KINI

17 June 2000

Edisi 158

14 Rabiul Awal 1421

 

Laporan Kemunduran Hak Asasi Manusia di Malaysia
[ download ]

Amnesty International, sebuah badan hak asasi manusia telah menerbitkan laporannya bagi Malaysia untuk tahun 1999. Kita rakyat Malaysia yang duduk dalam negeri sendiri dan menanggung segala kesan pemerintahan kerajaan yang ada sekarang menganggap laporan Amnesty International itu bukanlah sesuatu yang baru. Namun begitu, dengan fikiran terbuka elok juga kita melihat apa ‘orang luar’ cakap tentang keadaan dalam negara kita, khususnya di bidang hak asasi manusia. Berikut petikan beberapa perkara yang dibangkitkan di dalam laporan itu.

Kes Anwar Ibrahim

Amnesty International membuat kesimpulan bahawa tuduhan-tuduhan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bermotif politik. Ia satu alasan untuk menyisihkan Anwar daripada kehidupan umum (public life). Kesimpulan itu, menurut Amnesty International diperkuatkan oleh perjalanan perbicaraan yang tidak adil, tindakan para pemimpin kerajaan yang menafikan hak Anwar untuk dianggap tidak bersalah sebelum dijatuhkan hukuman, tekanan ke atas peguam-peguam Anwar dan pelbagai keputusan tentang prosedur di dalam perbicaraan.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

Amnesty International memperbaharui gesaannya supaya ISA dimansuhkan. Tidak kurang 27 tahanan yang dianggap ‘prisoners of conscience’ telah ditahan di bawah ISA dari September 1998 hingga awal 1999 berhubung isu Anwar Ibrahim dan gerakan reformasi. Bagaimanapun, semua tahanan itu telah dibebaskan sebelum tamat tempoh penyiasatan 60 hari. Tetapi beberapa orang, termasuk Anwar Ibrahim terus ditahan di bawah pelbagai tuduhan jenayah.

PenyiksaanKe Atas Tahanan

Amnesty International melaporkan tentang kejadian penyiksaan ke atas orang tahanan. Beberapa contoh dikemukakan. Misalnya, Dr Anees Munawar dan Sukma Darmawan menyatakan bahawa mereka masing-masing telah diseksa secara fizikal dan psikologi, termasuk ditelanjangi, diaibkan secara seksual, dipukul dan diugut dengan tahanan berpanjangan di bawah ISA. Abdul Malik Hussein, seorang penyokong Anwar Ibrahim juga menyatakan bahawa dia ditelanjangi, dipukul, diaibkan dan dipaksa munim air kencing semasa ditahan di bawah ISA pada September 1998.

Hak Berhimpun Secara Aman

Amnesty International melaporkan kebanyakan demonstrasi menyokong Anwar Ibrahim dan reformasi berjalan secara aman tetapi pihak Polis berulangkali menggunakan kekerasan yang berlebihan ketika menyuraikan tunjuk-tunjuk perasaan itu. Para penunjuk perasaan diserang oleh Polis dengan menggunakan tangan, cotar dan rotan. Banyak laporan tentang Polis memukul dan menendang para penunjuk perasaan sebaik sahaja mereka ditahan dan juga ketika berada di dalam lokap. Ramai tahanan yang dinafikan hak untuk mendapatkan khidmat guaman sebelum kes reman mereka didengar di mahkamah.

Laporan Amnesty International itu menyebut lebih 1000 orang telah ditahan antara September 1998 hingga Jun 1999 kerana menyertai perhimpunan umum. Sekurang-kurangnya 334 orang telah dituduh di mahkamah. Kebanyakan orang yang dituduh itu telah dibebaskan kerana tidak bersalah. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya 30 orang telah didapati bersalah kerana menyertai "perhimpunan haram" dan dihukum penjara atau denda. Pada bulan September 1999, 14 orang, termasuk ahli parti-parti pembangkang telah ditahan selepas satu rapat umum.

Sekatan Ke Atas Kebebasan Bersuara

Amnesty International juga melaporkan tentang kes Lim Guan Eng, bekas Ahli Parlimen Kota Melaka. Beliau ditahan pada bulan Ogos 1998 kerana tuduhan menghasut dan "menyibarkan berita palsu" berhubung kes rogol berkanun (statutory rape) yang dilakukan oleh seorang pemimpin kerajaan. Kes Irene Fernandez juga disebut. Irene dituduh menerbitkan "maklumat palsu" pada tahun 1995 berhubung penyiksaan di khemah tahanan para pekerja asing tanpa izin. Selain itu, turut disebut kes Zainur Zakaria, peguam Anwar Ibrahim yang dihukum penjara tiga bulan kerana dituduh menghina mahkamah, akibat memfailkan satu afidavit yang mendakwa tentang percubaan dua orang Timbalan Pendakwaraya yang cuba mereka-reka keterangan palsu untuk memerangkap Anwar Ibrahim.

Kes wartawan Kanada, Murry Hiebert yang dipenjara selama enam minggu kerana menghina mahkamah dan juga kes kegagalan kerajaan Malaysia menegakkan imuniti bagi Param Cumaraswamy, wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari tindakan saman adalah antara contoh tekanan ke atas kebebasan bersuara di negara ini.

Suruhanajaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam)

Amnesty International berpendapat definasi hak asasi manusia yang digariskan oleh Suhakam tidak memenuhi kehendak standard hak asasi manusia yang diktiraf antarabangsa. Ini kerana Suhakam mentakrifkan hak asasi itu sebagai kebebasan asas seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia sahaja.

Demikianlah pandangan Amnesty International terhadap keadaan hak asasi manusia di Malaysia. Ada baiknya kerajaan Malaysia bersikap terbuka terhadap pelbagai perkara yang dinyatakan di dalam laporan itu. Begitu juga, Suhakam perlu bertindak segera untuk menangani isu pelanggaran hak asasi manusia di Malaysia ini.