BINGKISAN DARI KOTA LONDON 2

LOKMAN NOOR ADAM

 

Assalamualaikum w.b.t.

2hb Mei, 2000

Kami telah keluar agak awal pagi tadi untuk ke Tottenham Court Road untuk ke kedai buku.  Kira-kira jam 2.00 petang kami telah bertolak ke stesyen keretapi untuk menaiki keretapi ke Coventry.  Setibanya di Coventry kami telah dibawa ke salah sebuah rumah pelajar University of Warwick.

Kira-kira jam 8.00 malam, kami telah bertolak ke University of Warwick untuk sessi forum dengan pelajar Warwick dan teman-teman dari Bermingham yang agak hampir.  Sejak dari majlis solat maghrib berjemaah lagi pelajar-pelajar disini telah menunjukkan semangat mereka yang berkobar-kobar.  Jumlah pelajar yang menghadiri forum tersebut amat mengagumkan kerana universiti ini dikenali sebagai kubu kuat Kelab UMNO.  Kami juga terharu dengan kehadiran pelajar Cina yang agak memberangsangkan serta terlibat secara aktif dalam sessi soal jawab.   Berbagai idea dan persoalan yang dikemukakan kepada Dr Syed Hussein Ali dan Sdr Mohd Ezam.  Selepas program tersebut kami telah mengadakan perjumpaan tertutup dengan sekumpulan pelajar bakal pengerak reformasi di UK.

3hb Mei, 2000

Tepat jam 8.00 pagi kami telah dihidangkan dengan nasi goreng oleh pelajar-pelajar University of Warwick, ternyata mereka ini mempunyai potensi jadi Chef kalau tak dapat kerja bila pulang nanti.  Selepas itu kami telah mengadakan sessi forografi sebelum berangkat ke stesyen keretapi Coventry. Kira-kira jam 11.10 pagi, kami telah bertolak ke Manchester.

Jam 1.00 tengahari kami telah disambut oleh teman-teman di Manchester, dihidangkan dengan masakan Malaysia sebelum dibawa ke UMIST.  Sambutan yang diterima di UMIST sekali lagi amat menggalakkan.  Ada juga teman-teman dari Kelab UMNO yang turut hadir dalam program dialog dengan kedua-dua pimpinan Barisan Alternatif tersebut.  Sessi dialog yang berlangsung selama tiga jam itu kemudiannya disambung semula disebelah malam untuk memberi peluang kepada jawatankuasa penaja KeADILan Antarabangsa Manchester untuk bertukar-tukar fikiran dan meluahkan idea mereka.  Disebabkan keletihan kerana program yang terlalu padat, saya terpaksa meninggalkan perbincangan tersebut sebelum ia tamat.  Esok kita akan pulang ke London untuk program-program yang dijadualkan di London School of Economis dan beberapa tempat lain.

Salam perjuangan untuk teman-teman di Malaysia.  Wassalam.

"PEMUDA PEMANGKIN GERAKAN REFORMASI"

LOKMAN ADAM
OT31/98