Kenyataan Akhbar:
JIM Mengutuk tindakan keganasan Regim Tel Aviv ke atas umat Islam Palestin

 

Tindakan regim Israel menembak mati hampir 50 umat Islam Palestin dan mencederakan beratus-ratus yang lain sejak Jumaat 29 April 2000 yang lepas sekali lagi menunjukkan kepada dunia sikap biadap dan angkuh mereka terhadap umat Islam Palestin khususnya, dan umat Islam seluruh dunia amnya.  Tanpa menghiraukan reaksi dunia, mereka terus bertindak menembak dan mencederakan umat Islam yang keluar ke jalan-jalan  raya menunjuk perasaan di atas alasan 'untuk melindungi keselamatan dan nyawa penduduknya'. Malah Perdana Menteri Ehud Barak dengan penuh angkuh mengatakan bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mengerahkan apa sahaja yang perlu termasuk kereta kebal bagi meredakan tunjuk perasaan tersebut. Ternyata beliau tidak berbohong apabila sebahagian besar umat Islam Palestin termasuk kanak-kanak terbunuh dan cedera akibat serangan yang menggunakan bom, kereta kebal dan helikopter penyerang. Hakikat yang enggan diperakui oleh regim Israel itu ialah tunjuk perasaan dan bantahan itu adalah reaksi balas umat Islam terhadap provokasi Ariel Sharon dan Parti Likud yang sengaja mengundang kemarahan umat Islam dengan membuat lawatan ke Masjidil Aqsa.  Tindakan Ariel Sharon ini ditafsirkan sebagai satu tindakan yang sengaja dilakukan bagi mengesahkan tuntutan Israel ke atas kota suci Baltulmaqdis.

Sharon sebenarnya mempunyai rekod hak asasi manusia yang sangat buruk. Beliau turut dikaitkan dengan peristiwa pembunuhan beramai-ramai ke atas pelarian Palestin di khemah-khemah Shabra dan Shatilla, Lebanon pada tahun 1982. Pertempuran yang berlaku di antara umat Islam Palestin dan tentera regim Israel pada hari ini adalah menyerupai peristiwa yang berlaku pada bulan September 1996 apabila pihak berkuasa Israel membuka terowong berhampiran dengan Masjid Al-Aqsa. Di dalam peristiwa tersebut 59 umat Islam Palestin terbunuh.

Apa yang berlaku pada hari ini adalah bukti yang jelas bahawa keamanan dan kestabilan di Palestin dan di Timur Tengah umumnya tidak akan wujud  selama mana regim Israel terus berhasrat untuk menduduki Baitulmaqdis.

JIM merasakan adalah menjadi tanggungjawab umat Islam dan negara-negara Islam untuk mengutuk tindakan ganas regim Israel membunuh umat Islam Palestin. Dengan itu JIM menyeru umat dan negara-negara Islam supaya menggunakan saluran diplomatik yang sesuai untuk menyuarakan bantahan kepada regim Israel. Di samping itu mereka juga perlu menggunakan pengaruh yang ada untuk mendesak badan-badan dunia khususnya Bangsa-bangsa Bersatu dan OIC (Organization of the Islamic Conference) agar menyatakan pendirian tegas dan mengutuk tindakan Israel.

JIM mengutuk sekeras-kerasnya sikap negara-negara barat terutama Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya yang kononnya bersungguh-sungguh untuk mewujudkan keamanan di Palestin, tetapi berdiam diri dengan  tindakan ganas regim Israel yang sangat bertentangan dengan syarat-syarat bagi mewujudkan keamanan tersebut.

JIM juga menyeru negara-negara Islam supaya bersikap tegas terhadap regim Israel dan memutuskan apa sahaja hubungan diplomatik atau perdagangan serta melupakan hasrat untuk menjalinkan perhubungan dengannya, seperti  yang sering diperkatakan akhir-akhir ini.

JIM juga menyeru umat Islam supaya menyokong perjuangan umat Islam Palestin untuk membebaskan Tanah Suci Baitulmaqdis dan kedaulatan tanah air mereka dari terus dicerobohi oleh regim Israel. JIM berharap umat Islam dan rakyat Malaysia bersatu di dalam menyuarakan bantahan ke atas tindakan kejam regim Israel serta mengiktiraf hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka sendiri.



PROF. MADYA DR. HJ. MOHAMED HATTA HJ. SHAHAROM

Presiden

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)