LAPORAN HARI KEDUA JELAJAH SEMENANJUNG
“GERAKAN MENGHUKUM MAHATHIR”
Anjuran Pemuda KeADILan Malaysia

Tepat jam 9.30 pagi kami telah bertolak ke Masjid Negeri di Ipoh.  Ketibaan kami telah disambut oleh sekitar 200 orang rakyat dan wartawan.  Semangat yang mereka tonjolkan cukup luar biasa.  Selepas penerangan diberikan berhubung dengan laporan polis yang akan dibuat, kami telah berarak ke Balai Polis Daerah Ipoh.

Kami telah disambut dengan layanan yang agak baik tanpa sebarang gangguan.  Alhamdulillah sebanyak 141 orang telah menandatangani laporan polis yang telah dibuat oleh Sdr Zulkifly bin Haji Ibrahim, Setiausaha Badan Perhubungan KeADILan Negeri Perak mewakili semua yang hadir.  Ketika saya, Sdr Ezam, Sdr Zahid, Sdr Meor Abd Rahman, Tn. Haji Othman, Sdr Azman Marjohan, Pn. Zainab dan Pn. Suzana mengiringi Sdr Zulkifly untuk membuat laporan, teman-taman yang hadir telah dibenarkan untuk berkumpul di dalam perkarangan balai tanpa sebarang masalah.  Laporan yang telah dibuat pada jam 10.50 pagi itu telah dirujuk sebagai kes Tun H.S. Lee, No. Report : 15998/2000 dan pegawai penyiasat untuk kes ini adalah Insp. Merbin yang juga dari balai yang sama.

Sekitar jam 11.30 pagi kami telah membahagikan hadirin yang hadir kepada tiga kumpulan dan telah bergerak kesetiap pelusuk Bandaraya Ipoh untuk mengedarkan Laporan Polis DSAI berhubung dengan penyalahgunaan kuasa Dr. Mahathir Mohamad. Selepas Ipoh, kami telah bergerak menuju ke Kuala Kangsar.  Kami telah menjalankan operasi mengedarkan laporan polis DSAI selama dua jam hingga jam 5.00 petang.  Memandangkan permintaan dari teman-teman Barisan Alternatif di Chenderoh kami telah singgah untuk bertemu dengan penduduk tempatan dalam satu majlis jamuan ringan.  Walaupun keletihan kerana program yang terlalu padat dan penat berjalan mengedarkan laporan polis DSAI, namun semangat yang ditonjolkan oleh teman-teman di Perak cukup memuaskan hati kami.

Kira-kira jam 6.15 petang kami telah sampai di Taiping untuk menjalankan operasi yang sama di Pasar Malam terbesar di pinggir Pekan Taiping.  Sdr. Ezam mendapat sambutan yang luar biasa oleh pengunjung pasar malam tersebut memandangkan beliau begitu jarang sampai ke Taiping.  Taiping merupakan destinasi terakhir kami di Negeri Perak, kami telah berpisah dengan beberapa kumpulan yang mengiringi kami sejak awal lagi dan meneruskan perjalanan kami ke Pulau Pinang dengan diiringi oleh dua buah kerata lain.

Selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Jamek Seberang Jaya kami telah dijamu dengan nasi kandar oleh teman-teman dari Badan Perhubungan, Pemuda dan Wanita Pulau Pinang.  Selepas jamuan tersebut kami telah bertolak ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk mengadakan pertemuan tertutup dengan penyokong KeADILan Pulau Pinang bagi sessi penerangan berhubung isu Laporan Polis Ke Atas Dr. Mahathir Mohamad.

“Pemuda Pemangkin Gerakan Reformasi”
LOKMAN ADAM
Exco Pergerakan Pemuda KeADILan Malaysia