Dalam pilihanraya kecil Lunas yang berlangsung pada 29hb November ini, para pengundi daripada semua kaum perlu memberikan mesej yang jelas bahawa mereka menolak BN di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad. BN semakin tidak adil, tidak demokratik, korup serta membelakangkan kebajikan rakyat ramai. PRM berharap tidak ada individu, golongan atau parti yang silap termasuk dalam jerangkap samar BN sehingga  boleh membantunya  mendapat kemenangan di Lunas. Sehubungan itu kami juga sangat-sangat mengharapkan semua parti komponen BA akan bertindak tegas serta bijaksana  untuk memelihara gabungan BA sekarang dan menguatkannya lagi pada masa hadapan.

Selepas pilihanraya ini BA perlu membincangkan mekanisme yang baik bagi menentukan pembahagian kerusi, dan membuat ketetapan yang memuaskan semua pihak tentang bilangan calon yang sesuai bagi kaum India dan kaum minoriti lain untuk pilihanraya umum akan datang. Seterusnya kami ingin menyeru seberapa ramai kawan-kawan lama dan baru di Lunas, Kedah dan bahkan seluruh negara supaya datang membantu kempen rumah ke rumah yang diatur oleh keADILan-BA. PRM sudah menyusun rancangan bagi anggota-anggota bukan-Melayu terutama sekali untuk menyertai kempen ini secara tersusun  dan berkesan.

Kami merayu para pengundi daripada semua kaum agar memberikan sokongan penuh kepada calon keADILan-BA. Rakyat sudah sering ditipu oleh putar belit media dan janji palsu,  projek pembangunan serta sogokan wang daripada BN menjelang tiap-tiap pilihanraya.

Janganlah tertipu lagi kali ini.

Dr Syed Husin Ali Presiden PRM

23hb November 2000