Dari: Pendekar Kundur

 

Assalamualaikum

Pengalaman Busuk di Lokap Dang Wangi.........

Aku ingin menceritakan pengalaman pertama ku di dalam lokap polis, walaupun aku bukanlah seorang penulis, apatah lagi seorang cerpenis.  Aku senghaja mengkaburkan berberapa perkara tertentu tetapi segala fakta adalah benar belaka.  Sebenarnya tulisan ini akan terlalu panjang hasil dari beberapa hari pengalaman semasa dalam tahanan reman. Tujuan tulisan ini tertumpu kepada penyelewengan yang begitu ketara dan berleluasa yang berlaku dalam sebuah lokap polis untuk renungan semua dan hasilnya akan mengambarkan kewibawaan pasukan polis keseluruhannya.

Aku tidak bertujuan untuk menceritakan dimana, bagaimana dan mengapa aku ditahan, dan tidak juga bertujuan untuk menukilkan penderitaan yang dialamai, yang kadang-kadang aku rasakan bukan penderitaan tetapi satu pendedahan dan pengenalan kepada pasukan polis yang selama ini cuba ku berikan penghormatan, tetapi akhirnya ternyata penghormatan ku yang sedikit itu hapus dan pupus setelah mendapati mereka itu bagaikan sekumpulan anjing yang sentiasa menjulurkan lidahnya, sama ada diberi makan atau pun tidak, akan terus menjelirkan lidah. Apatah lagi sikap buruk anjing yang makan tahi, kalau pun tak di makannya tetap dihidunya juga.

Cukuplah sekadar itu mukaddimah...ayuh ku bawa masuk ke  tempat penginapan sementara ku.....

Seorang lelaki India berpangkat Kopral 'menyambut' kehadiran ku sebaik sahaja pintu besi yang hanya ada sebuah lubang 6 X 6 inci itu dibuka dan dengan tertutupnya pintu besi yang memisahkan dunia luar itu dengan ruang lokap tersebut bermakna terputuslah kebebasan dunia luar dalam kehidupan ku untuk sementara waktu. Aku melintasi ruang itu, yang hanya sebesar 6 X8 kaki untuk masuk ke kawasan lokap.  Terdapat sebuah meja dan sebuah almari besi berlaci dan white-board mencatitkan nama-nama penghuni lokap.  Melintasi ruang itu bermakna, melintasi sebuah pintu bilah besi untuk masuk satu ruang yang terkepung oleh bilah-bilah besi sebelum dipindahkan ke dalam sel-sel yang kemuanya terdapat sebanyak 7 buah.  Di ruang ini, semua tahanan akan dipereksa sebelum di masukkan ke dalam sel. Terdapat seorang lelaki Melayu berpangkat Lance Kopral menunggu kedatangan ku.  Aku diarahkan untuk mengeluarkan semua barangan yang ada dalam saku dan kocek seluar, jam dan cincin, kasut dan pakaian ku disuruh lucutkan. Kesemua barang tersebut dicatitkan dalam buku daftar barang orang yang ditahan dan cap jari kanan ku diambil sebagai pengesahan. Di antara barangan yang diserahkan termasuk wang tunai sebanyak RM 64 yang senghaja ku bawa untuk buat tambang sekiranya aku dibebaskan kelak.  Semasa penyerahan barang tersebut hanya RM60  sahaja yang dicatitkan sementara RM4 diserahkan kepada ku oleh L/Kopral tersebut sambil dia berbisik "buat denak" sedangkan aku kurang pasti apa maksud perkataannya itu.  Dalam keadaan hanya berseluar panjang sahaja tiba-tiba aku diherdik oleh Kopral India tersebut supaya aku membuka seluar panjang ku itu.  Aku jadi binggung seketika dan minta penjelasan.  Aku boleh memakai seluar tersebut tapi dia menghendaki aku membukanya dahulu untuk diperiksa sebelum aku dibenarkan memakainya kembali dalam erti kata yang lain aku mesti berbogel semasa diperiksa.  Arahan tersebut terus ku bantah apabila sempat ku jeling ke semua 7 buah sel.  Aku dapati hampir kesemua penghuni sel memandang ke arah ku yang jumlah mereka hampir mencecah 100 orang.  Kopral India tersebut terus mengherdik dan aku membantah sambil meminta penjelasan.  Aku tahu dia boleh membuat pemeriksaan seperti yang dikehendaki tetapi itu tidak bermakna aku harus berbogel dan sekiranya itu satu kemestian yang tidak boleh tidak, dia sepatutnya membuat pemeriksaan di tempat yang tertutup, bukan di hadapan lain-lain penghuni dan tempat yang terbuka.  Dia terus mengeras dan aku masih bertahan.  Tiba-tiba masuk seorang lekai Melayu muda berpangkat L/kopral meluru dan memegang tangan ku sambil mengherdik dan mengancam dan tika itu aku sudah pun bersedia untuk 'menjawab' sebarang kekerasan yang mungkin berlaku.  Dengan jari telunjuk yang menuding ke mukanya bersama-sama beberapa patah perkataan (rahsia) yang keluar dari mulut ku menyebabkan beliau mengheret ku masuk ke sebuah bilik dan meminta penjelasan lanjut.  Setelah mendapat penjelasan tersebut, beliau tunduk dan meminta maaf di atas kekasaran dan celuparnya dan aku disuruh memasukkan barang-barang seperti kasut, tali pinggang dan sehelai baju ke dalam peti yang terdapat di dalam bilik tersebut.  Selepas itu aku dimasukkan ke dalam sel No 4 yang panjangnya lebih kurang 50 X 15 kaki.  Di dalamnya terdapat 35 orang penghuni yang hampir keseluruhannya penagih dadah yang sedang menunggu keputusan air kencing dan sebahagiannya lagi sedang menunggu untuk dihantar ke Pusat Pemulihan di  Rawang dan di Raub

Aku sekarang di kelilingi oleh penagih-penagih dadah yang kebanyakkannya anak-anak melayu, 9 lelaki Cina dan seorang lelaki India.  Mereka kebanyakkan kurus-kurus belaka.  Ramai yang memakai seluar pendek dan seluar dalam sahaja sementara aku dan beberapa orang lagi memakai seluar panjang.  Mereka berbaring dan ada yang sedang lena sambil ada juga yang sedang berborak-borak dalam kumpulan kecil.  Mereka tidak menunjukkan apa-apa reaksi yang ketara diatas kehadiran ku di dalam sel itu.  Mereka membiarkan aku melayani perasaan sendiri yang sambil cuba menyesuaikan diri dengan keadaan yang tidak selesa itu.  Bau pahit dan busuk badan penagih dadah dan bau hancing air kencing mencucuk hidung ku.

Di tepi pintu geriji besi terdapat bebarapa botol bekas air mineral yang digunakan untuk menadah kencing penghuni sel yang terkurung dan sebahagian botol lagi berisi dengan air paip untuk di minum oleh penghuni sel.  Tidak ada perbezaan pada botol-botol tersebut hanya kandungannya sahaja yang berbeza, satu berwarna kuning pekat dan satu air paip keperangan.  Berdepan dengan sel itu terdapt sebuah tempat yang terkurung dengan jeriji besi sekelilingnya, di mana 2 anggota polis duduk bertugas dan kopralnya pula berada di dalam ruang yang aku sebutkan awal tadi.

Disebelah bahagian kanan terdapt Sel No 1, 2 dan 3 yang ukuranya lebih kurang 10 X 10 kaki dan dipenuhi oleh 8 ke 10 orang penghuni setiap satu.  Hampir kesemua mereka juga adalah penagih dadah.  Di sebelah lokap ku pula lokap No 5 yang besar sedikit dan menampung 10/15 orang penghuni yang kemudiannya aku dapati mereka terdiri dari "Pejuang" Aceh, pemuda pakisatan, India dan Tibet yang merupakan pendatang asing. Sel aku dan sel No 5 ini dipisahkan oleh sebuah stor tempat menyimpan barang-barang tahanan.  Ia dipenuhi oleh petak-petak kayu yang berkunci tetapi tidak beranak kunci.

Disebelah kiri terdapat sel No 6 dan sel No 7 yang dipisahkan dengan sebuah stor yang berkunci.  Sel 6 dihuni oleh penagih dadah juga sedangkan sel No 7 dihuni oleh 2 lelaki Melayu yang sedang ditahan dibawah Ordinan Darurat.  Bilik mandi dan tandas terletak di sebelah kanan sel aku dan sebelah kirinya pula tandas untuk anggota yang bertugas.  Pendek kata kedudukan sel-sel adalah dalam bentuk U menghadap ke tempat -pengawal bertugas.

Berdepan dengan stor yang berkunci (entah apa kandungannya) aku lihat seorang lelaki Cina yang sudah tua terbaring di situ.  Badannya kurus kering dan nampak sedikit berkudis...aku difahamkan bahawa lelaki cina tersebut seorang penagih dadah dan pengidap HIV positif.  Dia tidak mampu berjalan lagi...hanya terbaring dan mengerang kesakitan.  Kencing, berak dan makannya di situ juga.  Dia hanya dijaga oleh 2 lelaki Melayu yang menghuni sel 7 lokap tersebut.

Aku sempat berbual-bual dengan 2 lelaki Melayu tersebut.  Seorang hanya dipanggil Ujang dan seorang lagi dikenali sebagai Mun.  Ujang dan Mun telah ditahan di bawah Emergency Ordinance di atas penglibatannya dengan kes samun bersenjata.  Emergency Ordinance (E.0) ini sama dengan I.S.A., bezanya E.O dikenakan ke atas pesalah jenayah dan ISA dikenakan ke atas mereka yang terlibat dengan kegiatan 'subersif'.  Selepas tahan di bawah E.O. selama 2 bulan (60 hari) pesalah akan dibebaskan atau dikenakan "buang daerah" dibawah kategori tertentu seperti P.C.O (Prevention of crime ordinance) R.R ( Restricted Residence) yang mana pesalah yang tidak cukup bukti untuk dituduh di mahkamah akan di buang ke sesuatu daerah dengan syarat-syarat tertentu selama 2 tahun.  Mengikut Ujang beliau terlibat dengan kes samun bersenjata parang/pisau sebanyak 198 kes bagi tahun 1998.  Beliau berumur lebih kurang 24 tahun dan berasal dari Gemas, Negeri Sembilan.  Antara kes beliau ialah menyamun bas di lebuhraya JB-Seremban dengan menggunakan 2 buah kereta dan meletakkan 4 orang kawan dalam bas semasa berlepas.  Kali terakhir beliau menyamun semasa kempen pilihanraya yang lepas yang mana beliau mengibarkan bendera BN dan menyamun  petugas BN yang membawa wang untuk "dihamburkan" di kawasan Shah Alam dan Kelang.  Beliau mempunyai watak yang keras, kasar dan tidak berperi-kemanusian tetapi sanggup memandikan lelaki Tua berbangsa Cina itu setiap hari sambil membersihkan najis orang tua itu.  Sementara Mun seorang budak muda berumur 18 tahun berasal dari Kampung Delima, KL terlibat setelah mengenali Ujang beberapa bulan sebelum ditangkap.  Seorang yang pendiam,lembut dan boleh diharap walaupun tak boleh dipercayai.  Mereka berdua telah berada di lokap tersebut sejak hampir 6 bulan yang lepas??????? {Kuasa polis menahan di bawah EO hanya 60 hari...apakah mereka telah dihukum???????}

Tugas mereka ialah membuka dan menutup pintu sel. Setiap pagi mereka akan membuka pintu sel untuk melepaskan penghuni sel untuk mandi bergilir-gilir dan membasuh simen luar sel dari masa ke semasa.  Mereka akan menerima makanan dari polis bertugas untuk dibahagi-bahagikan kepada penghuni sel.  Mereka akan menyiapkan beg plastik untuk menyimpan pakaian penghuni baru dan menunjukkan peti simpan barang di stor di samping menjadi "perantara khas" kepada polis dengan orang yang ditahan. Sel mereka tidak berkunci dan mereka bebas mengambil dan membuka mana-mana sel yang difikirkan perlu dan bebas keluar masuk ke stor menyimpan barang-barang pesalah. Ujang seorang perokok dan menagih sedangkan Mun tidak merokok atau menagih.  Mun pernah meminta supaya saya mengusahakan agar dia dapat berjumpa dengan ibunya walaupun saya diberitahu olehnya bahawa ayahnya seorang penagih dan mengidap HIV positif...sehingga sewaktu saya hendak dibebaskan dia merayu untuk berjumpa ibunya dan menyatakan perasaan rindunya terhadap ibu.

Selepas ini aku ingin bercerita tentang kegiatan ujang sebagai penjaga sel sebelum menceritakan bebarapa kegiatan 'jenayah' di dalam lokap tersebut...di antaranya memproses heroin ke dalam straw, penggunakan handphone oleh banduan, membeli makanan dan rokok dengan harga yang lumayan, kejadian memukul tahanan oleh pengedar dadah dan penagih setelah disuruh oleh "cikgu"....kisah hidup lumayan pengedar dadah yang ditahan dan kisah bagaimana satu kes boleh diselesaikan oleh Pegawai Penyiasat.

Tunggu.......

Penghuni Busuk di Lokap Dang Wangi