EKSKLUSIF DARI LOKMAN NOOR ADAM JAKARTA 3

 

 

LAPORAN EKSKLUSIF DARI JAKARTA 3 – LOKMAN ADAM

19hb Mei, 2000

Selepas selesai solat Jumaat kami telah berangkat untuk menghadiri pertemuan dengan pimpinan Partai Amanat Nasional (PAN) di Jalan Ampera Pasar Minggu.  Diantara pimpinan PAN yang hadir dalam pertemuan dua hala tersebut ialah Bapak Abdilah Toha, Ketua DPP PAN.  Selepas majlis silaturahim tersebut kami telah membuat kunjung hormat kepada Bapak Adnan Buyung Nasution di Pejabatnya di Kuningan.  Disebelah malam kami telah mengadakan pertemuan dengan Ketua-Ketua Ormas Pemuda (Gerakan Mahasiswa).  Antara organisasi yang hadir dalam pertemuan tertutup tersebut adalah Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI), Pelajar Islam Indonesia (PII), Gerakan Pemuda Islam (GPI) dan Himpunan Mahasiswa Islam (HMI).

20hb Mei, 2000

Sejak awal pagi lagi Sdr Ezam dan Sdri Nurul Izzah telahpun mengadakan  wawansara melalui telefon selama 30 minit dengan Radio Remako.  Tepat jam 9.00 pagi kami telah berangkat ke Pejabat Dewan Pimpinan Pusat Partai Bulan Bintang (PBB) di Keramat VI, Jakarta Pusat.  Sokongan yang diberikan oleh pimpinan PBB yang hadir amat mengalakkan.  Mereka melahirkan simpati mereka dan komitmen untuk mendesak agar keadilan diberikan ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim.  Selain daripada Sdr Ezam, Dato’ Sheikh Azmi dan Sdri Nurul Izzah yang berbicara pada pagi tersebut, turut menyampaikan ucapan adalah Setiausaha Agong PBB, M.S Ka’Ban.

Selepas pertemuan tersebut kami telah ke Ibu Pejabat Majalah Mingguan TEMPO yang berpengkalan di Jalan Proklamasi, Jakarta Pusat.   Kami telah mengadakan majlis rahmah mesra dan temuramah bersama dengan wartawan TEMPO.  Disebelah tengahari kami telah diundang untuk majlis makan tengahari bersama sidang ridaksi Majalah Kaum Muda Muslim (TREN) di Restoran Handayani di Jalan Matraman Raya, Jakarta Pusat.  Kira-kira jam 3.00 petang kami telah ke Dewan Pimpinan Pusat Partai Persatuan Pembangunan (PPP).  Sokongan hebat telah kami terima daripada Ketua PPP, Bapak Faisal Basir yang mengatakan langsung tidak masuk akal Anwar
melaku semua  perkara yang dituduh ke atasnya.  Beliau mengenali Anwar sejak Anwar menjadi Presiden ABIM ketika beliau merupakan Naib Presiden Himpunan Mahasiswa Islam. Akhlak Anwar langusng tidak seperti yang digambarkan oleh Mahathir, menurutnya.  UMNO baginya tidak ubah seperti GOLKAR dizaman pemerintahan Suharto yang mengamalkan dasar “Matlamat menghalalkan cara”.

Selepas pertemuan tersebut kami telah kembali ke hotel untuk berehar kerana terlalu keletihan disebabkan jadual yang begitu padat.  Disebelah malam kami telah pergi ke Komiti Nasional Pemuda Indonesia (KNPI).  KNPI jika di Malaysia adalah seperti Majlis Belia Malaysia, yang mengandungi 65 pertubuhan belia dibawahnya termasuk Pemuda AMPI dan semua organisasi pemuda di Indonesia.  Kami berpeluang mengikuti penerangan tentang peranan, visi dan dasar Komiti Nasional Pemuda Indonesia.


21hb Mei, 2000

Pagi tadi kami telah mengadakan pertemuan dalam majlis minum pagi bersama Bapak Yusril yang merupakan Menteri Hukum dan Perundang-undangan merangkap Ketua Umum Partai Bulan Bintang.  Beliau merupakan seorang anak muda yang cukup berkarisma malah berani memberikan teguran dan kritikan terbuka walaupun sudah memegang jawatan penting dalam kerajaan.   Selepas pertemuan dengan Bapak Yusril kami telah mengadakan majlis silaturahim dan wawancara dengan sidang redaksi Majalah SABILI di Cepenag Cempedak sekitar jam 10.00 pagi.  Penutup program Jelajah Indonesia buat kali ini telah diakhiri dengan perjumpaan dengan Bapak Adi Sasono yang merupakan mantan Menteri Koperasi Indonesia sewaktu zaman Presiden BJ Habibie.  Sambutan yang kami terima di kediaman beliau amat hangat dan dihadiri bukan sekadar daripada keluarganya, tapi hampir seratus orang generasi muda Indonesia.  Turut hadir dalam majlis makan tengahari tersebut adalah sahabat lama Dato’ Seri Anwar Ibrahim iaitu Bapak Mar’ie Muhamad yang merupakan mantan Menteri Kewangan Indonesia dan Ibu Tuti Alawiyah, mantan Menteri Peranan Wanita.  Kini beliau merupakan Ketua Palang Merah Indonesia.  Selepas program ini kami akan pulang ke hotel untuk sessi temuramah dengan ANTV
dan bersiap sedia untuk pulang ke Malaysia.

InsyaAllah semoga segala pertemuan yang telah dilaksanakan di sini akan membuahkan hasil untuk menjayakan Gerakan Membebaskan Sdr Anwar Ibrahim.  Semoga Allah meredhai perjuangan ini.

Salam reformasi buat teman-teman di Malaysia dan Indonesia.

LOKMAN ADAM
Exco Pergerakan Pemuda KeADILan Malaysia