KINI

22 May 2000

Edisi 142

17 Safar 1421

 

Layanan Tidak Sopan Terhadap Anwar Ibrahim

Menteri Luar Malaysia Syed Hamid Albar mengkritik Amien Rais. Pada Selasa lalu Speaker Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) Indonesia itu meminta Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad supaya memberhentikan layanan tidak sopan terhadap Anwar Ibrahim.

Syed Hamid berkata Amien Rais telah melanggar semangat Asean iaitu dasar tidak campurtangan hal ehwal dalam negeri ahli. Dasar tidak campurtangan itu bagus. Tetapi kalau digunapakai secara mutlak ada buruknya juga. Misalnya dalam kes Timor Timur. Indonesia telah melakukan penaklukan ke atas Timor Timur selama hampir 25 tahun (1975-1999). "Sepatah haram" Malaysia dan negara-negara Asean lain tidak bangkitkan untuk menegur Indonesia. Kesannya amat dahsyat. Lebih 200,000 rakyat Timor Timur mati dibunuh, diculik, dipenjara dan diperkosa oleh Tentera Suharto sepanjang suku abad pendudukkan haram itu. Kezaliman berlaku dalam skala yang amat besar di negara jiran tetangga Asean. Tetapi semua negara Asean diam kerana dasar tidak campurtangan.

Syed Hamid mendakwa Amien Rais tidak faham sistem keadilan yang wujud di Malaysia. Sistem undang-undang mungkin ada perbezaan sedikit sebanyak antara Malaysia dengan Indonesia. Tetapi isu keadilan adalah sama di mana-mana di muka bumi ini. Apa yang Kerajaan Mahathir lakukan ke atas Anwar Ibrahim adalah biadab, tidak sopan, tidak bertamadun dan bercanggahan dengan prinsip keadilan. Amien Rais yang ada ijazah Phd itu tidak perlu ke universiti semula untuk belajar apa itu keadilan?

Syed Hamid berkata Amien Rais mengkritik layanan tidak sopan pada Anwar Ibrahim kerana Anwar sahabatnya. Undang-undang tidak mengenal kawan atau lawan, kata Syed Hamid. Itu benar. Tetapi undang-undang kenal keadilan. Sehingga ada satu maxim dalam bahasa Latin, "Lex injusta not est lex" yang bermaksud, "undang-undang zalim bukan undang-undang".

Syed Hamid berasa kesal dengan kenyataan Amien Rais yang menyinggung "perasaan kita", kata Menteri Luar Malaysia itu. "Kita" itu siapa? Rakyat Malaysia atau Syed Hamid dan bosnya, Mahathir? Rakyat Jerman tidak rasa tersinggung jika dunia mengecam dan mengutuk kezaliman Hitler dan parti Nazinya. Begitu juga Rakyat Afrika Selatan dulu tidak tersinggung kerana ada orang mengkritik dasar apartheid yang zalim itu.

Rakyat Malaysia boleh terima Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan menterinya. Itu perkara biasa dalam politik dan kerajaan. Tetapi rakyat Malaysia yang cintakan keadilan tidak boleh terima perbuatan tidak sopan, tidak beradab, kejam dan zalim yang dilakukan oleh Mahathir dan pelbagai institusi kerajaannya ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Amien Rais dilaporkan turut mengesa Mahathir supaya memberi layanan yang lebih bertamadun kepada Anwar. Memang pedih telinga Syed Hamid mendengar komen seperti ini. Tetapi bertamadunkah layanan ke atas Anwar. Dia telah dipukul di dalam lokap polis. Selepas dia dibelasah separuh mati oleh Ketua Polis Negara (sekarang bekas), beberapa hari kemudiannya Anwar telah dijamu dengan udang galah untuk dirakam dengan sengaja oleh kamera media sebagai bahan propaganda. Betapa mesranya Polis Diraja!

Syed Hamid tidak harus lakukan seperti Ali Al-Attas di Indonesia sana. Al-Attas seorang itu tunduk melulu ikut telunjuk Suharto. Kerjanya yang terpenting ialah menjaga air muka Suharto dan perasaan Suharto supaya jangan tersinggung berhubung isu Timor Timur. Betapa prihatinnya negara tetangga Indonesia pada zaman Suharto dulu. Ramos-Horta pemimpin Timor Timur tidak dibenarkan datang ke Filipina kerana Fiedal Ramos hendak jaga perasaan Suharto. Persidangan Antarabangsa Timor Timur di Kuala Lumpur (APCET II) digagalkan atas arahan Mahathir kerana Mahathir juga hendak jaga perasaan Suharto supaya jangan tersinggung.

Sekarang Malaysia mengharapkan pula balasan. Syed Hamid berharap pemimpin negara jiran jangan menyinggung Malaysia. "Malaysia" di situ maksudnya Mahathir. Kalau boleh Syed Hamid Albar mahu supaya Anwar merengkok seorang diri di dalam penjara dengan pemimpin dunia lainnya tidak ambil peduli. Tetapi calon Naib Presiden Umno yang tewas itu lupa agaknya. Dunia di sekeliling Malaysia sudah berubah.

Suharto sudah tumbang di Indonesia. Pemimpin reformasi Amien Rais sudah diangkat menjadi Speaker MPR. Sebaliknya di Malaysia, pemimpin reformasi Anwar Ibrahim dipenjara manakala Mahathir terus berkuasa. Tetapi sampai bila? Mahathir sendiri sudah mengakui bahawa dia dan Umno kini hidup di dalam persekitaran yang memusuhinya