KRONOLOGI DIALOG PELAJAR UPM BERSAMA YANG AMAT TIDAK BERHORMAT DATO’ SERI DR M

Saya selaku salah seorang daripada pelajar UPM merasakan bertanggungjawab untuk memberikan kenyataan berhubung dengan situasi sebenar dialog yang telah diadakan di UPM bersama PM pada 15 Disember 2000 yang lepas.

Saya sebenarnya bukanlah orang yang seharusnya masuk dalam Panggung Percubaan (lokasi dialog) untuk terlibat sama dalam dialog tersebut, kerana saya difahamkan bahawa hanya pimpinan-pimpinan persatuan sahaja yang dibenarkan untuk menyertai dialog jika mengikut perancangan asal yang telah dibuat oleh HEP.

Tetapi, saya diminta oleh pegawai HEP untuk menyertai dialog dan segera masuk ke dalam Panggung Percubaan sedangkan saya dan rakan-rakan lain sedang menunggu bas untuk balik ke kolej kediaman setelah tamat kuliah. Kami diminta memenuhkan kerusi-kerusi yang masih kosong kerana ramai pimpinan persatuan yang lebih mementingkan kuliah dan ujian dan ada juga yang memboikot kehadiran Dr Mahathir ke UPM. Daripada kawalan ketat pengawal keselamatan yang akan memeriksa kad jemputan, ia bertukar kepada arahan kepada pelajar untuk masuk segera ke Panggung Percubaan. Mungkin, pihak penganjur akan merasa malu yang teramat sangat kerana liputan mengenai dialog tersebut keluar di siaran televisyen pada malamnya.

Yang Amat Tidak Berhormat Perdana Menteri tiba lebih kurang jam 11.50 pagi di Panggung Percubaan bersama-sama TNC-TNC, dan juga kaki-kaki pengampu yang ingin menunjukkan muka masing-masing. Setelah selesai Naib Canselor memberi ucapan di mana beliau pada ketika itu pucat mukanya kerana memikirkan jika ada apa-apa berlaku semasa dialog maka ia sedikit sebanyak memberi kesan kepadanya, tibalah giliran Perdana Menteri untuk berucap. Maka, tibalah masa dialog yang ditunggu-tunggu. Jika mengikut jadual yang telah ditetapkan, masa dialog hanya diberikan masa selama 30 minit sahaja. Dahlah sedikit, dikurangkan lagi kepada 20 minit pada masa yang sebenar kerana ucapan Perdana Menteri yang meleret-leret seolah-olah khutbah yang menyebabkan makmum nyenyak tidur.

Maka, dengan beraninya Timbalan Presiden PMIUPM menggagahkan dirinya untuk bertanya soalan pertama dan untuk makluman sememangnya mengikut apa yang saya tahu, soalan yang dikemukakan beliau adalah soalan yang telah ditapis, jadi...apa maknanya?. Soalan tersebut ialah  “Adakah Malaysia mengiktiraf Israel sebagai sebuah Negara dan bagaimana pula dengan hubungan dua hala yang telah wujud sekian lama sedangkan kita tahu bahawa Israel adalah zalim dan pembunuh umat Islam Palestin. Kita yang cintakan keamanan dan bencikan kezaliman tidak seharusnya berurusan dengan golongan sebegini. Dan soalan ini dijawab lebih kurang begini oleh Perdana Menteri: “.....Malaysia tidak ada hubungan dengan Israel selagi tidak selesai kes Palestin....”. Jawapan beliau amat membimbangkan saya dan rakan-rakan saya yang lain kerana jika kes Palestin telah selesai, bermakna Malaysia akan mewujudkan hubungan dua hala dengan Israel. Dan soalan inilah juga yang diulas oleh wartawan-wartawan yang tidak berkaliber di dalam akhbar-akhbar yang semakin tidak laku.

SB-SB di dalam Panggung Percubaan cukup ramai, dengan walkie-talkienya, handphonenya dan watak-watak yang mencurigakan sedang menghubungi SB yang telah tersedia di Masjid UPM untuk memastikan tidak apa-apa berlaku. Sesi dialog berjalan dengan aman kecuali satu soalan bodoh yang ditanya oleh exco MPPUPM yang pro-kerajaan hasil tajaan PERMAWAN. Saya lihat mereka cukup kelam-kabut setelah Timbalan Presiden PMIUPM menanyakan soalan dan masa cukup terhad ketika itu. Kata seorang exco MPPUPM yang pro-Islam yang juga sahabat baik rakan sekelas saya menyatakan bahawa nasib baik exco MPPUPM yang bertanya soalan bodoh tadi tidak menggunakan stand MPPUPM. Adakah patut bertanyakan soalan berkenaan isu kafir-mengkafir pada Perdana Menteri dalam masa yang cukup terbatas itu. Kalau tanya isu ini pada saya sekalipun, saya sendiri boleh jawab sebab dah banyak diulas oleh akhbar-akhbar.

Oleh kerana saya menerima satu handbill yang menyatakan bahawa akan diadakan satu demonstrasi dan pemboikotan kehadiran Dr Mahathir ke UPM anjuran PERMAWAN, saya pada mulanya ingin tergelak tetapi saya terus ke Masjid UPM untuk melihat jika ada apa-apa berlaku. Sebab apa saya tergelak? Sebab PERMAWAN ini atau Perwakilan Mahasiswa Wawasan nama penuhnya, bertanding dalam pilihanraya kampus yang lepas atas tiket pro-kerajaan. Takkan mereka nak buat demo sedangkan orang yang hadir adalah boss mereka? Saya semakin tergelak apabila terlintas di fikiran saya bahawa ini merupakan sandiwara pertama mereka untuk memancing undi untuk pilihanraya akan datang. Cepatnya berkempen? Wallahu a’lam.

Namun, tidak ada apa-apa demonstrasi berlaku, kecuali sesi salam-menyalam antara Perdana Menteri dan kanak-kanak, pelajar luar negara, dan orang-orang UMNO itu sendiri. Saya sekali lagi tidak dapat menahan gelak apabila melihatkan ada yang sanggup mencium tangan dan memeluk Perdana Menteri. Kehadiran beliau disambut dengan baik dan kepulangannya juga diiringi dengan baik. Mungkin ini merupakan tanda bahawa mahasiswa sendiri telah menolak Perdana Menteri secara diam dan profesional, mahasiswa UPM yang ramai yang besar bilangannya daripada kampus-kampus lain.

MAHASISWA PRO-ISLAM