KINI

16 May 2000

Edisi 140

11 Safar 1421

 

Mahathir, Belia dan Idealisme

Dalam usaha mendekati golongan muda, Dr Mahathir Mohamad telah membuat satu ucapan menarik bersempena Perhimpunan Hari Belai Negara di Kuantan pada 15 Mei. Perdana Menteri berkata para belia perlu mempunyai idealisme yang tinggi dalam hidup mereka.

"Sebenarnya segala-galanya boleh dibuat kalau kita ada idealisme supaya satu hari nanti negara kita menjadi lebih baik, besar dan maju" kata Mahathir lagi. Seterusnya, Perdana Menteri menjelaskan, tanpa idealisme belia dan masyarakat akan kekal dengan cara lama, tidak mahu berbuat perubahan atau membuat apa-apa yang biasa mereka lakukan. Mahathir mengaku generasi muda sekarang mempunyai idealisme bahawa sesebuah kerajaan mesti cekap, tidak ada rasuah dan mempunyai pentadbiran yang baik dan berguna untuk masyarakat. "Idealisme amat penting bagi masa depan negara." Tegas Mahathir.

Mahathir selalu bersikap talam dua muka atau "double standard". Apa yang dia cakap, itulah yang dia tidak lakukan. Selepas menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 19 tahun, iaitu umur seorang belia, Mahathir akhirnya menyedari belia negara ini tidak mempunyai idealisme yang tinggi. Soalnya mengapa? Statistik menunjukkan hampir 70% persatuan belia berdaftar di seluruh negara berada dalam keadaan beku. Puncanya kerana para belia tidak berminat berpersatuan. Kenapa tidak berminat? Kerana persatuan-persatuan belia telah dijadikan alat oleh parti-parti pemerintah. Tidak ada demokarsi dalam kepimpinan belia. Di Johor, misalnya, pernah berlaku, Menteri Besar sendiri menjadi Pengerusi Belia Negeri! Tidak ada orang lainkah? Semuanya UMNO/BN mahu monopoli.

Satu masa dahulu Majlis Belia Malaysia (MBM) cukup cergas dan mempunyai idealisme dalam perjuangan. Itu berlaku ketika Anwar Ibrahim menjadi Presiden MBM. Selepas MBM dipimpin oleh orang-orang seperti Ali Rustam, Suhaimi Ibrahim dan Saifuddin Abdullah, MBM menjadi seperti sebuah kelab UMNO atau kelab BN. Kebanyakannya, persatuan-persatuan belia sekarang ditunggang oleh parti-parti kerajaan. Mentaliti kepimpinan persatuan-persatuan belia sekarang tidak ada idealisme melainkan mentaliti subsidi, mengharapkan bantuan pemerintah untuk segala aktiviti.

Bagaimana Mahathir mahukan golongan belia mempunyai idealisme yang tinggi sedangkan Akta Universiti digunakan untuk mengongkong belia itu tadi? Belia-belia yang bakal menjadi pemimpin negara dalam segala bidang, sama ada politik, pentadbiran, budaya, ekonomi serta pendidikan, kebanyakkan mereka berada di universiti ketika umur mereka muda. Bagaimana mereka boleh mengembangkan idealisme mereka jika Akta Universiti menghalang bakat kepimpinan mereka?

Di mana Mahathir dan Musa Hitam memulakan bakat kepimpinannya dan menyemai idealismenya jika tidak di universiti dulu? Begitu juga, Dr Syed Husin Ali, Ustaz Fadzil Noor, Dr Yusof Nor, Anwar Ibrahim, Abdullah Ahmad Badawi dan ramai lagi, semuanya membina idealisme mereka semasa berada di kampus universiti ketika muda belia.

Tetapi Mahathirlah Menteri Pendidikan dan Mahathirlah kemudian menjadi Perdana Menteri yang bertanggungjawb mematikan idealisme golongan muda dan belia di negara ini. Kalau hendak dicari kesalahan Mahathir, di sinilah satu kesilapan terbesar yang dilakukannya. Bayangkan sejak tahun 1975 Apabila Akta Universiti dipinda untuk diperketatkan hinggalah sekarang, Mahathirlah orangnya yang telah menjahanamkan idealisme golongan muda di negara ini.

Sekarang Mahathir marah kerana golongan muda berdemonstrasi dan melancarkan gerakan reformasi. Fenomena itu adalah jawapan berani golongan muda dan belia negara ini yang sekarang tidak tahan lagi ditekan dan dikongkong oleh sebuah pemerintahan kuku besi. Mereka sekarang bangun melawan. Mereka menuntut perubahan. Bukan setakat mahukan kerajaan yang cekap dan tidak korupsi, golongan muda sekarang menuntut demokrasi dan keadilan. Tuntutan mereka tidak dapat menjadi kenyataan melainkan Mahathir ditumbangkan.