Krisis besar selepas Mahathir
Fathi Aris Omar
22 Ogos: Banyak orang bercakap perkara yang sama tetapi semuanya
tidak menyuarakannya. Maksudnya, bersuara secara terbuka. Sepatutnya media
menyuarakannya tetapi seperti lazim, media perdana meneruskan sahaja tabiat
lamanya.
Kaum intelek dan inteligensia semakin berdiam diri, seolah-olah mewarisi
penyakit sebelum wabak krisis politik dan ekonomi Asia beberapa tahun lalu.
Siswa dan gerakannya pula tenggelam punca. Sementara pembangkang menagih
"alternatif" walau apa harga dan kewarasannya.
Bagaimanapun semua orang tahu penyakit atau krisis atau ancaman (atau apa
sahaja nama) yang sedang melanda negara ini, dan akan memburukkan keadaan masa
depan kita bersama. Cuma, bezanya pada nama, ungkapan, sudut pandangan atau
cebisan gejala yang diceritakan. Pemimpin
Umno cukup arif - malah cukup gementar - dengan krisis ini, seakan-akan
kapal parti itu akan tenggelam bila-bila masa sahaja.
Krisis itu selalu dilihat bermula daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
Mahathir Mohamad sendiri, khususnya selepas memecat timbalannya dua tahun lalu.
Tetapi krisis yang bakal dihadapi kini tidak selesai dengan berakhirnya
kepemimpinan Mahathir dan menaikkan kembali Anwar.
Krisis ini bukan pula boleh diselesaikan apabila Barisan Alternatif
menggantikan Barisan Nasional. Ia membarah di dalam "sistem." Sistem
- satu lagi konsep yang sering disebut untuk pelbagai tujuan mengelakkan diri
daripada tanggungjawab tetapi tidak difahami sepenuhnya.
Mungkin Peter Checkland, Peter Senge atau pemikir sibernetiks wajar
mengajar pemimpin negara, pegawai kerajaan, ahli akademik dan aktivis negara
ini tentang sistem.
Krisis negara ini seakan-akan sistem sedang mengalami ‘sembelit’
(dilontarkan oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dalam novel kontroversi Shit),
sesuatu yang buruk dan menyakitkan tetapi gagal dikumuhkan.
Krisis ini sudah cukup lama, perlahan-lahan memburuk seperti anai-anai
mencuri masuk di celah-celah rekahan dinding dan akhirnya kelihatan di
mana-mana kesan koyak-rabak istana impian rakyat Malaysia. Cuma, anai-anai
krisis itu belum berjaya meruntuhkannya.
Insiden pemecatan Anwar dan re-for-ma-si itu bukanlah punca krisis, ia hanya
berjaya menzahirkan krisis yang terpendam. Apa yang dinamakan ‘Anwar saga,’
re-for-ma-si, BA, insiden Sauk, atau pemilihan Majlis Tertinggi hanyalah
ungkapan untuk menggambarkan cebisan-cebisan krisis itu sendiri.
Pembangkang dan kerajaan, termasuk rakyat negara ini, sedang mengalami
krisis yang sama, berkongsi kesembelitan yang sama dan akan terus mewarisinya
walaupun Mahathir telah tiada lagi di dunia ini.
Alasannya ringkas: Separuh usia kemerdekaan (43 tahun) dan demokrasi negara
ini berjaya dicernakan (baca: dimanipulasi) sesuka hati, khususnya untuk
menghadapi musuh di dalam dan luar parti dan ketika menangani krisis yang
menyusahkan, oleh Perdana Menteri keempat ini (20 tahun).
Sepatutnya masa dihabiskan untuk menyatukan masyarakat, mengagihkan kekayaan
dan membangunkan institusi-institusi demokrasi yang masih mentah itu, tetapi Dr
Mahathir (dan juga tidak terlepas, Umno) memaksa demokrasi itu ‘dibonsaikan’
mengikut spesimen yang ada dalam makmal mindanya - inilah krisis dan ‘senak
perut’ bangsa kita hari ini.
Inilah dosa yang paling besar Mahathir terhadap negara ini, barangkali lebih
besar daripada "waging war against the nation." [ayat
ini disunting dalam edisi Malaysiakini.Com: Penulis]
Bukannya memecat Anwar tetapi dosa menghakis ruang demokrasi melalui pindaan
dan pengetatan undang-undang, termasuk Perlembagaan Persekutuan. Tidak kurang
kesannya, pindaan terhadap perlembagaan Umno dan tradisi parti itu.
Ia akhirnya meminda gelagat manusia-manusia di bawah dan di sekitar beliau -
atau apa yang dinamakan ‘budaya’ sama ada di kalangan kroninya, dalam Umno,
dalam masyarakat Melayu, hubungan antara-etnik dan generasi muda.
Saling tindak dan reaksi berantai antara peristiwa-peristiwa politik selepas
pindaan demi pindaan itu pada mulanya menguntungkan Mahathir dan Umno. Tetapi
akhirnya mencetuskan kesan sembelit yang menyenakkan. Selera makan secara rakus
dan gelojoh yang dikecapi sejak awal 1981 kini sampai ke peringkat barah usus!
Pindaan-pindaan ini boleh disebut satu bentuk ‘kejuruteraan sosial’ tetapi
dalam satu sistem, homeostasis ciptaan Mahathir memuncakkan lagi krisis kini.
Makanan yang sedap dan menyelerakan tidak memberikan manfaat apa-apa kepada
Mahathir kini. Segala percubaan untuk memperbaiki imejnya, membawa semula
sokongan kepada kerajaannya dan partinya gagal. Malah, lebih banyak makanan
ditelan, lebih parah krisis dalam usus bangsa Malaysia.
Dalam sistem badan manusia, daya hidup seseorang bergantung pada makanan
seimbang, kerehatan dan senaman. Tiga komponen ini membolehkan unit-unit dalam
badan menerima, memproses, mengagih, memulih, memperbaiki, membuang kumuhan dan
menggantikan yang lama.
Sistem yang terbuka seperti negara ini harus melalui proses yang sama.
Tetapi bilakah punca-punca penyakit dan krisis ini akan berjaya dikumuhkan?
Tetapi yang pasti, pengkumuhan seseorang Mahathir tidak akan memulihkannya
sistem negara ini ke tahap maksima.
Krisis bangsa negara ini lebih besar daripada Mahathir, tetapi barang kali
pengunduran beliau merupakan satu permulaan yang baik dan barang kali juga
lebih memburukkan. Paling pasti, rakyat harus memulihkan krisis ini.