KINI

8 June 2000

Edisi 150

5 Rabiul Awal 1421

 

Pilihanraya Teluk Kemang dan
Perilaku Sumbang Ketua Hakim

Macam Pilihanraya Kecil Parlimen Johor Bahru pada tahun 1988 dahulu, isu Ketua Hakim Negara juga muncul dalam Pilihanraya Parlimen Teluk Kemang sekarang ini.

BN kalah teruk dalam pilihanraya kecil Johor Bahru itu. Rakyat memprotes tindakan Mahathir memecat Tun Salleh Abbas.

Rakyat meminta layanan yang adil bagi setiap kesalahan perilaku Ketua Hakim Negara. Jangan hanya kepada Tun Salleh Abbas, Mahathir bertindak tegas dan membentuk Tribunal untuk memecat beliau, tetapi apabila tiba kepada Eusoff Chin, Mahathir cuba melindungnya semacam Mahathir melindung kes rasuah Rafidah Aziz, Daim Zainuddin dan Rahim Thamby Chik.

Rais Yatim semasa berada di luar Umno dulu (dalam Parti Semangat 46) telah menggunakan isu pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai bukti bahawa Mahathir menghakis kebebasan kehakiman. Kita menuntut Rais Yatim bersikap berani kali ini. Kalau benar Eusoff Chin bersalah beliau perlu dihukum setimpalnya. Kalau Eusoff Chin tidak bersalah beliau mesti diberi platform yang sewajarnya untuk membersihkan namanya. Inilah keadilan. Kita tidak mahu "cover-up" berlaku dalam isu ini.

Sebaliknya kalau Rais Yatim berbohong kerana berkata kerajaan ada menegur Ketua Hakim Negara berhubung isu salahlaku itu, tetapi Ketua Hakim Negara kata tidak ada teguran seumpama itu dilakukan oleh sesiapa kepadanya, maka Rais perlu terima konsekuennya. Menteri yang berbohong dalam isu seserius ini wajar mengundurkan diri.

Oleh kerana isu yang diperkatakan ini adalah isu perilaku Eusoff Chin, seorang Ketua Hakim Negara, mari kita imbas semula lima tuduhan "salahlaku" bekas Ketua Hakim Negara yang lalu, Tun Salleh Abbas sebagai perbandingan. Kemudian kita lihat apa yang Mahathir buat ke atas Salleh Abbas dan apa yang Mahathir tidak buat ke atas Eusoff Chin. Kita tengok ada "double standard" atau tidak. Kalau ada, pengundi Teluk Kemang kena tolak calon BN sebagai protes terhadap Mahathir dalam isu ini.

Biar fakta yang bercerita tentang apa yang telah berlaku. Pada 14 Jun 1988 Peguam Negara bagi pihak Perdana Menteri telah menyerahkan tuduhan rasmi kepada Ketua Hakim Negara waktu itu, Tun Salleh Abbas. Tuduhan-tuduhan itu diumumkan kepada orang ramai pada 21 Jun 1988. Terdapat lima tuduhan utama ke atas Ketua Hakim Negara. Tidak ada satu pun tuduhan itu yang melibatkan salah laku jenayah. Sebaliknya Kerajaan Mahathir menuduh perilaku Tun Salleh Abbas menjejaskan kewibawaan seorang hakim. Mari kita lihat apa salahlaku Salleh Abbas sehingga dikatakan merendahkan martabat seorang hakim?

Tuduhan pertama ke atas Tun Salleh Abbas ialah tentang ucapannya pada 1 Ogos 1987 di Universiti Malaya. Ketua Hakim Negara itu telah dikatakan membuat beberapa pernyataan mengkritik kerajaan. Tun Salleh Abbas dituduh bersikap prejudis dan "bias" menentang kerajaan. Kenyatan-kenyataan Salleh Abbas itu bagi kerjaan Mahathir dianggap sebagai tidak sesuai dengan kedudukan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara.

Tuduhan kedua: Kerajaan Mahathir beranggapan ucapan Ketua Hakim Negara pada 12 Januari 1988 sebagai mengandung beberapa kenyataan yang memburukkan kerajaan dan ini dituduh boleh mengurangkan keyakinan umum terhadap Kerjaan. Tun Salleh Abbas telah dianggap menuduh Kerajaan Mahathir menghakis kebebasan kehakiman, dan menyatakan kerjaan mengabaikan peranan kehakiman.

Tuduhan ketiga: Berhubung tindakan Ketua Hakim Negara yang mengeluarkan satu perintah menangguhkan satu perbicaraan tanpa menetapkan satu tarikh lain untuk mendengar kes itu

Tuduhan keempat: Berhubung satu surat bertarikh Mac 1987 kepada Raja-raja Melayu. Tuduhan itu mendakwa surat itu ditulis bagi pihak Ketua Hakim Negara dan semua hakim-hakim di Malaysia. Dalam tuduhan kerajaan Mahathir itu, disebut bahawa Yang di Petuan Agong telah menafsirkan bahawa surat itu mendesak Raja-raja Melayu supaya bertindak ke atas perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. Dan ini menurut Agong menjejaskan "hubungan baik antara Raja-raja Melayu dengan kerajaan". Agong ketika itu ialah Sultan Mahmod Iskandar (Sultan Johor).

Tuduhan kelima: Berhubung satu kejadian selepas penggantungan Tun Salleh Abbas dari jawatannya. Salleh Abbas dituduh kerana memberi satu wawancara dengan British Broadcasting Corporation (BBC) pada 29 Mei 1988 yang telah dilaporkan oleh akhbar Straits Times Singapura. Dalam wawancara itu Tun Salleh Abbas telah dituduh memburuk-burukkan kerajaan.

Demikian antara lain tuduhan ke atas bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas. Tak timbul soal dia bercuti di New Zealand dan bergambar dengan seorang peguam kanan yang sedang menjadi peguambela dalam satu kes yang melibatkan seorang jutawan atau bilionwan, Tan Sri Vincent Tan, ahli korporat terkemuka yang dikatakan menjadi kroni Perdana Menteri.

Masyarakat perundangan termasuk Majlis Peguam Malaysia membuat kesimpulan bahawa sekiranya kelima-lima tuduhan ke atas Tun Salleh Abbas itu benar, kesemuanya itu tidak boleh menjadi asas untuk menyatakan bahawa Tun Salleh Abbas telah melakukan salah laku sebagai seorang Ketua Hakim Negara. Beliau tidak sewajarnya dipecat daripada jawatannya. Demikian pandangan mereka berdasarkan standard antarabangsa. Undang-undang Antarabangsa yang terkandung di dalam Prinsip Asas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas kebebasan kehakiman melindungi kebebasan bersuara bagi hakim-hakim selagi ianya selari dengan martabat seorang hakim.

Jadi jauh bezanya kesalahan yang didakwa ke atas Tun Salleh Abbas dengan perilaku sumbang Eusoff Chin. Jadi langkah terbaik ialah siasatan segera yang telus dilakukan ke atas Ketua Hakim Negara. Untuk membolehkan siasatan itu dijalankan, Eusoff Chin wajarlah digantung kerja buat sementara waktu. Sekiranya hasil siasatan menunjukkan ada kes prima facie, maka satu Tribunal yang lazimnya perlulah dibentuk untuk membicarakan Ketua Hakim Negara. Kalau Ketua Polis Negara, Tan Sri Abd Rahim Noor akhirnya diheret ke mahkamah kerana mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam tahanan, maka mengapa Ketua Hakim Negara bernama Eusoff Chin, jika dia bersalah perlu ada kekebalan yang tidak berasas?

Sementara itu, pengundi Teluk Kemang boleh membuat keputusan. Banyak sebab mengapa calon BN patut ditolak. BN patut dikalahkan. Satu sebabnya ialah kerana kesalahan Mahathir, Pengerusi BN. Terdapat banyak sangat kesalahan Mahathir sepanjang hampir 20 tahun dia menjadi Perdana Menteri. Salah satu kesalahan utamanya ialah kerana dia merosakkan kebebasan kehakiman di negara kita ini. Satu daripada buktinya telah dinyatakan di atas tadi iaitu pemecatan Tun Salleh Abbas, 12 tahun yang lalu. Kini, kalau benar Eusoff Chin bersalah dan tidak ada tindakan diambil, bermakna Mahathir melindungi seorang Ketua Hakim yang rasuah.