1 June 2000

Edisi 145

27 Safar 1421

 

Mengapa Pengundi India Perlu Tolak MIC di Teluk Kemang

Calon BN di Teluk Kemang, S. Sothinathan adalah dari parti MIC. Presiden MIC Samy Vellu sendiri telah mengaku dalam Perhimpunan Agung parti itu baru-baru ini bahawa MIC telah gagal memperjuangkan nasib masyarakat India di Malaysia. 20 peratus daripada pengundi di Teluk Kemang adalah pengundi India, iaitu seramai 13,755 orang. Fakta-fakta berikut perlu direnungi oleh para pengundi India. Wajar atau tidak MIC ditolak di Teluk Kemang.

Pertama: 75 % masyarakat India di negara kita ini tidak mempunyai rumah sendiri. Lebih 25,000 keluarga India tinggal di kawasan setinggan.

Kedua: Lebih 85% murid sekolah Tamil gagal dalam bidang pendidikan setiap tahun. Sekolah-sekolah Tamil dalam keadaan daif. Suasana tidak sesuai untuk kemajuan pembelajaran murid-murid.

Ketiga: Lebih 100 tahun masyarakat India telah bekerja di estet-estet. Sampai hari ini tuntutan mereka untuk mendapat gaji bulanan masih belum dilaksanakan. BN hanya lakukan kajian demi kajian tetapi tidak ada pelaksanaan. Ini kegagalan utama MIC dalam kerajaan. Tetapi apabila pilihanraya kecil Teluk Kemang hendak diadakan kerajaan BN berkata skim gaji bulanan itu akan diadakan pada hujung tahun ini. (lihat the Star 28 Mei). Lepas pilihanraya kecil Teluk Kemang, BN akan terus buat kajian lagi.

Keempat: Pemilikan saham kaum India sekarang hanya 1.5%. Itu pun bukan dikongsi bersama oleh masyarakat India. Para elit dan kroni Samy Vellu, Mahathir dan Daim sahaja (di kalangan orang India) yang membolot kekayaan itu. Siapa mereka? Antara mereka ialah Tan Sri Ananda Krishna yang memiliki Binaring Berhad, MEASAT Broadcast Network System Sdn Bhd dan GSM Maxis Binaring Berhad. Seorang lagi tokoh korporat India yang kaya raya ialah Tan Sri Apavoo Packiri Arumugam yang memiliki GEC Malaysia, Kris Technologies, Kris Agrissystem, Kris Biosystem, Kris Hydrotech, Malaysia Airport Projects, Teknologi Tenaga, Mahkota Teknologi dan Kristech Sea Tran.

Hanya segelintir orang India sahaja yang kaya, yang jadi jutawan atau bilionwan. Seperti orang Cina dan Melayu juga. Anggota masyarakat India yang lain hidup dalam kesusahan dengan gaji rendah dan tidak ada kemahiran. BN hanya membanggakan kewujudan kumpulan profesional yang agak tinggi peratusannya di kalangan kaum India.

Bagi tahun 1995-1997 peratus kaum India dalam bidang profesional di Malaysia ialah (23.4% jurutera), (12.1% doktor) dan (11.1% peguam). Tetapi bukan semua orang India itu jurutera, doktor atau peguam. Kebanyakan mereka adalah pekerja di kilang dan di ladang-ladang. Mereka hidup miskin dan susah. Kerana kemiskinan dan susah banyak masalah sosial berlaku dalam masyrakat India. M G Pandithan, Presiden IPF pernah berkata dalam Perhimpunan Agung parti itu pada 1 Ogos tahun lalu bahawa 30 peratus kegiatan jenayah di negara ini melibatkan generasi muda masyarakat India.

Kesimpulannya MIC telah gagal memperjuangkan nasib majoriti masyarakat India di negara kita ini. Sama seperti UMNO dan MCA, MIC juga sebuah parti perkauman. Rakyat Malaysia sekarang sedang berusaha membina Bangsa Malaysia. Mereka menolak politik perkauman yang dibawa oleh parti-parti perkauman yang bergabung di dalam BN. Pilihanraya kecil Teluk Kemang adalah detik yang paling sesuai untuk 66,646 orang pengundi Teluk Kemang, bukan sahaja menolak MIC tetapi menolak BN sama sekali.