Oleh Ummu Natasya

ummu_natasya@hotmail.com

 

Apa Lagi Yang Tengku Razaleigh Tunggu?

 

DALAM politik Umno ada ‘permainan’ cukup halus yang sukar untuk dibuktikan, walaupun senang diketahui.

Permainan itu, sengaja disusun begitu rupa, kerana masing-masing mahu melepaskan ‘tengkuk’ sendiri. Kini, permainan paling nyata ialah kem Dolah Badawi berdepan dengan kem Najib Tun Razak.

Yang pasti jadi mangsa ialah Tengku Razaleigh Hamzah kerana dia keseorangan sekarang setelah Dr. Mahathir terperangkap dengan permainan kem Dolah Badawi.

Satu usaha sedang dibuat untuk ‘menurunkan’ Dr. Mahathir dalam tempoh terdekat dan penggantinya Dolah Badawi. Ia disusun dengan rapi oleh Ketua Konspirator menjatuhkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang bernama Aziz Shamsuddin.

Walaupun sehari, Aziz mahu melihat Dolah menjadi Perdana Menteri. Bagi Aziz, setelah dia menjatuhkan Anwar, Dolah adalah pengganti. Tetapi, dalam hati kecilnya bimbang kalau-kalau selepas Dr. Mahathir, bukan Dolah yang mendapat tempat itu. Selain dari Dolah, Aziz merasakan dirinya berada di atas bara api. Dia tersalai dan dia kepanasan seperti cacing di bawah cahaya matahari.

Tengku Razaleigh sepatutnya sedar permainan ini. Pindaan Perlembagaan Umno yang hanya menetapkan sekali pemilihan jawatan dalam tempoh sekali pilihan raya umum adalah usaha Dolah Badawi untuk mengekalkan kedudukannya dan menjamin dia menjadi Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir.

Aziz Shamsuddin membisikkan ketelinga Dr. Mahathir, usah benarkan sebarang pindaan kerana ia akan menyebabkan Tengku Razaleigh melangkah masuk ke ‘kawasan larangan’ seperti bertanding jawatan Presiden ataupun jawatan Timbalan Presiden.

Dr. Mahathir cukup risau kalau-kalau selepas dia tidak lagi menjadi Perdana Menteri, ada usaha melepaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dia tidak mahu Anwar ‘hidup’ di luar penjara. Jika Anwar ‘hidup’ bermakna tapak rumah Dr. Mahathir pun akan terasa ‘ngilu’.

Selain dari tapak rumah Dr. Mahathir terasa ngilu, debaran jantung Aziz Shamsuddin juga akan bertambah kencang. Anak-anak Dolah Badawi, ipar duainya dan saudara mara Dolah cukup risau jika Anwar lepas bebas.

Mungkin sukar untuk Tengku Razaleigh keluar Umno sekali lagi. Ini kerana parti yang didokongnya sudah dibubarkan. Untuk menyertai keADILan, dia terasa khuatir kalau-kalau dosanya dengan PAS tidak boleh diampunkan. Maka, dalam kotak fikiran Tengku Razaleigh sekarang, apakah yang wajar dibuat kerana Umno sudah “menyekatnya” untuk melangkah “ke kawasan larangan” Dolah Badawi dan Dr. Mahathir.

Tengku Razaleigh adalah Ahli MT Umno yang dilantik. Dia nampak betapa kuatnya Tajol Rosli Ghazali bercakap dalam mesyuarat MT yang lalu supaya “jangan ada pertandingan untuk jawatan nombor satu dan nombor dua”.

Dia juga nampak betapa hebatnya Datuk Wira Mohd Ali Rustam bercakap dengan nada yang sama seperti Tajol.

Dalam masa yang sama, Annuar Musa yang memang nyata ‘musuh’ Tengku Razaleigh turut menyokong pendirian dan pandangan Tajol dan Mohd Ali.

Ketiga-tiga mereka ini adalah ‘jenderal’ dalam kem Dolah Badawi. Mereka bercakap atas ‘arahan’ Aziz Shamsuddin. Terkapai-kapai Muhyiddin Mohd Yassin untuk mempertahankan cadangannya tetapi dia tidak sedar, Dolah sudah susun segala-galanya.

Dari celah-celah keletihan ahli-ahli Umno mempertahankan parti yang sedang sakit itu, mereka mengharapkan suara Dato’ Shahrir Abd Samad. Malangnya, Shahrir sudah tidak berani berkokok lagi. Shahrir sudah kepingin mahu menjadi Menteri semula setelah dia lihat Rais Yatim yang ‘bakar jambatan’ sudah kembali menjadi Menteri.

Nun… jauh di sudut lain, masih ada yang mengharapkan Datuk Ahmad Zahid Hamidi turut bercakap mempertahankan peri mustahaknya pindaan perlembagaan yang mampu menarik semula minat orang-orang Melayu kepada Umno.

Malangnya, Zahid yang terlalu sayangkan hartanya tidak boleh bersuara lagi. Dia kini adalah pengerusi Suruhanjaya Perumahan Malaysia (SPM) yang berpejabat di Tingkat 10, Bangunan Dayabumi. SPM adalah satu suruhanjaya yang bertanggungjawab terus kepada Menteri Kewangan. Maka, Zahid kini adalah penjilat Tun Daim Zainuddin.

Dolah Badawi beruntung kerana Daim juga bersama-sama dalam kemnya. Dalam kem ini juga ada Azmi Khalid dan Senator Hamzah Zainuddin. Dolah Badawi sibuk memasang cita-cita, dia tidak akan tergugat dengan perlaksanaan pindaan ini.

Dalam MT Umno tidak ada yang berani menegur dan mencadangkan sesuatu yang berlainan sedikit dari cadangan Dr. Mahathir dan Dolah Badawi. Jambatan Dolah adalah Aziz Shamsuddin. Maknanya, tukang bisik Dr. Mahathir ialah Aziz dan dia sentiasa menyampaikan cerita baik mengenai Dolah dan dalam masa yang sama memastikan Tengku Razaleigh mesti dijauhkan dari ‘kawasan larangan!’

 

habis