Kenyataan Media

Kebangkitan Rakyat di Filipina: Iktibar buat Malaysia

Sekali lagi "Kebangkitan Rakyat" Filipina mampu menumbangkan seorang Presiden yang telah mengkhianati kepercayaan rakyat. Sepertimana "Kebangkitan Rakyat" tahun 1986, kali ini ia juga menampilkan seorang tokoh baru yang bakal memenuhi cita-cita dan aspirasi rakyat. Dr. Gloria Macapagal Arroyo, Presiden baru Filipina telah beberapa kali berjanji untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bertanggungjawab dan telus. Keadilan untuk rakyat miskin akan menjadi agenda utama beliau.

Parti KeAdilan Nasional (National Justice Party) mengucapkan tahniah kepada Presiden Arroya atas tugas murni yang dipikulnya. Pada waktu yang sama, kami berharap bekas Presiden Joseph Estrada akan mendapat keamanan dan kesejahteraan dalam alam persaraannya. KeAdilan akan sentiasa menghargai sokongan beliau terhadap Anwar Ibrahim ketika Anwar dipenjarakan dan dilayani dengan zalim.

Pengalaman Filipina ini menjadi pengajaran yang cukup berharga bagi Malaysia. Pertama, ia menjelaskan betapa pentingnya suatu kepimpinan yang jujur dan amanah. Berbicara tentang korupsi dan penyalahgunaan kuasa sahaja tidak memadai. Bahkan, seseorang pemimpin perlu membuktikan melalui tindak tanduknya, bahawa dia adalah seorang yang bersih dan berwibawa.

Kedua, kejayaan rakyat Filipina menggantikan Presiden mereka menunjukkan jika rakyat benar-benar berhasrat untuk menyingkirkan mereka yang menyalahgunakan kuasa, maka tidak ada kuasa di dunia ini dapat menahan gelombang kebangkitan ini. Pada perhitungan, akhirnya bukan perlembagaan negara atay institusi-institusi kerajaan, undang-undang mahupun dasar-dasar awam yang mengatasi ketidakadilan. Hanya kebangkitan rakyat dapat menegakkan kebenaran, sekaligus menghapuskan kebatilan.

Ketiga, rakyat dapat menyalurkan pendirian dan kehendak mereka, kerana kebebasan demokrasi diberikan ruang di Filipina. Kebebasan untuk berkumpul dan bersuara diberikan ruang bersama lain-lain kebebasan, sepertimana kebebasan berpolitik dan kebebasan awam. Rakyat Malaysia harus menyedari bahawa tanpa penghormatan yang tulin terhadap kebebasan-kebebasan hak asasi ini, proses untuk mencapai perubahan politik akan menjadi lebih sukar.

Keempat, kesemua pengalaman rakyat Filipina menunjukkan bahawa perubahan politik boleh berlaku dengan lebih pantas sekiranya ada di kalangan elit pemerintah yang berani menjelaskan sikap dan pendirian pada waktu yang kritikal. Beberapa situasi lain menunjukkan bahawa perpecahan di kalangan elit pemerintah ialah satu konsidi yang penting bagi mengubah teraju pemerintahan sesebuah negara.

Apakah tidak ada seorang pun di kalangan elit pemerintah di Malaysia yang sanggup menyatakan terus terang bahawa mereka tidak sanggup lagi bersabar terhadap penyalahgunaan kuasa yang berlaku di kalangan pucuk pimpinan sekarang? Apakah mereka akan bangkit dan berkata "berhentilah daripada melakukan kecurangan" dan bertindak menolak kezaliman yang kini telah mencetuskan krisis keyakinan?

Itulah soalan yang sedang bermain dalam fikiran ramai rakyat Malaysia: "Tidak adakah individu yang berkuasa di Malaysia hari ini yang hati nuraninya menggerakkan dia untuk menyebelahi pihak yang benar dan adil?" Adakah peristiwa yang berlaku di Manila akan memberikan mereka inspirasi untuk bertindak ke jalan yang benar?

DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden 21 Januari 2001