Artikel 5

Betulkah kerajaan sudah bersedia menghadapi kegawatan ekonomi ???

Saya tidak percaya yang kerajaan mampu menghadapi krisis ekonomi ekoran pasaran
saham dan keadaan ekonomi yang tidak menentu di Amerika. Apakah  persediaan yang
telah dibuat? Setahu saya tiada  perubahan drastik yang telah dilakukan oleh
kerajaan setelah kegawatan ekonomi berakhir untuk mengukuhkan keadaan ekonomi
negara.

Bagaimana dengan beban hutang negara yang jumlahnya beratus-ratus billion? Macam
mana nak bayar? Kerajaan tidak mengubah dan merombak pengurusan korporat.
Ketelusan pentadbiran dan pengurusan korporat amat diragui. Tiada berita
mutakhir mengenai penggabungan bank-bank tempatan. Kadar inflasi yang semakin
naik. Kerajaan nampaknya cuba menyembunyikan fakta sebenar mengenai kadar
inflasi.

Bagaimana kerajaan ingin menarik pelaburan langsung asing ke  Malaysia? Tiada
siapa lagi yang mahu melabur di Malaysia. Ketidakstabilan politik,
ketidaktelusan pentadbiran negara, dasar dan polisi negara yang sering
berubah-ubah , perpecahan kaum dan kawalan modal adalah sebab-sebab utama
kurangnya pelaburan asing di Malaysia. Apa yang saya dengar dalam belanjawan
2001, berbagai-bagai kemudahan dan insentif bagi menarik pelabur asing melabur
di Malaysia. Sudahlah, tiada gunanya kerajaan berbuat demikian. Semuanya adalah
sia-sia. Pendirian pelabur asing tidak akan berganjak.

Apabila kegawatan ekonomi di Amerika Syarikat yang mungkin akan berlaku pada
tahun hadapan, pendapatan negara akan juga terjejas dan berkurangan di mana
Amerika merupakan salah sebuah negara pengimport utama barangan elektrik dan
elektronik. Katakan harga petroleum dan gas mulai stabil (turun) setahun
kemudian, pendapatan negara akan juga turut berkurangan. Tambahan pula kurangnya
pelaburan langsung asing yang akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara. Apa
komen kerajaan?

Oleh itu kerajaan nampaknya mengambil ringan atau cuba menyembunyikan
kegelisahan dan kebimbangan mereka mengenai kegawatan ekonomi yang akan melanda
tak lama lagi. Pendapatan eksport akan berkurangan dan beban hutang yang semakin
bertambah, macam mana kerajaan atasi masalah ini. Naikkan cukai? Ia sudah tentu
akan membebankan lagi rakyat. Kerajaan perlu telus dan menyatakan pendirian
adakah kerajaan benar-benar telah bersedia atau sekadar omong-omong kosong.

LTL