ISA LAGI, APA NAK JADI DENGAN MALAYSIA?

Selepas Mesyuarat Pemuda Barisan Alternatif sekitar jam 3.00 petang tadi, saya telah diekori oleh 2 orang anggota Cawangan Khas dengan menaiki kereta Toyota SEG 1.6 dengan nombor pendaftaran Johor. Bila saya mengejar kenderaan tersebut mereka melarikan diri. Sekitar jam 5.00 petang sewaktu di Ibu Pejabat KeADILan, mereka telah menghantar kumpulan yang lebih besar untuk mengepung saya, Alhamdulillah sekali lagi saya berjaya keluar daripada bangunan tersebut dan menuju ke Plaza tol Damansara. Mereka yang menyedari kehilangan saya telah mengejar saya dengan mengunakan motosikal RXZ dan Proton Wira. Peringkat awal agak ramai yang mengejar, tetapi bila sampai di plaza tol Damansara cuma tinggal 4 buah motosikal dan sebuah kereta proton wira berwarna hitam sahaja. Nasib saya baik, kereta saya yang sering meragam hari ini bisa memecut sekitar 160 – 175 km sejam hari ini. Bayang mereka hilang selepas saya melepasi Tanjung Malim.

Ketika sedang berlumba dengan anggota cawangan khas tadi, barulah teman-teman daripada pihak keselamatan memaklumkan tentang operasi “Bangsar” yang mereka lancarkan dan siapa yang diburu. Bengang betul dibuatnya, dah kena hambat baru dia orang beritahu, nasib baik beg baju untuk ke program ceramah setiap hari masih banyak di dalam kereta. Teman tersebut memberitahu bahawa sasaran kali ini seramai 9 orang iaitu, Tian Chua, Hishammuddin Rais, Shaari Sungip dan Ezam yang sudah diangkut serta Malik Hussein, N. Gobalakrishnan, Khalid Jaafar , Ruslan Kasim dan saya yang masih diburu. Lewat petang tadi Gobala pula ditahan di Langkawi.

Sekitar jam 7.15 petang, satu lagi panggilan diterima, kali ini daripada Cawangan Khas Bukit Aman. Saya mula pening, maklumat terkini yang diberikan agak berbeza dengan maklumat awal. Menurut mereka operasi yang mereka jalankan adalah operasi “Jala Besar” dan sasaran mereka untuk mengangkut 27 orang sekaligus. Tak kisahlah operasi apapun, yang saya tak faham kenapa Mahathir dan Dollah begitu terdesak sampai perlu gunakan ISA? Tahun ini saya rasa pendokong reformasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) cukup bertolak ansur dan berlembut. Jika sebelum ini 14 April kita jadikan “Hari Memperingati Kezaliman Mahathir” dan disambut dengan demonstrasi besar-besaran, kali ini kita lembutkan tema sambutan kepada “Hari Menentang Kezaliman” dan program yang dianjurkan cukup sederhana. Menjelang 14 April Pemuda Barisan Alternatif hanya akan menganjurkan Ceramah Umum di Taman Melewar dan diikuti dengan Konvensyen Ekonomi di Angkasa. Takkan dengan hanya dua program ini ISA perlu digunakan ke atas pimpinan politik, sejak bila konvensyen ekonomi menjadi ancaman terhadap keselamatan negara? Shaari, Tian dan Hisham pula sekadar menyerahkan memorandum rakyat kepada Suhakam, itupun mereka telah terima jawapan rasmi dari Suhakam tentang kesediaan mereka untuk menerima memorandum tersebut. Mahathir dan Dollah sewajarnya bersyukur kerana kita langsung tidak bercadang untuk menganjurkan demonstrasi aman seperti biasa. Sewajarnya pendekatan sambutan Black 14 yang sudah menjadi 14 April tahun ini dianggap sebagai satu perkembangan yang positif dan kezaliman yang ditentang rakyat tidak sepatutnya diulangi.

Selaku Setiausaha Pemuda Barisan Alternatif, saya ingin menyatakan disini bahawa pendirian kami adalah jelas, bahawa walau apa jua tekanan yang akan dikenakan, namun kami tetap tidak akan berundur walau selangkahpun daripada terus memperjuangkan hak asasi manusia, kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan akan menentang kezaliman, penindasan, diskriminasi, korupsi, kolusi dan rompakan dana rakyat.

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memperkukuhkan keazaman bagi memastikan Sambutan Ulangtahun ke 2 “Hari Menentang Kezaliman” ini diberikan sokongan padu bagi memastikan kejayaannya. Teman-teman Parti Komponen Pemuda Barisan Alternatif akan memastikan segala apa yang kita rancang, khususnya Konvensyen Ekonomi Pemuda Barisan Alternatif akan kami laksanakan dengan jayanya.

Mereka yang mempunyai telefon tangan menggunakan perkhidmatan Maxis dan Celcom digalakkan untuk menghantar nombor telefon kalian kepada pemudaalternatif@freeanwar.com bagi membolehkan kami menghantar SMS berhubung perkembangan terkini.

“LAWAN TETAP LAWAN”

LOKMAN ADAM 6.30 PAGI – 11 April 2001 OT 31/98