KINI

16 June 2000

Edisi 157

13 Rabiul Awal 1421

 

PerlukahKhidmat Eusoff Chin Disambung? [ download ]

Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin akan mencapai umur 65 tahun Selasa, 20 Jun. Ini bermakna tempoh persaraan wajib bagi seorang hakim telah sampai. Namun begitu Perdana Menteri Mahathir Mohamad boleh menasihati Yang diPertuan Agong untuk menyambung perkhidmatan Eusoff Chin secara kontrak. Soalnya wajarkah perkhidmatan Eusoff Chin disambung terutama dengan wujudnya kontroversi mengenai kisah percutiannya di New Zealand pada Disember 1994 itu?

Eusoff Chin yang dilahirkan pada 20 Jun 1935 di Batu Gajah, menggantikan Tun Hamid Omar sebagai Ketua Hakim Negara pada 24 September 1994. Hamid Omar adalah seorang Ketua Hakim Negara yang juga dituduh berlaku rasuah. Dia telah menggantikan Ketua Hakim Negara sebelumnya, iaitu Tun Salleh Abbas yang Mahathir pecat (sudah tentu melalui nasihatnya kepada Yang diPertuan Agong) melalui sebuah tribunal yang ditubuhkan secara tergesa-gesa.

Sepanjang Eusoff Chin menjadi Ketua Hakim Negara mungkin kes perbicaraan Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri sebagai kes terpenting baginya. Kita tidak ada bukti untuk menuduh Mahathir berpakat dengan Eusoff Chin dalam perbicaraan kes Anwar Ibrahim. Tetapi sebagai rekord, banyak perkara yang pelik-pelik berlaku di dalam mahkamah berhubung Anwar Ibrahim, baik secara langsung atau sebaliknya.

Kita tidak mahu main serkap jarang. Sebab Mahathir kata cabang kehakiman bebas. Eusoff Chin pun kata sistem kehakiman tidak dikawal oleh cabang Eksekutif. Mungkin kita patut bersikap baik sangka kepada kedua-dua mereka. Kita mahu belajar untuk percaya apa yang ketua Eksekutif dan ketua Kehakiman cakap. Tetapi ada anak-anak muda kata, ada jenis cakap tak serupa bikin. Lalu kita perlu bersikap objektif sedikit. Fakta selalunya tidak menipu.

Kes yang Mahathir paling ambil berat tentunya kes Anwar Ibrahim. Betulkah orang berkata bahawa Eusoff Chin banyak membantu Mahathir dalam isu Anwar Ibrahim? Mari kita sama-sama periksa.

Isujamin diri untuk bebas

Sejak ditahan pada 20 September 1998, Anwar Ibrahim telah berkali-kali memohon ikat jamin untuk membolehkan beliau bebas. Maksudnya bebas dengan jamin seperti yang diperolehi oleh Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara yang memukul Anwar, atau Khalid Jefri, penulis buku fitnah "50 Dalil". Mereka dapat ikat jamin. Tetapi Anwar tidak dapat. Mengapa?

Isu hakim kena tukar

Apabila Anwar Ibrahim mendapat injunksi mahkamah bagi menahan penerbitan dan pengedaran buku fitnah "50 Dalil", hakim yang memberikan injunksi itu telah dipindahkan dari Kuala Lumpur. Soalannya kenapa?

Isupemilihan Hakim Augustine Paul

Apabila Anwar Ibrahim mahu dibicarakan dalam kes tuduhan "rasuah" ke atasnya, Hakim Augustine Paul dari Melaka telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengendalkikan kes itu. Mengapa Hakim Augistine Paul? Tidakkah ramai lagi hakim mahkamah Tinggi yang kanan dan berpengalaman sedia ada di Kuala Lumpur. Perlu apa dibawa Augustine Paul yang berkawan rapat dengan Tan Sri Mohtar Abdullah, Peguam Negara? Tidakkah itu mengundang syak wasangka?

Isu Hakim Ariffin Jaka

Apabila Anwar Ibrahim dibicarakan pula dalam tuduhan "liwat" mahkamah telah melantik Hakim Ariffin Jaka untuk mengendalikan kes itu. Siapa yang memilih Ariffin Jaka ini? Ada curiga dan syak terhadap Ariffin Jaka. Puncanya kerana Ariffin Jaka pernah berkongsi berniaga dalam sebuah syarikat milik anak Mahathir, Mirzan Mahathir. Tidak ada hakim lainkah yang lebih telus untuk mengendalikan kes Anwar?

Isu Hakim Mokhtar Sidin

Apabila Anwar Ibrahim membuat rayua terhadap keputusan dia dipenjara 6 tahun ke Mahkamah Rayuan, maka pihak mahkamah telah melantik tiga orang hakim untuk mendengar kes rayuan bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Salah seorang yang dilantik itu ialah Hakim Mokhtar Sidin. Apa masalahnya Hakim Mokhtar Sidin ini? Hakim seorang ini dicurigai akan melakukan ketidakadilan ke atas Anwar Ibrahim. Puncanya? Mungkin hakim ini bersikap prejudis terhadap Anwar. Apa sebab? Sebab Anwar telah membawa kes rasuah Hakim Mokhtar Sidin ini ke pengetahuan Majlis Raja-Raja Melayu.

Isu Mahathir dipanggil ke mahkamah

Sudah berkali-kali pihak mahkamah menggagalkan usaha Anwar Ibrahim untuk memanggil Mahathir Mohamad sebagai seorang saksi dalam kes perbicaraannya. Mungkin ini jasa Eusoff Chin yang terbesar kepada Mahathir.

Jadi sekarang adalah masa yang tepat bagi Mahathir membalas pula jasa Eusoff Chin. Caranya mudah. Jangan sambung semula perkhidmatan seorang hakim yang kewibawaannya telah cacat. Jika sebaliknya yang berlaku, Mahathir hanya akan menyiksa hari-hari tua bagi Eusoff Chin.