Laporan polis terhadap ADUN Beranang, Ahamad Kuris yang mengacu pistol kepada pesara JPM

Oleh Mohamad Hasnain

HULU LANGAT -- Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Beranang, Ahamad Kuris Mohd Nor mengacukan pistol kepada seorang penduduk setempat menggemparkan masyarakat di sini. Ia menambahkan lagi kehangatan berkempen dalam pemilihan ketua bahagian Umno Hulu Langat yang dijangka mendapat tumpuan ramai.

Dalam kejadian pada malam 26 Februari lalu, seorang penduduk di Taman Bukit Kundang, Hulu Langat, Jaafar Mohd Arif, 58 tahun berdepan dengan peristiwa yang menakutkan, apabila Ahamad Kuris mengacukan pistol kepadanya sebagai tanda ugutan, ekoran tindakan Jaafar menghalang ADUN Umno Beranang itu daripada melalui jalan di kawasan milik isterinya.

Difahamkan, Ahamad Kuris pada malam itu akan berkempen di kawasan sekitar, khususnya untuk mendapat pencalonan bagi menentang Ketua Umno Hulu Langat, Dr Zainal Abidin Ahmad. Kuris ditemani oleh beberapa pemimpin Umno bahagian yang juga akan bertanding dalam pemilihan akan datang, antaranya Ahli Parlimen Hulu Langat, Badrul Hisham Abdul Aziz, Dr Rusnah Shamsudin dan lain-lain. Untuk penjelasan lanjut, di bawah ini diperturunkan sepenuhnya laporan polis yang dibuat oleh Jaafar Mohd Arif, seorang pesara Jabatan Perdana Menteri, di depan Kpl Hasnol Haji Hassan pada 27 Februari jam 11.45 pagi:

"Lebihkurang 2235 Hrs 26/02/2001 semasa saya berada di Kampung Bt 15 Bukit Kundang, saya dapat tahun ada ceramah politik di rumah ketua wanita nama Kalsom bt Manan.

" Tempat ceramah adalah sempadan tanah persendirian isteri saya.

"Kemudian saya buat sekatan jalan kerana tidak mahu apa-apa jua kenderaan melalui kawasan jalan tanah isteri saya.

"Disebabkan sekatan tersebut ada satu pertengkaran mulut dengan YB Adun Beranang nama Ahmad Kuris.

"Tiba-tiba ia mengeluarkan satu senjata api berbentuk pistol lalu mengacu ke arah saya dan masa itu saya dalam keadaan panik.

Kemudian orang-orang pengikut YB Ahmad Kuris mencampakkan barang sekatan tadi lalu pergi ke arah rumah ketua wanita.

"Tujuan saya datang ke Balai Polis Kajang pada 27/02/2001 adalah takuit dan bimbang keselamatan terhadap diri saya."

Dalam pilihan raya 1999, Kuris menang tipis mengalah calon PAS, Zainudin Lapoh, dengan majoriti 2,652, manakala Ketua Bahagian Umno Hulu Langat, Dr Zainal yang akan dicabar oleh Kuris menang di DUN Dusun Tua, menewaskan juga calon PAS, Md Fadzil Hasan dengan majoriti 3,728 undi. Calon PAS di Kajang, Dr Shafie Abu Bakar, salah satu dari kawasan DUN di bawah Hulu Langat menang dengan majoriti kecil, hanya 37 undi, apabila mengecewakan calon BN, yang juga penyandang jawatan Choong Tow Chong.

Bagi kerusi Parlimen Hulu Langat, Badrul juga menang tipis mengalahkan calon keADILan , Dr Mohd Nor Nawawi, dengan majoriti 3,761. Parlimen Hulu Langat mempunyai 70,819 pengundi. Dalam perkembangan berkaitan, difahamkan Ibu Pejabat Umno dikatakan memandang serius perkara ini yang boleh memberikan imej buruk kepada Umno.