Assalamualaikum W.w.dan Salam Sejahtera,  
Salam Reformasi,
Salam Perjuangan,
Salam keikhlasan,

Kala nya senyap bukan bereti kita takut dan jeritan tidak melambangkan kita berani. Senyap memungkinkan kita berfikir sejenak dan jeritan mungkin menyembunyikan ketakutan. Begitu juga Laman Reformasi apabila menerima tuduhan JPPUiTM ( Saudara Nazarul Fazami) berkenaan dengan 'fitnah' yang dikatakan tersebar di Laman Reformasi.
Muka Hadapan Utusan Malaysia, 14 Julai 2001

Fitnah di laman web: Lagi pemimpin pelajar buat laporan polis

SHAH ALAM 13 Julai - Seorang lagi pemimpin pertubuhan pelajar, kali ini dari Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (JPPUiTM) membuat laporan polis hari ini berhubung satu kenyataan bohong dan berunsur fitnah yang menggunakan namanya dalam laman web antikerajaan.

Yang dipertuanya, Nazrul Fazami Mohamad berkata, kenyataan yang berbentuk artikel itu bertajuk `JPPUiTM Menyelar Sikap Biadap Kerajaan' telah disiarkan di laman web Mahazalim Rabu lalu.

Beliau yang kecewa dengan kejadian itu menafikan sekeras-kerasnya terlibat dalam mengeluarkan artikel tersebut.

Malah, beliau percaya ia dilakukan oleh individu yang mempunyai hasad dengki dan niat buruk terhadap pertubuhan tersebut yang selama ini menyokong pentadbiran UiTM dan kerajaan.

``Kami melihat tindakan tersebut sebagai bacul dan dayus serta tidak bertanggungjawab kerana pihak yang terbabit tidak mahu menonjolkan diri sebaliknya membabitkan nama JPPUiTM untuk berselindung,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri oleh Pegawai Perhubungan Korporat UiTM, Fauzieah Hanim Al-Johari, Bendahari Kehormat JPPUiTM, Syed Mohd Hidayat Syed Mahmood dan Exco Latihan Kepimpinan dan Akademiknya, Noor Afzan Zakaria di UiTM di sini hari ini.

Nazrul Fazami berkata, tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu sebenarnya bertujuan memuaskan nafsu politik peribadi pihak-pihak tertentu.

``Saya percaya penulis berkenaan adalah pengkhianat bangsa dan negara dan kenyataan biadap dan tidak berasas itu ditujukan kepada kerajaan,'' tegasnya.

Beliau berkata, kenyataan penafian terhadap artikel berkenaan turut dihantar kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan.

Berdasarkan artikel tersebut, JPPUiTM dikatakan menggesa kerajaan membebaskan segera tahanan ISA dan kecewa dengan tindakan kerajaan menahan aktivis reformasi dan pimpinan parti pembangkang yang ditahan melalui akta tersebut .

Ia juga menyebut bahawa penahanan ketujuh-tujuh pimpinan parti pembangkang di bawah ISA sebagai satu bentuk penyalahgunaan dan penyelewengan prinsip perlembagaan dan undang-undang serta mencabul hak asasi manusia.

Kejadian menggunakan nama pemimpin pertubuhan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam kenyataan berunsur fitnah di Internet adalah yang kedua dalam bulan ini.

Selasa lalu, Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia, Husnul Hadi Halim turut membuat sidang media berhubung kenyataan bohong dan fitnah yang disiarkan oleh portal Malaysiakini.com pada 5 Julai lalu.

Nazrul menegaskan, laman web Mahazalim sebelum ini pernah tiga kali menyiarkan kenyataan bohong dan fitnah dengan menggunakan nama beberapa pemimpin JPPUiTM.

Katanya, kenyataan palsu itu adalah mengenai ISA dan penyalahgunaan kuasa yang membabitkan nama beliau, Setiausaha Agung Exco Kebajikan, Penolong Naib YDP dan Exco Pembangunan Insaniah JPPUiTM.

Kesemua kenyataan itu, katanya, telah disiarkan pada bulan Mac dan Jun lalu namun tiada sebarang laporan polis dibuat.

Bagaimanapun Nazrul berkata, penafian berhubung perkara tersebut telah dihantar kepada Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan.

Adik Nazrul Fazami,

Laman Reformasi (LR) mampu melakukan segala siasatan mengenai dari mana asal email tersebut, apakah pernah email tersebut di gunakan untuk menghantar artikel kepada kami dan siasatan mengenai pendirian saudara melalui teman-teman dan rakan-rakan saudara. Tetapi kami tidak akan bertindak sedemikian. Kami tidak akan memulakan tekanan kerana cukuplah mahasiswa Malaysia di tekan dan halkumnya di ikat oleh kerajaan yang ganas lagi zalim. Kami tidak tergamak untuk menyusahkan sahabat mahasiswa kerana kami percaya mahasiswa sendiri mengerti senario politik yang ada sekarang ini. Kami percaya bahawa apa yang dilakukan oleh pemerintah khususnya UMNO kepada Saudara Anwar Ibrahim sudah jelas zalim dan penuh ketidakadilan. Kami percaya rakan-rakan mahasiswa sudah nampak jelas akan perkara itu.

Adik Nazrul Fazami,

LR dan Laman-laman Pro-Reformasi yang lain tidak akan berkecil hati atas kenyataan yang saudara luahkan dalam media-media perdana. LR sedar antara kita ramai yang tertekan dengan amaran dan tindakan rakus pemerintah khususnya dengan penggunakan ISA keatas pelajar. LR cuma mahu menasihati mereka yang tertekan, ditekan dan diugut agar mengambil perkara itu untuk menguatkan iltizam kita menentang kezaliman dan kerakusan kerajaan memerintah sedaya yang kita mampu.

Adik Nazrul Fazami,

Hanya sedikit pesanan kami di LR dan Laman-laman Pro-Reformasi yang lain kepada saudara,

Katakan pada diri sendiri bahawa kamu yakin yang Saudara Anwar Ibrahim tidak di fitnah dan tuduhan yang di buat oleh UMNO keatas beliau adalah benar belaka.

Katakan kepada diri sendiri bahawa Anwar Ibrahim bukan mangsa konspirasi politik peringkat tertinggi dan tuduhan Azizan terhadap beliau turut saudara percayai,

Katakan kepada diri anda sendiri bahawa mahkamah sudah berlaku adil dan mahkamah ini pasti tanpa sebarang syak wasangka bahawa Saudara Anwar Ibrahim memang bersalah atas tuduhan seks di luar tabii.

Katakan pada diri sendiri bahawa sesungguhnya atas nama ALLAH SWT bahawa saya percaya dan saya yakin bahawa tuduhan UMNO khususnya Dr Mahathir, Azizan Abu Bakar, Umi Halfida, Khalid Jefri dan keputusan Augustine Paul adalah turut menjadi kepercayaan saudara dan saudara sanggup bersama-sama mereka untuk terus menyebarkan kepercayaan ini.

Katakan pada diri sendiri dan bersumpahlah bahawa saudara sesungguhnya mempercayai bahawa Dr Mahathir sudah berlaku adil dan sahih mengetahui bahawa Anwar Ibrahim adalah seorang menteri yang rendah moralnya.

Katakan Adik Nazrul Fazami (JPPUiTM) agar ALLAH SWT dapat memberikan balasan setimpal atas kebaikan dan kejahatan kita di dunia ini.

Percayalah ALLAH tidak pernah memungkiri janjinya pada umat manusia. Lihatlah apa yang dinukilkan oleh Saidina Abu Bakar setelah dipilih menjadi Khalifah...Bandingkanlah senario lampau ini dengan senario sekarang..Tepuk dada, tanyalah Iman!

"Wahai manusia! Sesungguhnya aku telab dipilih untuk memegang kekuasaan atasmu, padahal aku bukan yang terbaik di antaramu; Maka jika aku berlaku baik (dalam menjalankan kekuasaan itu) bantulah aku; tetapi jika salah, betulkanlah. Berkata benar adalah amanah, dusta adalah khianat. Barang siapa yang lemah antaramu akan kuat bagiku, sehingga aku kembalikan haknya (dari tangan orang lain yang mengambilnya), insya'Allah. Barang siapa yang kuat di antaramu akan lemah berhadapan denganku, sehingga aku ambil hak orang lain dari tangannya, insya'Allah.

Hamba Allah yang lemah,
mahazalimtwo@yahoo.com