Kenyataan Akhbar Ketua Pembangkang: Dakwa Mahathir
 
 
-KENYATAAN AKHBAR-
Y.B. DATO' FADZIL MOHD. NOOR
KETUA PEMBANGKANG PARLIMEN MALAYSIA
13 JUN 2000
 
Menghalang Tugas BPR: Dakwa Mahathir!
 
Keterangan bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Shafie 
Yahya dalam mahkamah semalam bahawa Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir 
Mohamad telah memarahi beliau kerana menggeledah pejabat bekas Ketua 
Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPE), Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman, 
sungguh memeranjatkan dan menggemparkan negara. Arahan Perdana Menteri 
supaya BPR menutup siasatan ke atas bekas Ketua Pengarah UPE adalah satu 
jenayah untuk menutup amalan rasuah yang melibatkan pegawai tinggi kerajaan.
 
Kami mencabar Peguam Negara mengambil tindakan segera menyiasat skandal ini 
di mana seorang pegawai tinggi kerajaan dihalang daripada menjalankan 
tugasnya oleh ketua kerajaan sendiri. Kata-kata yang dihamburkan oleh 
Perdana Menteri kepada Datuk Shafie jelas berniat untuk membelakangkan 
kebenaran dan keadilan serta membantutkan perjalanan proses undang-undang. 
Sebelum ini bekas Timbalan Perdana menteri dijatuhkan hukuman atas alasan 
yang sama bahawa beliau telah menghalang pegawai kerajaan daripada 
menjalankan tugas mereka. Jika Peguam Negara enggan memulakan tindakan ke 
atas Dr Mahathir, kerajaan BN yang memerintah tiada lagi kewibawaan dan 
patut ditolak oleh seluruh rakyat.
 
Kes terbaru ini merupakan yang paling keji dan mencabar kesabaran rakyat 
setelah kes laporan Datuk Seri Anwar terhadap Dr Mahathir kerana dakwaannya 
bahawa beliau (Dr Mahathir) telah menghalang siasatan terhadap Menteri 
Perdagangan Antarabangsa dan Industri atas tuduhan rasuah tidak diambil 
tindakan oleh kerajaan. Kes tersebut telah mengesahkan adanya pencabulan 
pihak eksekutif ke atas pihak perundangan. Memang tepat sindiran yang kerap 
kita dengar bahawa hanya 'ikan bilis' yang ditangkap sementara 'jerung' 
terus bebas kerana campur tangan pemimpin tertinggi sendiri.
 
Keterangan Datuk Shafie dalam mahkamah bahawa Dr Mahathir memarahinya kerana 
siasatan BPR terhadap Tan Sri Ali Abul Hassan membuktikan betapa 
kenyataan-kenyataan Mahathir sebelum ini tentang perlunya pemimpin itu 
bersih hanya lakonan beliau semata-mata untuk mengabui mata rakyat termasuk 
perwakilan Umno dalam perhimpunan agung Umno baru-baru ini. Malaysia harus 
berasa amat malu mempunyai seorang perdana menteri yang bertindak 
sedemikain.
 
Peguam Negara masih mempunyai peluang utnuk membersihkan imej beliau yang 
sangat  dicemari oleh begitu banyak peristiwa sejak beberapa tahun 
kebelakangan ini dengan memulakan siasatan terhadap Dr Mahathir kerana 
menghalang tugas BPR itu. Kami mahu mengingatkan pemimpin negara bahawa 
kemarahan rakyat terhadap penyelewengan sebegini sudah sampai ke 
kemuncaknya.
 
 
DATUK FADZIL MOHD NOOR
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
13 Jun, 2000