KINI

9 June 2000

Edisi 151

7 Rabiul Awal 1421

 

Laporan Audit Bikin Ali Rustam Kepanasan [ to download ]

Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam sekarang tidak senang duduk. Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang siasat hampir semua jabatan dan agensi kerajaan di negeri itu. Puncanya kerana pengurusan akaun kewangan di jabatan dan agensi kerajaan Melaka banyak kelemahan. Laporan Ketua Audit Negara telah mendedahkan kelemahan dan kegagalan dalam urusan kewangan di negeri itu.

Ali Rustam sendiri mengaku banyak baucer perbelanjaan yang tidak dapat dikesan. Penyata kewangan di dalam bank tidak dapat disahkan kerana tiada dokumen sokongan. Antara agensi kerajaan yang bermasalah itu ialah Kolej Islam Melaka, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, Perbadanan Air Melaka dan Jabatan Ketua Menteri sendiri.

Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 1998 menyebut wang sebanyak RM58 juta telah hilang. Sekarang BPR sedang menyiasat. Tetapi masyarakat selalu bersikap sinis dan tidak yakin pada siasatan BPR. BPR hanya pandai siasat sahaja, selepas itu tak jadi apa-apa. Tidak ada tindakan. Bekas Ketua Menteri Melaka sebelum ini, Rahim Thamby Chik. Dia dituduh berlaku rasuah. Selepas tuduhan dibawa ke mahkamah, BPR teruskan siasatan. Hasil siasatan terbaru mendapati tiada bukti Rahim berbuat rasuah. Lalu kes mahkamahnya ditarik balik oleh Peguam Negara. Itu terjadi beberapa tahun yang lalu. Aneh. Semakin disiasat semakin bersih si Rahim itu!

Demikianlah kecekapan BPR di lapangan penyiasatan. Itu belum termasuk kehebatannya sehingga sekarang kes rasuah Perwaja tidak selesai lagi. Kes sogokan Mitsui kepada Telekom pun tak siap lagi. BPR sekarang lebih berminat untuk siasat kes pegawai penguatkuasa Jabatan Agama yang pergi mengendap pasangan berkhalwat dan kemudian meminta rasuah seks dari wanita yang diberkasnya itu. Di situ keutamaan BPR sekarang.

Jadi Ali Rustam jangan kepanasan dan bimbang. Siasatan BPR tak ke mana. Kalau didapati memang duit berpuluh juta ringgit wang Kerajaan Melaka itu hilang dan BPR mahu bertindak kepada Ali Rustam, jangan risau. Ali Rustam boleh jumpa Mahathir macam Rahim Thamby Chik dulu jumpa Mahathir. Mr Prime Minster boleh tolong. Ramai yang dia sudah tolong. Selain Rahim, Rafidah, Daim, Eric Chia, Samy Vellu dan ramai lagi. Semuanya lepas. Bersih putih macam kain kapan selepas BPR siasat berjam-jam.

Segala-galanya bisa diatur. Katakanlah, kalau Peguam Negara heret Ali Rustam ke mahkamah. Jangan takut. Tuduhan itu boleh ditarik balik. Macam Rahim juga dulu. Syaratnya satu. Teruskan sokongan Ali Rustam yang bulat dan padu tidak berbelah bagi kepada orang nombor satu.

Berbalik cerita wang negeri Melaka itu, nampak sangat tidak ada ketelusan dalam urusan kewangan dalam pentadbiran Kerajaan negeri Hang Tuah dan Hang Jebat itu. Melaka bukan sebuah negeri yang besar. Namun begitu, pentadbiran kewangannya tidak cekap. Jaga akaun kerajaan pun tidak betul. Bagaimana dengan negeri-negeri yang lain?

Pada bulan Mac yang lalu dilaporkan bahawa 18 orang pegawai kerajaan negeri Selangor telah gagal memberi jawapan ke atas siasatan Jabatan Audit Negara. Perkara-perkara yang disoal itu ada yang telah berlaku sepuluh tahun yang lalu. Kita hendak dengar ada atau tidak laporan Ketua Audit Negara yang tidak menyenangkan tentang kewangan kerajaan Kelantan. Kalau ada tentu heboh media BN.

Malang sekali sebab Laporan Ketua Audit Negara selalunya lewat. Yang didedahkan tentang kewangan Melaka itu sekarang ialah laporan bagi tahun 1998. Tahun 1999 telah berlalu lebih setengah tahun. Bila pula laporan itu akan diumumkan?

Jabatan Audit Negara kerja lembam macam keretapi zaman dulu. Sekarang zaman IT. Pakai "calculator manual" lagikah? Apabila kelemahahn ditemui, itu sudah terlambat. Wang yang hilang tak dapat dikesan. Pegawai yang bertanggungjawb sudah pencen atau berhenti. Misalnya Ketua Menteri Melaka pada tahun 1998 bukan Ali Rustam tetapi orang lain. Namanya Abu Zahar. Sekarang sudah jadi Setiausaha Parlimen.

Ali Rustam menafikan wang RM58 juta itu telah hilang. Wang kerajaan tidak diselweng, katanya (Utusan Malaysia 8 Jun). Pandai-pandai Ali Rustam buat pengumuman sendiri. Sedangkan BPR masih tengah siasat. Ini orang Melayu kata, "lebih lajak dari perahu". Apa yang berlaku kata Ali Rustam lagi ialah, "kelemahan dalam menguruskan rekord kewangan jabatan dan agensi-agensi kerajaan". Beliau lalu menjelaskan faktor-faktor kelemahan itu antaranya disebabkan sikap pegawai-pegawai yang bertugas di bahagian kewangan tidak berminat dengan kerja. Mengapa boleh jadi sedemikian? Ada pegawai yang tidak mengikut arahan dalam menguruskan kewangan jabatan, tambah Ali Rustam.

Sekarang apabila timbul masalah yang disalahkan ialah kakitangan kerajaan dan pegawai-pegawai. Kita fikir Ketua Audit Negara perlu panggil Ketua Menteri Melaka yang lalu. Siasat dia mengapa kelecehan boleh berlaku semasa Melaka di bawah jagaannya. Adakah kerana kelemahannya itu maka dari seorang Ketua Menteri, Mahathir hanya lantik dia menjadi Setiausaha Parlimen sahaja selepas pilihanraya umum lalu? Mahathir memang terkenal melantik orang bermasalah berkhidmat di kelilingnya. Supaya orang itu setia padanya. Bekas Ketua Menteri Melaka itu kini jadi Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri.

Kembali kepada Datuk Wira seorang ini. Ali Rustam penyokong Mahathir yang agak lantang. Dia telah bertindak ke atas bank-bank di Melaka yang ramai penyokong parti pembangkang bekerja di situ. Tindakan si Datuk Wira ini ialah dengan mengeluarkan wang kerajaan negeri dari bank-bank itu. Tindakannya itu menjadikan dia popular dalam Umno dan menang jawatan Majlis Tertinggi parti itu dengan mendapat undi paling tinggi. Kerana tindakannya yang tegas dan berani ramai orang berfikir urusan dalam negeri Melaka di bawah Ali Rustam, kemas dan rapi. Tetapi Laporan Ketua Audit Negara memberi tamparan kepadanya. Ali Rustam buat seketika waktu ini kena banyak buat kerja pemulihan di Melaka. Dia kena kemaskan kewangan kerajaan Melaka. Sementara itu Menteri Besar Trengganu, negeri yang kaya royalti minyak kena jaga-jaga. Jangan buat kesilapan yang sama. Jangan benarkan isteri exco pandu kereta rasmi kerajaan untuk pergi beli nasi lemak