Jendela senario politikus dan ekonomi negara tahun 2000

Politik

Senario politikus negara telah berubah secara drastik sejak kemenangan Barisan Nasional pada pemilu 1999. Parti UMNO purba mengalami kekalahan yang amat teruk. Kekalahan UMNO yang amat teruk memberi tamparan hebat kepada diktator tua. Diktator tua yang memimpin parti purba tidak suka orang melabelnya diktator tetapi kita orang tetap akan melabelnya diktator sesuai dengan pemerintahannya yang kejam lagi zalim. Rupa-rupanya kekalahan yang teruk kepada partinya dalam pemilu 1999 memberi kesan yang mendalam kepada parti pembangkang. Diktator tua yang sudah tidak betul lagi menampakkan perangai dan kerenahnya yang semakin menggila dan mengganas kepada parti pembangkang dan rakyat.

Saya boleh katakan tahun 2000 merupakan tahun yang banyak memberi cabaran dan dugaan kepada parti pembangkang dan rakyat marhain. Parti pembangkang tidak diberi peluang untuk bernafas. Dengan perkataan lain, usaha membalas dendam, menabur fitnah dan memburuk-burukkan keatas parti pembangkang giat dijalankan melalui mesin propaganda seperti Utusan Meloya dan UMNO sendiri. Diktator tua memang dengki kepada kepopularan parti pembangkang yang semakin mendapat tempat dihati rakyat. Berbagai-bagai peristiwa hitam menimpa parti pembangkang. Peristiwa-peristiwa ini benar-benar menguji kesabaran dan ketabahan parti pembangkang dan rakyat ketahap yang maksimum. Saya pun hampir gila dibuatnya (joking).

Pemerintahan kerajaan Barisan Nasional yang tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan,  prinsip Rukun Negara, Al-Quran, Hadis, Tasawwur dan mengamalkan pemerintahan kuku besi telah menimbulkan kemarahan daripada masyarakat. Diktator tua telah membuat kesilapan yang besar dengan memandang rendah kewarasan dan kebijaksanaan masyarakat mengenai kesedaran politik. Rakyat bukan lagi sebodoh zaman 60-an atau 70-an. Masyarakat sudah tahu hak mereka sebagai rakyat Malaysia dalam menuntut hak dan kehendak mereka dipenuhi oleh kerajaan.

Tahun 2000 merupakan tahun di mana rata-rata rakyat Malaysia tidak mahu memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional. Tiada siapa mahu sokong kerajaan yang korup, tidak bertanggungjawab, tidak telus, tidak bermaruah dan zalim. Kaum Melayu, Cina dan India bersatu padu dengan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada parti pembangkang dengan mengalahkan kerajaan Barisan Nasional di Lunas. Kemenangan parti pembangkang telah memberi satu suntikan semangat yang tinggi kepada parti pembangkang untuk berusaha dengan lebih gigih untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada pemilu 2004. Rakyat telah memberi kepercayaan kepada parti pembangkang dan keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional sudah tiada lagi.

Perjalanan ke arah membebaskan negara daripada kekejaman regim diktator tua masih jauh lagi dan penuh dengan onak berduri. Masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan oleh parti pembangkang. Satu perkara yang paling penting yang mesti dilakukan oleh parti pembangkang ialah menyelesaikan segala pertikaian dan masalah dalaman komponen parti pembangkang. Diharap segala masalah dapat dicapai dan diselesaikan antara komponen parti pembangkang dengan mengambil kira sensitiviti Pas, DAP, Keadilan, PRM, dan kepentingan masa depan parti pembangkang. Parti pembangkang dan rakyat mesti bersiap sedia dan menghadapi apa sahaja dugaan dan cabaran daripada kerajaan Barisan Nasional.

Diktator tua tidak akan membiarkan kekalahan kerajaan Barisan Nasional di Lunas begitu sahaja. Dengan khabar politik ganas akan dibendung dengan menggunakan undang-undang dan akta-akta pada tahun hadapan. Tangkapan beberapa pemimpin Parti Keadilan yang dikatakan melakukan rusuhan di Lunas merupakan prelude atau permulaan untuk menangkap pemimpin-pemimpin parti pembangkang dan Suqiu secara beramai-ramai. Oleh itu parti pembangkang mesti berwaspada sepanjang masa kerana saya jangkakan diktator tua akan bertindak lebih ganas lagi dan sanggup buat apa sahaja demi menjaga kedudukan dan kuasanya yang semakin tergugat. Diktator tua sendiri mengaku dia tidak berpuas hati mengenai hal politik negara. Oleh itu, dalam fikirannya mungkin sudah ada rancangan untuk terus melakukan tindakan gila yang tidak akan dilakukan oleh orang yang waras.

Ekonomi dan isu yang lain

Pada dasarnya ekonomi negara mencapai pertumbuhan yang agak baik. Namun pertumbuhan ekonomi negara yang baik semakin menurun dan kemungkinan negara akan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan pertumbuhan negara pada tahap yang memberangsangkan pada tahun 2001. Suka atau tidak diktator sendiri mengaku negara kemungkinan akan mengalami kegawatan ekonomi sekali lagi atau negara tidak akan dapat mencapai pertumbuhan lebih 6 peratus pada tahun hadapan. Ini bergantung kepada faktor luaran iaitu keadaan ekonomi Amerika Syarikat yang tidak menentu dan begitu juga dengan Jepun. Jika Amerika mengalami kemelesetan ekonomi, ia akan memberi kesan yang buruk kepada negara.

Betulkan pendapat saya jika saya silap. Pertumbuhan ekonomi yang dikatakan baik oleh kerajaan tidak beri manfaat kepada rakyat. Rakyat tidak dapat merasa positive spill-over effect dari pertumbuhan ekonomi yang agak baik. Anda mungkin katakan saya memberi pendapat dari sudut yang sempit. Taraf hidup rakyat dari golongan bawahan dan pertengahan tidak banyak berubah dan mungkin menurun. Kerajaan selalu menggembar-gemburkan mengenai ekonomi negara yang sudah pulih dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik.  Namun apakah bentuk faedah dapat diperolehi oleh rakyat melalui pertumbuhan ekonomi yang baik? Boleh dikatakan pencapaian pertumbuhan ekonomi negara memang baik tetapi tidak kepada taraf hidup rakyat biasa yang semakin menurun.

Saya lebih suka berbicara mengenai taraf hidup rakyat biasa seperti saya. Saya seperti rakyat yang lain terpaksa menghadapi keadaan yang agak mencabar iaitu menghadapi kenaikan kos taraf hidup yang semakin meningkat iaitu harga barang-barang dan perkhidmatan yang semakin meningkat. Kenaikan harga petrol dipasaran dunia telah memberi kesan yang buruk kepada kita. Kerajaan tidak mampu menampung subsidi yang semakin meningkat. Oleh itu, sedikit sebanyak beban terpaksa dipindahkan kepada rakyat. Akhirnya rakyat biasa yang menanggung kos yang tinggi.

Apa yang melucukan ialah kerajaan tidak mampu tanggung subsidi yang dikatakan lebih daripada RM 3 billion tetapi ada duit untuk membail-out anak-anak diktator dan kroni-kroni yang hampir bankrap seperti Halim Saad dan Tajudin Ramli. Begitu juga dengan pembaziran wang dalam membina projek-projek gajah putih seperti KLCC dan KLIA. Projek Bakun, mahligai diktator, Putrajaya dan Litar F1 Seepeng tidak memberi manfaat kepada rakyat biasa. Saya berpendapat duit yang berpuluh-puluh billion dibazirkan untuk membina projek-projek mega dan bail-out di atas memang cukup untuk menampung kos subsidi petrol yang semakin meningkat. Bukan saja cukup menampung subsidi malah ada duit lebihan pula. Malangnya inilah yang dikatakan kononnya kerajaan membela nasib rakyat. Bukan sahaja nasib rakyat tidak terbela malah dianaiyai dan diseksa oleh diktator. Rakyat tidak akan menanggung penderitaan kalau kerajaan tidak boros dan menggunakan duit rakyat untuk kepentingan diktator, anak-anak dan kroni-kroni.

Walaupun secara teori dari segi ekonomi, negara tidak mungkin akan bankrap namun rakyat biasa dibebani dengan hutang lapuk keliling pinggang hasil daripada kerakusan diktator memperkayakan dan menyelamatkan anak-anaknya dan kroni-kroninya. Diktator telah menyalahguna kuasanya untuk mengaut kekayaan negara. Duit yang sepatutnya menjadi hak milik rakyat diberikan kepada golongan tertentu sementara itu rakyat terus meneropong, duit mereka telah dirampas oleh diktator. Contoh terbaik ialah wang ihsan dan pemberian bonus. Wang royalti milik rakyat negeri Terengganu dirompak oleh diktator tua dan digantikan dengan istilah wang ihsan. Pemberian bonus diberikan kepada kakitangan kerajaan hanya setelah diktator takut mengenai sokongan yang semakin berkurang kepada kerajaan Barisan Nasional dan bukannya kerajaan prihatin kepada masalah dan beban perbelanjan yang dihadapi oleh rakyat. Kalau kerajaan Barisan Nasional menang di Lunas, kemungkinan besar bonus tidak akan diberikan kepada kakitangan kerajaan.

Banyak lagi perkara yang saya ingin cerita tetapi cukuplah setakat ini. Apa yang saya mahu katakan saya tidak berani ramalkan apa yang akan berlaku pada tahun 2001. Apa yang kita perlu buat ialah menghadapi apa sahaja tindakan daripada kerajaan Barisan Nasional pimpinan diktator tua dengan hati yang tenang. Parti pembangkang dan rakyat biasa perlu banyak bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan. Saya akui cabaran dan dugaan benar-benar menguji kesabaran saya. Ada kalanya saya berasa kecewa dan hopeless kerana saya tidak tahu apa yang saya patut lakukan untuk menyuarakan kemarahan saya kepada kerajaan. Melalui penulisan, saya berharap idea dan pendapat saya dapat dikongsi bersama oleh pengunjung laman web dengan bertujuan untuk memberi petunjuk kepada mereka yang masih berada dalam lamunan. Saya minta mohon maaf kalau ada tersilap bahasa dalam penulisan saya. Sebagai penulis jalanan, saya akan terus menyumbangkan penulisan saya walaupun saya sibuk dengan tugas harian. Azam saya dan rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian ialah menuntut supaya hak rakyat dikembalikan dan kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan dan dikuburkan pada pemilu 2004. Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada pejuang-pejuang reformasi.

LTL