KENYATAAN MEDIA PARTI RAKYAT MALAYSIA (PRM)

BPR, MCA DAN PUSAT-PUSAT HARAM

Mengikut Menteri Perumahan Datuk Ong Kah Ting, Badan Pencegah Rasuah (BPR)
telah memberitahu Kabinet bahawa sebilangan pegawai kerajaan mempunyai
pakatan rapat dengan beberapa pusat hiburan dan arked video haram. PRM
mendesak supaya, pada masa yang sesuai, BPR mendedahkan kegiatan
pegawai-pegawai serta  pusat-pusat haram yang terlibat dan mengambil
tindakan  tegas terhadap mereka dengan segera.

Nasihat Kah Ting supaya pegawai-pegawai kerajaan segera mengambil tindakan
terhadap pusat-pusat hiburan dan arked  video haram ini  untuk membuktikan
mereka tidak terlibat dengan apa-apa pakatan rasuah adalah nasihat yang
lemah. Ia menunjukkan bukan saja sikap seorang menteri, bahkan juga sebuah
kerajaan, yang keberatan hendak bertindak tegas terhadap korupsi. Sikap
seperti inilah yang mengakibatkan korupsi berleluasa di merata tempat pada
semua peringkat.

PRM mengetahui bahawa di banyak kawasan selalu berlaku pusat-pusat hiburan
dan arked video haram ini segera dibuka semula selepas pihak-pihak berkuasa
mengambil tindakan. Di kawasan Petaling Jaya, umpamanya, pihak-pihak
berkuasa mengambil tindakan merampas alat-alat perjudian di pusat-pusat
tersebut pada jam 2.00 pagi, akan tetapi sebelum jam 5.00 pagi hari itu juga
   mesin-mesin judi baru dipunggah masuk ke pusat yang sama. Apabila
kegiatan-kegiatan haram di pusat-pusat itu bersambung  semula, tidak ada
tindakan selanjutnya diambil.

Umum memang mengetahui bahawa terdapat kegiatan rasuah yang meluas,
melibatkan pusat-pusat haram ini terutama sekali dengan sesetengah pegawai
polis dan kerajaan tempatan. Pendapatan atau untung daripada pusat-pusat
haram ini sangat besar, dan tidak peliklah pihak yang menjalankannya mampu
menyogok pegawai-pegawai dari bawah sehingga ke atas. Itu sebabnya begitu
banyak sekali pusat-pusat haram ini telah dibuka dalam kawasan kediaman dan
berdekatan dengan sekolah-sekolah. Di kawasan Petaling Jaya, yang ramai
mengunjungi pusat-pusat ini ialah belia dan murid sekolah.

Presiden MCA, Datuk Ling Liong Sik mendakwa bahawa hasil daripada kempen MCA
menentang pil Ecstasy,  90 peratus daripada pusat-pusat haram ini sudah
ditutup. Ini adalah satu dakwaan yang palsu. Kami mengetahui secara pasti
bahawa di kawasan Petaling Jaya, misalannya, tidak ada sebuah pusat hiburan
atau video haram yang telah berjaya ditutup secara berkekalan.

Kita mengetahui bahawa sebahagian besar pusat-pusat hiburan dan arked video
haram itu dimiliki oleh ramai anggota atau penyokong MCA. Adakah dakwaan
Liong Sik dan sikap lembut Kah Ting itu hanya helah untuk melindungi
kegiatan para anggota dan penyokong MCA itu? Sekali lagi,  PRM menggesa BPR
bertindak tegas dengan segera.

Dr Syed Husin Ali
Prresiden PRM

28hb September 2000