KENYATAAN WEBMASTER LAMAN REFORMASI

Assalamualaikum W.w. dan Salam Sejahtera kepada semua pejuang reformasi, Sekali lagi dalam usaha kita memastikan perjuangan reformasi berterusan melalui cabang perjuangan siber, Laman Reformasi Mahazalimtwo telah dicerobohi. Bagaimana ianya boleh berlaku merupakan satu persoalan yang masih bermain dalam fikiran saya. Segala usaha untuk memastikan Laman Reformasi ini terus beroperasi sedang dilaksanakan demi menjayakan tuntutan reformasi dan demi memastikan Saudara Anwar Ibrahim dapat kembali di sisi masyarakat bagi terus menegakkan keadilan di negara yang tercinta.

Saudara,

UMNO sudah terdesak. Pelbagai usaha sedang diambil bagi memastikan pejuang-pejuang reformasi di kerat dan di patah-patahkan. Penangkapan 10 orang di bawah Akta ISA menampakkan sikap terdesaknya mereka. Usaha mereka
akan tidak berhenti setakat itu sahaja. Peranan rakan-rakan Webmaster harus juga mereka tumpaskan demi memegang kepada sistem korup yang mereka dokong. Mereka mahu menumpaskan kita dan membunuh tuntutan REFORMASI yang saban hari semakin kuat dan semakin memuncak. Usaha ini merangkumi segala bentuk ancaman kepada pejuang reformasi, kepada pengendali laman web dan kepimpinan BA. Apa pun ancaman yang dibuat terhadap Laman Reformasi namun mereka gagal mengurangkan sedikit pun semangat juang saya dan begitu juga rakan-rakan Laman Pro-Reformasi yang lain, Insyallah.

Sifat cemburu mekanisma UMNO dan penyokong mereka semakin berterusan. Mereka harus sedar mengapa laman-laman mereka tidak mendapat sambutan kerana apa yang mereka tahu mengenai Teknologi Maklumat? Apa yang mereka tahu hanyalah mengira duit keuntungan hasil rompakan harta rakyat!

Perjuangan pasti di teruskan dan mereka yang mungkin dibayar untuk terus menghancurkan perjuangan suci menuntut keadilan akan menerima padah suatu hari nanti. Kalau tidak balasan dunia maka ALLAH SWT pasti akan menunaikan janjinya kepada umat manusia dengan balasan sebaik-baiknya bagi yang menuruti NYA dan seazab-azabnya bagi perbuatan mungkar mereka di dunia ini.

Saudara,

Spekulasi dan kabar angin senantiasa melanda apabila insiden-insiden seperti ini berlaku. Saya hanya berserah kepada ALLAH SWT bagi menilai keikhlasan saya berjuang menuntut perubahan dan pembebasan Saudara Anwar Ibrahim. Tidak dinafikan bahawa banyak cercaan dan tohmahan kali ini dilemparkan kepada saya termasuklah yang paling teruk iaitu saya telah berpaling tadah. Seribu-satu teori telah wujud dan tersebar di laman-laman web, mailing list dan forum-forum. Saya hanya mampu memohon agar antara kita yang gemar membuat tuduhan serta tohmahan yang tidak berasas mengenai Laman Reformasi diberi petunjuk oleh ALLAH SWT serta dijauhi mereka dari amalan fitnah yang menjadi budaya pemerintah kita
sekarang ini.

Saudara,

Saya pasti akan kembali . Saya pasti akan meneruskan perjuangan demi menuntut REFORMASI sehingga ukuran kemenangan yakni pembebasan Saudara Anwar Ibrahim tercapai. Laman Reformasi akan terus bertindak menuntut Mahathir Mohamad dan kuncu-kuncu konspiratornya beredar dari terus menerajui negara ini. Negara ini adalah milik rakyat dan bukan milik mereka yang korup dan gila kuasa demi agenda tersendiri.

Saudara,

Perjuangan ini akan terus di pikul oleh saya sungguhpun pengorbanan ini terlalu kecil berbanding dengan pengorbanan rakan-rakan lain seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saudara Ezam Mohd Noor dan mereka yang lain yang sedang merengkok dalam cengkaman ISA. Saya berjanji atas nama perjuangan, atas kalimah Islam yang saya pegang, atas nama REFORMASI, LAMAN REFORMASI akan bangkit meneruskan perjuangan.

Ingatlah setiap kali kami diancam maka setiap kali itulah kami bangkit dengan semangat baru dengan nekad baru yang lebih padu. Ingat...... if it doesn't kill me it will only make me stronger. AWAS KALIAN!

REFORMASI-REFORMASI-REFORMASI!