APABILA LIM KIT SIANG BERCAKAP TENTANG POLITIK ISLAM ….. BN MENUNGGU NAFAS
TERAKHIR
 
        Saya suka mengikuti beberapa siri pandangan dan ulasan yang diberikan oleh
saudara Lim Kit Siang antaranya huraian beliau tentang pemikiran politik Rashid
Ghannouchi, seorang tokoh gerakan Islam Tunisia, masa depan Barisan Alternatif
(BA) dan hubungan antara DAP dengan PAS. Saya juga terbaca ulasan pembaca yang
ditulis berhubung dengan pandangan saudara Lim tentang politik Islam.
Sememangnya kita perlulah lebih bersikap terbuka dan positif terutamanya sewaktu
menerima, membaca, menganalisa dan menjustifikasikan mana-mana pandangan.
        Pada pengamatan saya, semuanya kembali kepada kebijaksanaan Dato’ Fadzil Noor
sewaktu menubuhkan GERAK dahulu. Aksi politik (political action) beliau telah
berjaya memberikan sumbangan ke arah tertegaknya sebuah sistem pemerintahan yang
berdasarkan Islam di Malaysia. Kita perlu merujuk inisiatif beliau ini yang
selepas itu berjaya pula menggabungkan beberapa parti politik pembangkang di
dalam sebuah barisan gabungan yang dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA).
Pada hakikatnya penggabungan ini telah mencorakkan sebuah suasana baru bagi
menggantikan sosio-politik masyarakat Malaysia yang telah sekian lama suram.
Perubahan sosio-politik yang disaksikan oleh rakyat samada mereka sedar ataupun
tidak, iaitu perubahan budaya dan pemikiran politik di kalangan masyarakat
Melayu beragama Islam dan masyarakat bukan Islam. Sebelum saya melanjutkan
perbincangan tentang bagaimanakah bentuk perubahan budaya dan pemikiran politik
tersebut, ingin ditegaskan terlebih dahulu perubahan ini tidak pernah berlaku di
dalam dunia politik Barisan Nasional (BN) dan UMNO khususnya benar-benar tidak
bersedia menjadikan perubahan tersebut sebagai agenda utama parti itu.
        Jika sebelum ini entah bagaimana dan daripada mana wujudnya “blok tebal” di
antara orang Melayu dan masyarakat lain seperti Cina dan India, yang menghalang
diskusi, forum, seminar dan nadwah yang membincangkan tentang hak-hak rakyat
untuk beragama, sosial dan politik apatah lagi tentang konsep negara Islam
secara dua hala ataupun lebih terbuka. Masyarakat Islam sering melihat bangsa
asing khususnya orang Cina dengan suatu pandangan yang negatif sementara
tanggapan yang menjadi tradisi orang Cina tentang Islam yang diperjuangkan oleh
parti tertentu sebagai usaha menghapus atau mengurangkan kedudukan mereka. Dalam
suasana yang sengaja dibiarkan kabur ini, pertamanya telah lahir suatu budaya
dan pemikiran politik yang rigid di antara parti PAS dan DAP. Adalah begitu
sukar sekali untuk memecahkah kebekuan ini dengan mencari titik-titik pertemuan
yang boleh menemu-jalinkan kesemua gelanggang politik yang ada. Keduanya BN
khususnya UMNO, MCA dan MIC telah mengambil kesempatan yang selebar-lebarnya
bagi mengekalkan kuasa mereka.  Jika pemisah budaya dan pemikiran politik antara
PAS dan DAP masih berkekalan, BN akan sentiasa meraut segala keuntungannya.
        Jika disorot kembali ke belakang, istilah-istilah politik dan perundangan Islam
seperti Siyasah Syar’iyyah, Dawlah Islamiyyah, Maslahah, Hudud, Qisas, Takzir
dan sebagainya hanya berlegar di sekitar “Taman Melewar” sahaja dan
istilah-istilah tersebut tidak pernah dilihat dengan tanggapan yang positif 
oleh masyarakat bukan Islam. Dalam bahasa yang lain, usaha yang menghendaki
sebuah perbincangan terbuka diadakan bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada
mereka (bukan Islam) kurang mendapat publisiti meluas.
        Apabila terbaca pandangan Lim Kit Siang ataupun saya katakan ia sebagai suara
hati beliau, saya merasakan titik tolak ke arah perubahan sosio-politik Malaysia
sedang berlaku. Begitu menarik sekali kupasan beliau yang turut menyentuh
persoalan Siyasah Syar’iyyah  dan negara Islam yang saya rasakan Dr. Mahathir,
Dr Lim Liong Sik dan Samy Vellu pun tidak mampu menandingi kehujahan saudara
Lim. Malah ia memberikan penyelesaian kepada komponen BA dan lebih bernas
daripada teks ucapan Dr. Mahathir yang disediakan oleh “tokoh agama”
peribadinya.
        Daripada huraian saudara Lim, saya melihat poin terbesar yang ingin disuarakan
beliau ialah tentang kesediaan DAP untuk berkompromi dengan BA dan lebih
spesifik lagi dengan parti PAS dalam mewujudkan sebuah kerajaan alternatif.
Cita-cita ini amat besar sekali di mana PAS mewakili suara umat Islam dan DAP
menjadi suara orang bukan Islam. Tidak terpinggir dalam meniti arus ini beberapa
parti lain seperti Keadilan dan PRM. Secara sedar ataupun sebaliknya, Lim Kit
Siang telah mengkritik beberapa budaya dan pemikiran rigid yang selama ini
menguasai kedua-dua pihak (PAS dan DAP). Beliau meyarankan agar PAS dapat
memperjelaskan terlebih dahulu apakah itu negara Islam yang sepatutnya, sistem
politik dan sejauhmanakah hak-hak asasi manusia boleh terjamin selepas “negara”
itu ditubuhkan. Maknanya jika PAS bersedia untuk itu, DAP akan lebih terbuka
hati dan telinganya untuk berkompromi.
        Hasrat dan luahan saudara Lim ini wajar mendapat perhatian yang serius oleh
pendokong parti Islam kerana setidak-tidaknya pendapat itu menjadi suara seorang
pemimpin politik masyarakat bukan Islam. Para pemimpin PAS tidak seharusnya
berdiam diri dengan hanya berpada dengan beberapa isu asas yang disepakati
secara bersama dengan komponen BA. Sikap memendamkan isu negara Islam akan
memberikan “pedang” yang tajam kedapa BN mencantas permuafakatan BA menjelang
pilihanraya 2004 nanti. Oleh itu sikap yang lebih terbuka sangat-sangat
diperlukan oleh kedua-dua pihak bagi mengorak langkah ke arah mencetuskan
perubahan sosio-politik Malaysia lebih-lebih lagi memberikan paradigma politik
kepada pengundi-pengundi yang semakin sedar untuk membuat perubahan dalam
pilihanraya akan datang.
        Bercakap tentang hak-hak asasi yang perlu diperjuangkan oleh setiap komponen
BA, tidak bermaksud PAS perlu mengendurkan idealisme perjuangan dalam menegakkan
syariat Islam dan negara Islam dan DAP juga tidak perlu terlalu mendesak
sehingga boleh menggadaikan prinsip perjuangan parti komponen BA. Saya merasakan
ada sesuatu yang masih kekurangan pada tanggapan saudara Lim berhubung dengan
pendekatan PAS khususnya dalam menarik minat bukan Islam menyokong parti itu.
Menurut beliau, PAS sebagai tonggak BA perlulah menjuarai perjuangan menuntut
keadilan, kebebasan dan kesamaan yang merupakan hak semulajadi manusia yang
dianugerahkan oleh Allah tanpa mengambil kira perbezaan bangsa, bahasa dan
agama. Rentetan daripada itu, saudara Lim secara simbolik menyatakan sokongan
kepada BA dapat ditingkatkan lagi dengan PAS sendiri meletakkan perjuangan
hak-hak asasi ini di antara agenda perdana parti itu. Agenda itu akan kelihatan
lebih mendapat perhatian masyarakat bukan Islam khususnya orang Cina jika
dibandingkan dengan slogan negara Islam semata-mata.
        Dari aspek ini saya melihat ada rasionalnya pendapat saudara Lim. Perjuangan
menegakkan Syariat Islam melalui penubuhan negara yang bercirikan Islam
sememangnya menjadi idealisme perjuangan anggota PAS dan setiap muslim yang
waras. Namun hal ini biasanya berlaku jika semua rakyat Malaysia terdiri
daripada mereka yang beragama Islam sahaja. Namun realiti Malaysia yang bergerak
di atas struktur sosial yang terbina daripada masyarakat majmuk, orang bukan
Islam melebihi 40% nisbah kependudukan tidaklah boleh diketepikan sesekali.
Apatah lagi sewaktu idealisme politik masyarakat Melayu terbahagi kepada PAS dan
UMNO maka simpati golongan 40% ini sangat diperlukan. Dalam usaha mencari satu
titik pertemuan di antara rakyat Islam dan bukan Islam maka saudara Lim
berpendapat proses ini akan lebih meyakinkan golongan bukan Islam sekiranya
perjuangan mendapatkan hak-hak asasi rakyat menjadi agenda utama BA. Dengan
hak-hak yang diperjuangkan itu maka sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat BA
berjaya menyatukan suara rakyat Islam dan bukan Islam menjatuhkan kezaliman
kerajaan BN yang sudah bangkrap ini.
        Suara saudara Lim tersebut antara lain menegaskan DAP akan terus setia bersama
BA jika hak-hak rakyat yang sememangnya menjadi dasar perjuangannya, dapat
diterapkan ke dalam BA dan selepas ini bukan hanya DAP sahaja yang
menyuarakannya. Bagi pihak PAS pula, tindakan ini sekurang-kurangnya membantu
PAS menjelaskan pandangan Islam yang sebenar kepada bukan Islam. Justeru itu,
suatu gabungan yang mantap dalam tempoh hayat yang panjang seperti ini mesti
dikukuhkan di samping beberapa agenda perdana juga perlu diperkemaskan.
        Jika ditinjau dari perspektif Islam, segala hak-hak asasi seperti kebebasan,
keadilan sejagat, persamaan dan sebagainya merupakan prinsip-prinsip sistem
politik Islam (Qawa’id Nizām al-Hukm). Ia sangat ditekankan oleh al-Quran
dan Sunnah yang menyeru umat Islam menjadi masyarakat yang bebas, adil dan hidup
penuh bersaudara dan negara yang ditadbir oleh mereka mestilah menjadi
berlandaskan prinsip-prinsip tersebut. Jika dilihat dari sudut yang lebih
mendalam, sebenarnya saudara Lim tidak perlu risau kerana segala hak-hak
tersebut merupakan kewajipan agama umat Islam yang menyamai kewajipan solat,
puasa, haji dan sebagainya. Di atas nama kewajipan agama, perjuangan menuntut
hak-hak tersebut bukan sekadar tuntutan moral dan kesedaran untuk mencapai taraf
hidup yang selesa sahaja bahkan suatu tuntutan yang melibatkan soal pahala dan
dosa. Bagi umat Islam perjuangan tersebut berjalan seiring dengan perjuangan
menegakkan negara Islam dalam sebuah unit yang tidak terpisah.
        Jika kita melihat dunia politik BN pula, Dr. Lim Liong Sik dan Samy Vellu yang
mewakili orang bukan Islam dalam BN tidak pernah berfikiran positif seperti
saudara Lim. Apatah lagi untuk membincangkan Siyasah Syar’iyyah dan kenegaraan
Islam sudah tentu Dr. Lim dan Samy Vellu tidak biasa mendengarnya daripada
sekutu mereka iaitu UMNO. Kedua-duanya tidak ubah seperti kertas potostat dan
suara rakaman Dr. Mahathir. Lebih memalukan lagi apabila mendakwa sebagai orang
yang paling berjasa kepada Islam, Dr. Mahathir sedikitpun tidak pernah untuk
mengaruhi Dr. Lim dan Samy Vellu untuk melihat Islam secara labih jauh dengan
positif dan tidak terlalu biadap sewaktu membicarakan selok belok Islam.
        Perubahan budaya dan pemikiran politik dalam komponen BA sangat-sangat
merugikan BN yang telah sekian lama mengunci budaya dan pemikiran politik rakyat
Malaysia. Malah lebih menjijikkan lagi apabila UMNO sanggup memperjudikan agama
untuk mematahkan segala “kunci” yang dapat membuka kebekuan ini. Perpaduan di
antara pembangkang merupakan mimpi ngeri yang menakutkan Dr. Mahathir dan
kawan-kawannya.
        Jika perubahan ini semakin mengembang dan terus berjalan dalam persekitaran
sosio-politik yang sihat maka tidak mustahil, riwayat hidup BN sudah sampai ke
penghujungnya. Namun perlu diingatkan jika perpaduan antara PAS dan DAP serta
komponen BA lain telah mula goyah maka cita-cita menegakkan sebuah negara
Malaysia yang adil hanya tinggal kenangan indah bagi rakyat Malaysia yang
sentiasa mahukan keadilan. Dikatakan lagi jika DAP dan PAS bergeser kali ini
maka untuk kembali sekali lagi ke dalam sebuah platform politik yang satu akan
mengambil masa setidak-tidaknya 20 tahun.
 
 
 
 
(name protected)
UM
Mustazhir@hotmail.com
21-09-2000