KINI

15 June 2000

Edisi 156

12 Rabiul Awal 1421

 

Tribunal Untuk Ketua Hakim Negara [ download ]

Isu Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin semakin gawat sekarang. Semakin Eusoff Chin menafi, semakin banyak bukti tersiar di internet. Internet tentunya bukan selalu betul. Tetapi tak juga ia selalunya salah. Sekarang bukan sekadar gambar antara Eusoff Chin dan peguam V.K.Lingam disiarkan. Tetapi jadual lengkap penerbangan dan percutian mereka berdua bersama-sama keluarga masing-masing terpapar di internet. Susah juga untuk tidak percaya!

Nombor penerebangan kapalterbang, apa nama syarikat penerbangan, pukul berapa berlepas, kelas apa mereka duduk semuanya lengkap disiarkan. Kalau informasi internet itu betul, susah kita hendak percaya cakap Eusoff Chin sebelum ini bahawa dia "bertembung" atau terserempak secara tak sengaja dengan Lingam di New Zealand, lalu merekapun bergambar! Mungkinkah seorang Ketua Hakim Negara berbohong? Tetapi Eusoff Chin itu manusia juga. Dalam gambar yang tersiar di internet itu jelaslah Eusoff Chin itu manusia, bukan malaikat.

Eusoff Chin bercuti di New Zealand itu pada tahun 1994 bersama isterinya Rosaini Mustaffa, anak perempuannya Zubaidah, 7 tahun dan anak lelakinya Johan, 6 tahun. Manakala Lingam dengan isterinya K. Gnanajothy, anak perempuan mereka, Sivashahki,11 tahun dan Sivajothy, 10 tahun. Yang menimbulkan syak wasangka semakin kuat tentang ada semacam "kong-ka-likong" dan tuduhan rasuah di sebalik percutian ini ialah turut sama dengan rombongan kedua famili itu ialah seorang manusia bernama Tan Chong Paw. Siapa dia ini? Dia adalah seorang bekas sarjan Polis dan dipercayai adalah pengawal peribadi kepada ahli bisnes terkemuka bernama Tan Sri Vincent Tan.

Macam mana boleh bertembung tak sengaja antara Eusoff Chin dengan V.K.Lingam di New Zealand itu? Ini jadual penerbangan dan percutian mereka. Pada 22 Disember 1994 kedua-dua keluarga itu naik kapalterbang yang sama dari Singapura ke Auckland, New Zealand. Nombor penerbangan ialah NZ 28. Mereka sama-sama duduk dalam Business Class. Katakan itu "bertembung" kali pertama antara Ketua Hakim Negara dengan peguam V.K.Lingam.

Empat hari kedua keluarga itu di Auckland. Pada 26 Disember kedua-dua keluarga itu berlepas dari Auckland ke Christchurch. Kedua-dua rombongan keluarga itu naik kapalterbang yang sama. Nombor penerbangan NZ 1514. Mereka duduk dalam Business Class juga. "Bertembung" lagi Ketua Hakim Negara dengan peguam V.K.Lingam. Katakanlah tak sengaja secara kebetulan saja. Tetapi bolehkah kita percaya?

Empat hari kedua keluarga itu di Christchurch dan sekurang-kurang sehari mereka di Queenstown. Pada 29 Disember, Eusoff dengan keluarganya dan Lingam dengan keluarganya, sama-sama berlepas dari Queenstown ke Christchurch semula. Naik kapalterbang yang sama. Nombor penerbangannya ialah NM 2412. Kedua-dua keluarga itu sama-sama duduk dalam kelas ekonomi. "Bertembung" lagi Eusoff Chin dengan Lingam. Kebetulan kali ketiga?

Pada 30hb Disember, dari Christchurch rombongan keluarga terpenting di bidang kehakiman di Malaysia ini bersama peguam yang mengendalikan kes Vincent Tan, tokoh korporat yang kaya raya itu, sekali lagi naik kapalterbang yang sama. Mereka berlepas ke Auckland semula. Nombor penrbangan NZ 504. Mulailah kita bertanya: "Masakan selalu sahaja bertembung tak sengaja? Naik kapalterbang yang sama pula?". Tetapi Kali ini mereka duduk dalam kelas tak sama. Eusoff dan keluarganya dalam Business Class manakala Lingam dan keluarganya dan kelas ekonomi. Hakim mesti sedikit lebih tinggi dari peguam. Tidakkah begitu?

Masih belum habis cerita Eusoff "bertembung tak sengaja" dengan Lingam. Mereka pulang ke Malaysia dari Auckland pada 30 Disember, melalui Singapura. "Bertembung lagi sekali". Kedua-dua naik kapalterbang yang sama. Nombor penerbangan NZ 73 (Auckland-Singapura). Duduk pun sama-sama dalam Business Class. Dari Singapura kedua-dua keluarga ini pulang ke Kuala Lumpur pada 30hb Disember, juga dengan penerbangan MH 616 (Singapura-Kuala Lumpur). Kali ini sama-sama duduk dalam kelas pertama. Maklumlah Ketua Hakim Negara dan Peguam kaya. Standard mesti jaga.

Boleh jadi betul, boleh jadi bohong maklumat di atas yang diambil dari internet. Jangan terus percaya.Tetapi satu perkara jelas bahawa sumber maklumat itu meyakinkan. Kalau maklumat itu palsu, bermakna Eusoff Chin dan Lingam teranianya dan terfitnah begitu sahaja. Kita tentu tidak mahu terlibat dalam kerja fitnah. Tetapi dari mana laporan tentang jadual penerbangan dan percutian Eusoff dan Lingam diperolehi?

Ia didapati dari laporan oleh Bowman, satu agensi penyiasatan persendirian yang berpejabat di United Kingdom. Tetapi orang putih pun mungkin berbohong. Kena hati-hati dan waspada selalu. Jadi macam mana kita mahu pastikan betul atau tidak laporan agensi Bowman itu dan segala gambar-gambar yang tersiar di dalam internet? Kita tidak suka memfitnah Eusoff Chin dan peguam V.K. Lingam. Kasihan mereka jika mereka tidak bersalah. Memfitnah itu perbuatan salah, tidak adil dan tidak baik.

Jadi untuk cari penyelesaian bagi menjernihkan kekeruhan dan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kewibawaan institusi kehakaiman, jawapannya ialah kerajaan kena siasat. Jadi tidak bertanggungjawablah Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang mengambil sikap mudah dalam isu ini. Balik dari Tokyo, Mahathir beritahu bahawa kerajaan tidak bercadang untuk tubuhkan Tribunal bagi menyiasat kes Eusoff Chin.

Kita kena tegaskan. Negara kita Malaysia ini bukan milik Mahathir. Malaysia sebuah negara yang berjalan atas landas hukum. Kita masih ada Perlembagaan. Seseorang hakim yang prilakunya mencurigakan boleh disiasat. Kalau bersalah, dia perlu dibicarakan. Kalau perlu Tribunal ditubuhkan, kerajaan perlu tubuhkan. Eusoff Chin tidak mempunyai imuniti atau kekebalan dari sebarang bentuk tindakan undang-undang? Hakikat ini Dr Mahathir kena faham.