Artikel

Analisis Isu Burukkan “Nama Baik” Negara


Analisis mengenai isu ini agak panjang. Diharap saudara dan saudari dapat meluangkan sedikit masa untuk membaca analisis ini. Terima kasih.

Utusan Meloya yang turut dilabel sebagai Utusan Malaysia Suratkhabar lacuran yang menyiarkan isu sensasi mengenai Ezam Mohd Noor memburuk-burukkan negara, saya tidak terkejut kerana ia adalah kesinambungan kerajaan khususnya UMNO yang tidak berhenti-henti untuk menagih simpati rakyat dan pada masa yang sama memburuk-burukkan imej BA. Saya dah jangka bahawa kerajaan akan terus menyebarkan propaganda untuk menyelamatkan mereka dari terus dipinggirkan oleh rakyat. Walaupun Ezam dan parti Keadilan dijadikan sebagai mangsa, saya rasa isu ini berkaitan dengan BA secara keseluruhannya.

Sejauh mana kebenaran Ezam burukkan negara?

Kerajaan memperbesar-besarkan isu Ezam memburuk-burukkan negara. Memburuk-burukkan atau mencemar nama baik seseorang atau negara dalam erti kata yang mudah ialah mengatakan sesuatu yang tidak benar dan palsu tanpa disokong bukti kukuh. Ezam mengatakan dia memburukkan negara berasaskan kebenaran. Kebenaran yang dimaksudkan ialah sistem kehakiman yang tercemar dan hak kebebasan media yang dicabul. Ezam memberi penjelasan mengenai kewibawaan mahkamah terjejas yang digunakan untuk melindungi kepentingan seseorang iaitu Mahazalim.

Jika kerajaan mendakwa Ezam burukkan negara, kerajaan mesti menjelaskan kepada rakyat bahawa apa yang dinyatakan oleh Ezam adalah tidak benar. Apa yang saya baca mengenai berita Utusan Online dan laman web lain, kerajaan hanya tuduh Ezam menderhaka dengan memburuk-burukkan negara tetapi tidak memberi penjelasan tuduhan Ezam. Mencemar nama baik negara adalah satu tindakan yang serius dan kerajaan seharusnya membersihkan nama baik dengan membuktikan tuduhan itu tidak benar. Jika kerajaan enggan berbuat demikian, ia bermakna apa yang dinyatakan oleh Ezam adalah benar. Bagaimana orang ramai mahu percaya cakap kerajaan kalau kerajaan hanya pandai cakap Ezam burukkan negara tetapi tidak usaha dilakukan oleh membersihkan imej negara. Kerajaan ingat dengan melabel Ezam sebagai pengkhianat orang ramai akan bangun mengecam Ezam. Sangkaan kerajaan jauh meleset. Rakyat tidak percaya lagi cakap kerajaan yang kuat dan pandai berbohong.

Sampai sekarang kerajaan enggan memberi penjelasan mengenai kes DSAI malah cuba mahu melupakan isu dari terus dibincangkan. Penjelasan yang diberikan tidak menyakinkan dan tidak munasabah. Saya ingin meminta Mahazalim memberi penjelasan sekali lagi mengenai persoalan tarikh kes liwat yang diubah beberapa kali, kenyataan saksi Azizan Abu Bakar yang tidak konsisten; hari ini cakap lain besok cakap lain dan keengganan Mahazalim hadir ke mahkamah memberi keterangan. Sebelum itu dia telah membuat siasatan awal, menemuramah dengan pelacur-pelacur dan hasil siasatan awal menunjukkan dia yakin DSAI melakukan kerja tidak senonoh. Kalau begitu secara logiknya kalau dia berada di pihak benar dan mempunyai bukti kukuh, kenapa Mahazalim enggan hadir ke mahkamah? Pepatah ada mengatakan berani kerana benar takut kerana salah. Kalau Mahazalim berani kerana benar, kenapa dia tidak mahu memberi keterangan?

Demokrasi hanya pada nama tetapi tidak dipratikkan dalam erti kata yang sebenar. Adakah kerajaan berani menafikan bahawa hak kebebasan media TIDAK dicabul? Jika jawapannya tidak, bermakna tuduhan Ezam adalah berasas. Permit beberapa akhbar yang bersifat kritis tidak disambung, sebarang berita tidak baik mengenai kerajaan diblackout di akhbar perdana dan Akta Media Cetak dan Penerbitan dikuatkuasakan untuk menyekat penyiaran berita yang tidak memihak kepada kerajaan. Tindakan kerajaan ini mendapat anugerah Ten Worst Enemies of the Press oleh Committee to Protect Journalists (CPJ) kali kedua berturut-turut pada tahun ini. Malaysia antara 10 buah negara mendapat anugerah yang berprestij itu. Adalah dijangka kejayaan negara akan terus dipertahankan dan tidak syak lagi anugerah kali ketiga berturut-turut (hattrick) akan menjadi kenyataan pada tahun hadapan dan boleh masuk Malaysia Guiness Book of Records. Sekalung tahniah diucapkan kepada Mahazalim. Inilah dikatakan Malaysia serba Boleh. Mahazalim seharusnya berbangga kerana Malaysia antara 10 negara dari jumlah keseluruhan 200 lebih buah negara di dunia yang berjaya memperolehi Ten Worst Enemies of the Press award. Dengan perkataan lain, Malaysia antara 10 buah negara berada dalam kelas tersendiri. Mahazalim seharusnya rasa terharu kerana award yang dimenanginya jauh lebih berprestij dari LARIBA award dan award lain yang telah diterimanya sebelum ini. Award yang diberi oleh CPJ tidak ternilai harganya yang menunjukkan kejayaan terbaik kerjaya Mahazalim sebagai PM Malaysia selama 19 tahun. Apa yang hendak disembunyikan oleh Mahazalim? Mahazalim tidak boleh menafikan kerana award ini adalah jelas menunjukkan hak kebebasan media telah dicabul oleh kerajaan.

Kerajaan hanya pandai menuding jari ke arah Ezam sahaja. Adakah Mahazalim dan kerajaan masih ingat atau buat-buat tak ingat mengenai ucapan hari Kebangsaan ke 43 di mana Mahazalim mendakwa ada usaha dari kuasa asing untuk menakluk dan menawan semula negara. Siapa kuasa asing dan buktikan kesahihan dakwaan Mahazalim. Adakah kerajaan sedar bahawa kenyataan Mahazalim tidak boleh dibuat main-main dan sudah tentu kuasa asing memandang serius mengenai hal ini? Ini adalah tuduhan yang melampau yang tidak bertanggung jawab. Kesannya ialah pelabur asing berhenti melabur dan menarik keluar pelaburan di Malaysia.

Pemecatan DSAI, kawalan modal, ketidakstabilan politik, campur tangan kerajaan dalam wang royalti adalah punca-punca lain kurangnya pelaburan langsung asing di Malaysia. Apa yang berlaku ialah penarikan keluar pelaburan asing sudah mula dirasakan apabila kawalan modal dikuatkuasakan dan hukuman penjara dikenakan keatas DSAI pada tahun lepas dan tahun ini. Ucapan hari Kebangsaan yang tidak bertanggungjawab oleh Mahazalim memburukkan lagi keadaan. Oleh itu, adalah tidak munasabah segala kegagalan pelaburan asing diletakkan pada bahu Ezam. Sebenarnya kerajaan perlu bertanggung jawab penuh ke atas kegagalan pelaburan langsung asing. Kerajaan lah yang memburuk-burukkan sendiri nama baik negara. Adakah Mahazalim berani mengaku kepada rakyat bahawa kesemua punca-punca diatas adalah tidak kena-mengena dengan kerajaan? Apa yang aku tahu Mahazalim tidak akan mengaku dan memutarbelitkan fakta dengan menyalahkan BA. Terbukti Ezam tidak memburuk-burukkan negara yang hanyalah menyatakan apa yang benar. Usaha Ezam untuk memburuk-burukkan negara adalah satu tindakan yang wajar.

Krisis keyakinan dan konsep derhaka

Satu demi satu isu diperbesar-besarkan oleh kerajaan sejak akhir-akhir ini. Ini menunjukkan bahawa kerajaan BN menghadapi satu krisis keyakinan rakyat yang kronik. Kerajaan BN memang bimbang habis kerana makin hari makin kurang sokongan yang diberikan oleh rakyat. Kerajaan perlu cari jalan bagaimana mahu menyekat kemaraan BA dan pada masa yang sama cuba untuk mengembalikan semula kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Kerajaan dapat satu idea yang baik dengan mengutarakan konsep derhaka. Perkataan derhaka dipandang serius oleh semua bangsa dan kaum di Malaysia. Semua orang memang benci perkataan derhaka ini. Kerajaan memang bijak dapat mencari satu jalan bagaimana mahu menjatuhkan kredibiliti dan nama baik BA iaitu menggunakan perkataan derhaka dan sabotaj. Apa yang kita lihat, kerajaan menuduh Ezam dan BA mencemar nama baik negara. Kerajaan mengecam tindakannya mensabotaj negara yang hanya menyusahkan negara dan rakyat. Apabila tiadanya pelaburan orang asing, pembangunan  negara akan terbantut. Rakyat semakin susah mencari pekerjaan. Kerajaan berharap orang ramai akan benci kepada Ezam dan BA yang dicop sebagai pengkhianat negara.

Motif kerajaan ialah cuba mahu membangkitkan kemarahan rakyat. Kerajaan mahu rakyat membantah, mengecam dan mengutuk Ezam dan BA habis-habisan sebagai pengkianat kepada negara malah cuba mengheret DAP menyokong kerajaan. Apabila ditanya oleh wartawan Utusan Meloya mengenai isu Ezam burukkan negara, secara amnya DAP menjawab parti itu tidak bersetuju burukkan negara sendiri tetapi parti itu enggan mengulas lebih lanjut mengenai isu ini dan perlu mendengar penjelasan dari Ezam. Jika DAP mengecam tindakan Ezam, sudah tentu Utusan Meloya dan kerajaan akan mengambil kesempatan untuk memporak-perandakan parti komponen BA dengan mengatakan part-parti komponen BA tidak sehaluan. Kerajaan cuba memerangkap DAP tetapi DAP bijak dan tidak sebodoh seperti kerajaan sangkakan. Semua orang tahu Utusan Meloya memang pandai memutarbelit fakta sama seperti Mahazalim. Sudah tentu DAP tahu apa yang harus dikatakan dan sebaliknya. Perangkap kerajaan tidak menjadi.

Apabila negara menjadi susah, kerajaan mahu rakyat bangun mengutuk BA. Dengan perkataan lain kerajaan ingin memperagakan pemimpin dan penyokong BA. Kerajaan cuba mempengaruhi pemikiran dan kesetiaan penyokong supaya berasa ragu-ragu mengenai BA. Kerajaan ingin penyokong setia BA berfikir dua kali dan diharapkan akan menyokong balik kerajaan. Apa yang kerajaan buat adalah untuk menagih semula sokongan orang ramai. Inilah kerja kotor kerajaan BN yang tidak mahu menerima hakikat bahawa orang ramai sudah meninggalkan parti-parti komponen BN secara beramai-ramai.

Sebelum ini sandiwara yang dulu hanyalah melibatkan kaum Melayu sahaja. Tetapi kali ini kerajaan mahu melibatkan semua orang kerana isu ini berkait rapat dengan kemajuan dan kemakmuran negara. Isu dahulu melibatkan orang Melayu dan sudah pun menemui kegagalan tetapi BA perlu mengambil berat isu ini kerana isu ini ada juga kena-mengena dengan orang bukan Melayu. Bagaimana pandangan orang bukan Melayu mengenai isu ini? Adakah orang bukan Melayu termakan umpan kerajaan? BA perlu ambil tahu bagaimana reaksi mereka. Oleh itu saya anggap isu ini agak special dan berbeza dengan isu hangat dahulu.

Kenapa saya anggap isu ini special? Kalau tidak keterlaluan saya rasa, isu ini ditujukan khas kepada orang bukan Melayu. Rata-rata orang Melayu telah menolak kepimpinan Mahazalim. Siapa lagi yang mahu menyokong kerajaan? Anda mungkin kata tidak ramai kerana orang Cina pun tidak sokong kerajaan. Kerajaan sedar kesilapan menyamakan orang Cina sebagai komunis. Oleh itu kerajaan mahu cari jalan bagaimana kerajaan mahu mengambil hati orang Cina. Kita tahu orang Cina memainkan peranan yang agak penting dalam mewujudkan peluang perniagaan dan perdagangan di Malaysia. Apabila peluang pelaburan langsung asing terjejas, ia akan memberi kesan kepada orang Cina yang diakui mahir dan menguasai dalam bidang perniagaan dan perdagangan. Orang Cina memandang berat mengenai kerjaya mereka yang diwarisi turun temurun. Oleh itu, hal ini berkait rapat dengan masalah orang Cina. Kerajaan berharap orang Cina akan marah kepada Parti Keadilan dan BA kerana menjejaskan periuk nasi mereka. Pada masa yang sama, kerajaan berharap kemarahan orang Cina terhadap Mahazalim akan dilupakan dan dimaafkan. Dengan perkataan lain kerajaan amat mengharapkan sokongan semula orang Cina. Sokongan orang Cina amat penting kerana kerajaan tidak boleh membiarkan orang Cina memihak kepada BA pula. Ini adalah pandangan saya, ia mungkin benar dan mungkin salah.

Kalau kerajaan melabel tindakan Ezam sebagai pengkianat dan menderhaka kepada negara, penyokong dan pemimpin BA pula menganggap Ezam sebagai hero. Kalau tidak keterlaluan saya mengatakan tindakan Ezam mendedahkan kepincangan dan keburukkan Mahazalim dan kerajaan BN adalah satu tindakan berupa jihad. Usaha Ezam adalah untuk melawan anasir-anasir yang merosakkan dan memusnahkan bangsa dan negara. Anasir-anasir yang dimaksudkan ialah diktator Mahazalim, rasuah, dan kronisme. Saya yakin usaha Ezam untuk menyelamatkan bangsa dan negara adalah satu usaha yang baik yang diredai Allah.

Kerajaan memberi gambaran mengenai imej buruk BA kepada orang ramai. Isu ini adalah salah satu cara kerajaan memburuk-burukkan imej BA. Memang tidak hairan ketiadaan pelaburan asing yang memberi kesan kepada ekonomi negara juga dikaitkan dengan BA. Kerajaan menyalahkan semua masalah yang berlaku adalah disebabkan oleh BA. Kejadian bakar sekolah, amok, culik, rogol, bunuh dan tikam Siti Nurhaliza adalah kerja BA yang menghasut dan menanam kebencian terhadap kerajaan dan orang ramai. Tindakan kerajaan adalah suatu tindakan yang desperate yang mahu mencuci arang yang diconteng dimuka. Kerajaan perlu membuktikan setiap kejadian ada kena mengena dengan BA.

Kerajaan ingin melepaskan tangan

Apa yang kita ketahui usaha Ezam cemarkan nama negara berjaya menghalang pelaburan langsung asing. Ia menunjukkan besar kemungkinan rombongan Rafidah Aziz ke AS pada bulan September gagal menarik pelabur asing melabur di Malaysia. Sebelum ini berbagai-bagai berita baik mengenai pelaburan langsung asing dipaparkan di akhbar perdana. Sudah pecah tembelang kerajaan bahawa semua yang digembar-gemburkan adalah bohong.

Kerajaan memang berpandangan jauh. Mengapa saya berkata demikian? Kerajaan sudah tentu tahu apakah hala tujuan prestasi ekonomi negara pada masa hadapan. Dengan suasana iklim pelaburan langsung yang tidak menyakinkan terhadap negara, kemungkinan besar negara akan menghadapi masalah ekonomi tidak lama lagi. Kadar pertumbuhan ekonomi yang baik tidak akan bertahan lama. Tambahan pula prestasi ekonomi yang lembap dijangka melanda AS pada tahun hadapan yang akan memburukkan lagi keadaan ekonomi negara.

Keadaan ekonomi negara yang lembab dan lemah memberi tekanan kepada kerajaan. Kerajaan tidak mahu kerajaan menanggung beban dan tekanan dari BA dan rakyat. Saya berpendapat, kerajaan sudah membuat persediaan awal-awal lagi dengan melepaskan tanggung jawab kepada BA. Kerajaan akan menyalahkan BA punca kemerosotan prestasi ekonomi negara. Jika BA buat bising mengenai prestasi ekonomi negara yang tidak menentu, kerajaan akan memutar-belitkan dengan mengatakan BA sebenarnya patut dipersalahkan kerana menghalang pelabur asing melabur di negara.

Memang bijak kerajaan. BA tidak boleh dengan sewenang-wenangnya membincangkan isu ekonomi kerana setiap kali BA berbicara isu ekonomi untuk dijadikan modal untuk mengkritik kerajaan, saya yakin kerajaan akan menggunakan isu sabotaj ekonomi dan penderhaka sebagai jalan untuk mematahkan usaha BA ini. Kerajaan akan mengatakan apa yang BA boleh buat, hanya pandai cakap dan memburuk-burukkan nama baik negara. Ekonomi negara terjejas dengan teruk kerana tindakan khianat BA terhadap negara.

Secara kesimpulannya, dukacita saya ingin maklumkan kepada kerajaan bahawa ini adalah satu kerja yang amat bodoh lagi membodohkan. Sia-sia saja akal fikiran tidak digunakan dengan sebaik-baiknya yang dikurniakan oleh Tuhan. Ini adalah sikap bebal, bangang, nyanyuk dan buta hati kerajaan yang ditonjolkan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan BN. Kerajaan masih menganggap rakyat masih bodoh dan mudah percaya dan menerima bulat-bulat apa yang kerajaan kata. Sampai sekarang, kerajaan hanya tuduh Ezam sebagai penderhaka tetapi masih belum lagi membuat penjelasan bahawa apa yang dikatakan oleh Ezam adalah tidak benar. Keengganan kerajaan yang membisu jelas menunjukkan ia adalah motif kerajaan untuk memburuk-burukkan BA. Kerajaan BN berada dalam keadaan yang amat terdesak. Kebimbangan mereka tidak dapat disembunyikan lagi. Rakyat akan tertanya-tanya kenapa kerajaan buat kerja bodoh ini dan sudah  mula mempersoalkan kredibiliti kerajaan yang semakin tercemar. Kalau kita nak katakan kerajaan hebohkan isu ini kerana hendak menutup dan menghalang orang ramai membincangkan isu rasuah ikan jerung, saya tidak bersetuju kerana ini bukan cara yang terbaik. Adakah ini cara kerajaan untuk cuba mendapatkan semula sokongan orang ramai? Cara ini adalah cara kotor dan tidak gentleman. Kerajaan seharusnya malu kerana sudah tiada jalan lain untuk menagih simpati orang ramai. Memang malu malu malu. Shame on you BN! Muka tak malu seperti Mahazalim! Sampai bila kerajaan akan memberhentikan lakukan kerja bodoh ini? Wallahualam.

LTL