LAPURAN LOKMAN NOOR ADAM DARI JAKARTA

 

15hb Mei, 2000 - Lapangan Terbang Sukaerno Hatta, Jakarta Indonesia telah menerima kehadiran beberapa orang pimpinan Parti KeADILan Nasional.  Selain daripada Datin Seri Wan Azizah dan Puan Fuziah Salleh yang telah tiga hari lebih awal tiba kerana memenuhi jemputan ke Seminar Demokrasi Asia, Dato' Sheikh Azmi Ahmad, Sdr Mohamad Ezam Mohd Nor, Sdr Hamdan Taha, Sdr Muhammad Zahid Md Arip, Sdr Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Sdri Nurul Izzah Anwar telah hadir bagi memenuhi rangka lawatan selama tujuh hari di Indonesia.

Kami telah tiba sekitar jam 4.30 petang dan terus dibawa ke tempat penginapan kami.  Tepat jam 6.00 petang, kami telah dijemput dengan sebuah bas untuk menghadiri jamuan makan malam dan perjumpaan tertutup di kediaman Bapak Rahmat Ismail iaitu salah seorang sahabat lama Dato' Seri Anwar Ibrahim yang cukup banyak membantu kami dalam mengembangkan sayap Kempen Pembebasan Anwar Ibrahim di Indonesia. Datin Seri Wan Azizah telah menerima cenderamata yang agak unik iaitu sebuah frame dengan foto beliau di atas muka depan Majalah FORUM dengan tajuk "Wan Azizah Bakal Pemimpin Malaysia Akan Datang" serta replika muka hadapan laman web yang dibina khas untuk menyalurkan artikel sumbangan rakyat Indonesia terhadap perjuangan menuntut keadilan untuk Anwar Ibrahim.

Selepas majlis makan malam tersebut, Datin Seri Wan Azizah dan Puan Fuziah Salleh serta beberapa rombongannya bergegas untuk menghadiri pertemuan dengan Naib Presiden Republik Indonesia iaitu Ibu Megawati Soekarno Putri.  Pada hari ini sahaja, Datin Seri Wan Azizah telah ditemuramah secara langsung oleh tiga stesyen televisyen iaitu, RCT1, ANTV dan SCTV.  Kalau beliau diberi peluang sebegini rupa di Malaysia, sudah pasti keputusan pilihanraya 1999 berubah.

16hb Mei, 2000 - Tepat jam 6.00 pagi kami telah bertolak ke kediaman rasmi Bapak Amien Rais, Ketua Majlis Pemesyuaratan Rakyat.  Setibanya kami di sana, kelihatan Datin Seri Wan Azizah sudahpun berada di sana.
Perjumpaan tertutup diantara deligasi dari Malaysia dan Bapak Amien Rais cukup menakjubkan.  Baru saya sedar sebenarnya, tokoh hebat Indonesia ini meletakkan Sdr Anwar Ibrahim sebagai "Idolanya".  Wajah beliau yang cukup terharu dengan kehadiran kami dicampur dengan wajah anak yang berduka melihat nasib bapanya apabila Datin Seri Wan Azizah menerangkan keadaan layanan yang diberikan ke atas Sdr Anwar Ibrahim.  Kami merasa terpukau dengan saranan dan nasihat yang diberikan oleh Pak
Amien kepada kami untuk menjayakan reformasi di Malaysia dan meneruskan perjuangan untuk membebaskan Sdr Anwar Ibrahim.  Salah satu ayat beliau yang cukup membanggakan saya sebagai salah seorang penyokong Sdr Anwar Ibrahim ialah "Anwar itu bukan sahaja milik Malaysia, Beliau adalah tokoh dan pemimpin Asia".  Maaf kerana saya tidak bisa membicarakan lontaran minda Pak Amien dalam lembaran ini, cukup jika saya katakan tiada kata yang boleh mengungkapkan rasa bangga dan terharu saya terhadap penghormatan yang diberikan oleh pemimpin Indonesia ini terhadap Sdr Anwar Ibrahim.  Dipengakhir perjumpaan tersebut, Pak Amien mengatakan bahawa beliau akan menyusul kami ke Masjid Al-Azhar untuk membuat satu kenyataan khas buat Sdr Anwar Ibrahim.

Kira-kira jam 8.00 pagi kami telah bertolak ke Dewan Musyawarah Masjid Al-Azhar, iaitu sebuah masjid dan Pusat Islam yang dibina oleh tokoh ulamak Indonesia yang terkenal iaitu Pak Hamka.  Kami telah disambut oleh Pemimpin Dewan Ulamak Indonesia dan beberapa pemimpin Pertubuhan Islam sebaik sahaja kami tiba di sana.  Majlis dailog tersebut telah dimulakan dengan ucapan Sekretari Persatuan Ulamak Indonesia, Haji Hashim Omar dan diikuti oleh ucapan Sdr Ezam Mohd Nor.  Selepas Sdr Ezam menyampaikan ucapannya, Dato' Sheikh Azmi Ahmad, Naib Presiden KeADILan telah menerangkan tentang perjalanan pembicaraan kes liwat Sdr Anwar Ibrahim yang sedang berjalan yang jelas bertentangan dengan kaedah hukum Islam.  Datin Seri Wan Azizah telah menutup majlis penerangan tersebut dengan memperjelaskan gerakan hak asasi manusia di Malaysia dan keadaan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Kira-kira jam 10.30 pagi, Pak Amien Rais telah muncul dan sekaligu telah membuat kenyataan akhbar bersama dengan Datin Seri Wan Azizah.

Antara kenyataan Pak Amien yang bisa saya utarakan disini adalah seperti berikut :- Pertemuan Dengan Datin Seri Wan Azizah dan rombongan adalah untuk menjalinkan silaturahim dan untuk membincangkan isu kezaliman ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim.  Beliau menjelaskan bahawa Datin Seri Wan Azizah telah bertemu dengan Presiden Indonesia KH Abd Rahman Wahid dan Naib Presiden Indonesia, Megawati Soekarno Putri serta mimpinan utama parti politik di Indonesia.

Pak Amien secara jelas telah menyatakan bahawa beliau dan rakyat Indonesia mendesak agar Dato' Seri Anwar Ibrahim diberikan layanan yang adil, sopan, bermoral dan tidak kurang ajar  Beliau meminta agar fitnah tidak dijadikan alat untuk menghukum Anwar. Dan merayu kepada Pemerintah dan Pertubuhan Islam di Indonesia agar mendesak supaya penahanan Anwar Ibrahim dianggap sebagai penahanan politik dan bukan penjenayah. Deligasi KeADILan telah berangkat ke Universiti Indonesia selepas majlis tersebut.

Tepat jam 2.00 petang selepas menunaikan solat Jamak Taqdim Zohor dan Asar di Masjid Universiti Indonesia, kami telah mengadakan majlis silaturahim dengan badan pengurusan masjid tersebut.  Kira-kira jam 3.00 petang, Majlis Dailog diantara Sdri Nurul Izzah, Sdr Ezam Mohd Nor dan Dato' Sheikh Azmi telah diadakan bersama dengan pelajar UI.  Sambutan yang diberikan amat menggalakkan dan pelajar membanjiri 2/3 masjid tersebut. Saya dan Sdri Nurul Izzah bersama berberapa muslimat yang lain telah bergegas ke Astaga.com iaitu sebuah laman yang kini menjadi laman terbesar di Indonesia untuk menghadiri temuramah eksklusif dengan mengunakan kaedah chat.  Sdr Ezam dan teman-teman lain telah bergerak untuk menghadiri pertemuan dengan Bapak Adnan Buyung Nasution. Sebaik sahaja Nurul selesai ditemuramah, kami telah ke Stesyen Televisyen SCTV untuk Temuramah Eksklusif secara life dalam Liputan 6 atau "Buletin Utama".  Selepas Sdri Nurul Izzah selesai liputan tersebut, Sdr Ezam dan Dato' Sheikh Azmi telah sampai untuk merakam temuramah mereka pula yang akan diterbitkan esok.

Selesai temuramah tersebut kami telah berangkat ke Kompleks Tim dimana Sdri Nurul Izzah telah menghadiri satu pertemuan dengan penyair terkenal Indonesia, Rendra dan sekaligus berucap dalam satu majlis bacaan puisi.  Dato Sheikh Azmi dan Sdr Ezam serta teman-teman lain telah menghadiri satu perjumpaan dengan pertubuhan-pertubuhan pelajar Islam Indonesia.  Selepas program ini kami akan berangkat pulang ke hotel kami untuk menghadiri perjumpaan dengan beberapa orang pengerak pertubuhan Islam di Indonesia.

Laporan lanjut akan saya berikan esok InsyaAllah.  Salam buat teman-teman di Malaysia.

LOKMAN ADAM
Exco Pergerakan Pemuda KeADILan
Jakarta - 16/5/2000