Lokman Adam – Laporan Eksklusif 2 Dari Jakarta

17hb Mei, 2000

Tepat jam 6.00 pagi kami telah berankat ke Institut Pertanian Bogor yang berada sekitar sejam perjalanan dari kota Jakarta.  Setibanya kami disana kami telah disambut oleh panitia Forum “Prospek Gerakan Oposisi di Indonesia dan Malaysia”.  Dato’ Sheikh Azmi telah menyampaikan ucapan pertama sebagai ketua deligasi selepas ucapan aluan pihak institut.  Forum yang dipengerusikan oleh Bapak Vijaya Fitrayasa iaitu salah seorang wartawan Majalah AGENDA disertai oleh beberapa orang ahli panel yang dihormati di Indonesia.  Selain Sdr Ezam Mohd Nor, Forum tersebut turut disertai oleh Bapak AM Saefudin (Pengamat Politik), Ibu Dr Marwah Daud Ibrahim (Ahli Dewan Perhimpunan Rakyat RI), Bapak MS. Ka’Ban SE.M. SI (Ahli DPR RI) dan telah ditutup rasmi oleh Sdri Nurul Izzah Anwar.  Sambutan yang diberikan oleh pelajar di IPB ini amat luar biasa, bukan sahaja  Auditorium IPB penuh sesak malah ruang legar diluar yang ditempatkan telavision juga dikerumuni pelajar.

Kira-kira jam 11.30 kami telah meneruskan perjalanan ke Bandung yang memakan masa sekitar 4 jam dari kota Jakarta.  Setibanya kami di Bandung kami telah dibawa terus ke Institut Teknologi Bandung kerana Dewan Institut tersebut sudah dibanjiri ribuan pelajar terutamanya mereka yang sudah lama menunggu saat untuk melihat sendiri Putri Reformasi, Nurul Izzah Anwar yang dijadikan oleh kebanyakan mahasiswa di Indonesia ini sebagai Idola perjuangan generasi muda. Tajuk Syarahan Umum yang diberikan kepada panelis di ITB ialah “Hak Asasi Manusia dan Demokrasi, Inspirasi Reformasi Mei Indonesia Terhadap Reformasi di Malaysia”.  Walaupun kami terlewat hampir dua jam dan hanya dapat memulakan majlis tersebut sekitar jam 4.30 petang, mahasiswa yang hadir bukan sahaja tidak berganjak hingga waktu Maghrib, tapi selepas selesai solat Maghrib, jumlah yang hadir semula untuk sessi soal jawab semakin bertambah hingga kepenghujung program.  Selepas program tersebut kami telah dibawa ke Darut Tauhid, iaitu salah sebuah sekolah pondok di Bandung dimana Sdr Ezam telah mengadakan pertemuan dengan hampir 40 orang mahasiswa Malaysia di Bandung sementara dalam masa yang sama Sdri Nurul Izzah telah mengadakan perjumpaan dengan mahasiswi Malaysia pula.

18hb Mei, 2000

Tepat jam 6.00 pagi Sdr Ezam dan Sdr Nurul Izzah telah menghadiri satu temuramah dengan Radio Bandung.  Selepas temuramah tersebut, kami telah mengadakan sessi silaturahim dengan pengerak pondok Darut Tauhid sebelum berangkat ke Pusat Dakwah Islamiah Bandung.  Kami telah tiba di PUSDAI sekitar jam 9.00 pagi untuk menghadiri “Talk Show” yang membicarakan soal  “Mewaspadai Rejim Otoritor di Asia Tenggara” yang dianjurkan oleh Kesatuan Aksi Mahasiswa  Muslim Indonesia (KAMMI).  Selain daripada ucapan Dato’ Sheikh Azmi, Sdr Ezam dan Sdri Nurul Izzah, turut menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut ialah Pimpinan Pusat Dakwah Islamiyah Bandung serta wakil KAMMI.

Sekitar jam 2.00 petang kami telah berangkat ke Jakarta.  Setiba ke Jakarta kami telah menghadiri satu perjumpaan tertutup dengan Pimpinan Parti Golongan Karyawan (GOLKAR).  Antara yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden GOLKAR, Pak Agong, Setiausaha Agong, Ketua Pemuda dan beberapa orang pinpinan Pemuda Pusat GOLKAR.  Sdri Nurul Izzah telah menghadiri satu temuramah dengan Majalah FORUM sebelum menyertai kami bersama dengan Pimpinan GOLKAR.

19hb Mei, 2000

Selepas sarapan pagi, kami telah berangkat ke Perhimpunan Agong Pertama Partai Keadilan Indonesia yang di Presidenkan oleh Bapak Nur Mahmudi.  Dalam Perhimpunan yang cukup meriah dan dihadiri oleh puluhan ribu manusia tadi,  Bapak Nur Mahmudi telah mengistiharkan bahawa beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden untuk membolehkan Partai Keadilan memainkan peranannya untuk menegakkan keadilan termasuk memberikan kritikan yang terbuka kepada kerajaan demi untuk mewujudkan yang terbaik  untuk bangsa Indonesia.  Beliau yang telah memenangi pemilu yang lalu telah dilantik sebagai Menteri Perhutanan Indonesia.  Perletakan jawatan itu juga bagi membolehkan beliau menumpukan perhatian untuk berkhidmat kepada negara dan bukan kepada kelompok penyokong Partai Keadilan sahaja.

Selepas solat Jumaat, kami telah berangkat ke Dewan Perwakilan Pusat Partai Amanah Negara.  Yang di Presidenkan (Ketua Umum) oleh Bapak Amien Rais.  Perjumpaan yang bertujuan untuk bertukar-tukar pengalaman dan pendapat itu mendapat sambutan yang baik dari Pimpinan PAN lebih-lebih lagi dengan kenyataan terbuka Pak Amien Rais yang meminta keadilan diberikan ke atas Sdr Anwar Ibrahim. Kira-kira jam 5.00 petang kami akan mengadakan pertemuan tertutup dengan Pengerusi Solidaritas Untuk Anwar Ibrahim, Bapak Adnan Buyong Nasution di pejabatnya.

InsyaAllah, lapuran lanjut akan saya berikan dari masa kesemasa.  Maaf kerana tidak dapat membuat laporan harian berikutan jadual program yang terlalu padat.  Salam reformasi buat teman-teman di Malaysia.

Lokman Adam
OT31/98