Oleh Pena Suasa

 

Umno Kedah krisis, peluang BA menang mudah

 

RUPA-RUPANYA bukan akhbar harian sahaja yang bimbang dengan Barisan Alternatif (BA), malahan para penyokong dan pendokong BA juga menampakkan kerisauan yang ketara bila pengumuman calon pilihan raya kecil DUN Lunas, lambat dibuat.

 

Saban hari, akhbar harian ‘memutarkan belitkan’ isu kononnya berlaku pergolakan antara DAP, keADILan dan PAS dalam soal menentukan calon pilihan raya kecil Lunas, 29 November 2000 ini.

 

Ingat, 29 November 1999 adalah tarikh keramat dalam perjuangan BA apabila Umno berjaya dinafikan menjadi parti tulang belakang Barisan Nasional. Kejayaan paling besar ialah di Kelantan dan Terengganu. Kejayaan yang paling membahagiakan pula di Kedah. Dari 15 kerusi Parlimen, lapan dapat ditawan. Kini, tarikh keramat itu datang lagi. Ia genap setahun dan raikan kedatangannya dengan kemenangan gilang gemilang di Lunas.

 

Di kalangan MIC sendiri tidak bersetuju dengan calon yang dipilih oleh Samy Vellu ini. Tetapi disebabkan Samy Vellu ini merupakan manusia ego dan angkuh, dia tidak peduli. Jikalau penyokong MIC mahu mengajar Samy Vellu dan menurunkan sedikit ego dan keangkuhannya, kalahkan calon ini. Selepas itu, dia mungkin akan mendengar pandangan orang bawah dan dia akan belajar untuk mengurangkan keegoannya.

 

Ahli-ahli dan para penyokong Umno kena ingat siapa dia Saifuddin Nasution Ismail. Anak muda ini cukup berkaliber dan merupakan pejuang sejati. Dia menolak segala bentuk kemewahan kerana mahu berjuang menegakan kebenaran dan keadilan. Dia boleh sahaja menerima pelbagai tawaran dari pemimpin-pemimpin Umno yang kaya raya tetapi Saifuddin bukan manusia jenis itu.

 

Bagi orang Pas pula, mereka tentunya tahu hubungan PAS dengan keADILan banyak dijayakan oleh Saifuddin. Dia pernah bertugas kepada Ustaz Dato’ Haji Fadzil Noor. Dia banyak membantu Ustaz Fadzil menyediakan ucapan dan memberi pelbagai pandangan politik.

 

Jesteru, gabungan PAS dan keADILan dibantu oleh DAP dan PRM akan memberi kelebihan kepada calon BA ini menang kali ini. BN perlu diajar dan kepimpinan Umno di Kedah cukup goyah. Beritahu semua pengundi, Umno di Kedah sedang nazak. Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Ahmad Lebai Sudin bertelingkah terus menerus dengan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian yang sama, Zainab Abdul Rahman.

 

Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Ibrahim Mustaffa hanya menunggu masa mahu diserang oleh Mohd Akhir Shafie, Timbalan Ketua Umno Bahagian yang sama.

 

Dato’ Dr. Afiffuddin Omar juga bermasalah dengan timbalannya, Dato’ Ghazali Ibrahim. Apatah lagi hubungan Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Dato’ Zakaria Said cukup tegang dengan beberapa AJKnya termasuk pemecatan Setiausaha Bahagian, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin.

 

Abdullah Hasnan pula menulis surat terbuka buat Menteri Besar, Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain kerana Syed Razak mengupah penulis upahan terkemuka, Yahaya Ismail memuji Syed Razak dan membelasah Abdullah Hasnan.

 

Kedudukan Ketua Umno Bahagian Yan, Badaruddin Amiruldin juga semakin goyang walaupun dia kini dilantik menjadi Speaker DUN Kedah.

 

Nanti, rakyat semua boleh tengok apa nasib Dato’ Raja Ariffin Raja Sulaiman yang sudah tidak bergelar YB. Apakah dia masih selamat di Baling atau nantinya dia ditentang oleh Dato’ Zainol Mat Isa.

 

Ini hanya sebahagian kisah Umno di Kedah. Apakah para pengundi di Lunas tidak tahu perkembangan ini. Apa lagi yang hendak mereka harapkan dengan calon BN yang mewakili MIC ini. Usia calon ini sudah 59 tahun. Apakah dalam MIC sudah tidak ada orang muda? Apakah dalam MIC sudah tidak ada anak tempatan? Apakah MIC mahu memperbodoh-bodohkan pengundi di Lunas, walaupun tunggul yang mereka letakkan, tetap menang.

 

Para pengundi, penyokong BA dan semua yang terlibat, perlu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Saifuddin yang mewakili BA (keADILan). Saifuddin merupakan ‘lambang’ perpaduan BA yang kononnya digembar-gemburkan sebagai bertelagah dalam menentukan calon.

 

Ingat! Umno Kubang Pasu pun sedang dilanda krisis. Kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad sudah jelas ditolak. Khabarnya Naib Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, Dato’ Saad Man berura-ura mahu menentang Dr. Mahathir dalam pemilihan akan datang.

 

Para pertugas BA; susun strategi sebaik mungkin. Gunakan tenaga Mohd Ezam Mohd Nor yang berpengalaman mengemudikan jentera BA di Teluk Kemang. InsyaAllah, kali ini kejayaan akan berpihak kepada keADILan dan merupakan kejayaan buat BA.

 

Nafikan suara 2/3 BN di DUN Kedah. Jangan biarkan mereka seronok berbelanja wang rakyat. Mereka terus angkuh walaupun sudah jelas rakyat membencinya.

 

Dr. Mahathir akan malu besar jika DUN Kedah gagal mempertahankan suara 2/3 dan inilah mesej terbaik dari rakyat yang harus difahaminya – rakyat menolaknya dan sudah sampailah masa yang sesuai untuknya berundur.

 

TOLONG CETAK DAN EDARKAN DI KAWASAN PILIHAN RAYA DUN LUNAS, KEDAH.