KEMELUT PEMIKIRAN ORANG MELAYU

Ketika ini massa sedang hebat memperkatakan tentang 'Perpaduan dan Mempertabatkan Bangsa Melayu'. Di dalam kesibukkan memperkatakan serta membincangkannya acapkali pemikiran dan tumpuan massa cuba di arahkan kepada beberapa persoalan yang agak kabur dan kelam ke mana seharusnya dibawa pemikiran dan kefahaman mereka di dalam usaha mencari jalan penyelesaiannya.

Erti 'Perpaduan' seringkali cuba digambarkan dalam bentuk zahir yang boleh dilakonkan dengan 'duduk semeja' dan 'berhimpun bersama' tidak lebih jauh mendalam sebagaimana dikehendaki mengikut persfektif agama anutan orang-orang Melayu. Mungkin orang akan mempersoalkan, bukankah dengan 'duduk semeja' (bertemu, berbincang dan bermuzakarah) dan 'berhimpun' itu satu jalan dan usaha ke arah mencari titik tolak kepada perpaduan yang diagendakan? Itu benar dan tiada siapa yang boleh menafikan. Akan tetapi apakah itu cukup tanpa diiringi dengan keterbukaan sikap, keikhlasan niat dan kejelasan matlamat, kejernihan fikrah Islamiyyah DAN bukan bermotifkan sesuatu yang di luar dari yang diagendakan iaitu dengan muslihat keji, keangkuhan dan keegoan sikap, kepentingan peribadi, politik dan pengaruh. Masing-masing atau sebahagian pihak bersikap tidak jujur dan cuba menjadi 'hero' dan 'jagoan' kepada perpaduan hilang arah yang diimpikan.

Sebab itulah masalah yang sebenarnya mudah menjadi semakin rumit lebih-lebih lagi disogokkan secara berterusan dengan ide-ide, pendapat dan pandangan yang tersasar dari yang sebenarnya. Inilah bentuk kemelut pemikiran Melayu yang dikira sukar diubah sedangkan jalan terbaik di hadapan dapat dilihat dan jelas tergambar di dalam kotak pemikiran masing-masing iaitu kembali kepada pertunjuk Al-Quran dan Al-Sunnah iaitu rujukan yang tidak mampu untuk dipertikaikan kerana berkebetulan menjadi ikutan dan panduan orang-orang Melayu. Tak tahulah kalau semudah (untuk menerima dan menyakini) inipun tidak terlintas di kotak pemikiran 'hero-hero' dan 'jagoan' perpaduan Melayu bagi pihak kerajaan dan NGO seperti GPMS, BBM dan sebagainya. Benarkah GPMS dan BBM yang baru ditubuhkan itu beragendakan 'perpaduan' atau 'membina' dan 'mengutip' serpihan sokongan kembali orang-orang Melayu setelah 'terpelanting' dan tersisih dari barisan utama para politikus?

Erti 'Memartabatkan Bangsa' juga tidak terlepas dari kategori slogan semata-mata sedangkan apa tahap martabat yang ingin dicapai pun tidak keruan bentuknya. Apakah bentuk martabat itu dirujukkan kepada individu koperat kaya seperti Tun Daim, Tajuddin Ramli, Halim Saad, sedang kita tahu kekayaan mereka pun hasil yang masih terus dipersoalkan oleh rakyat?? Ataupun dirujukkan kepada seorang PM Melayu seperti Mahathir yang berwawasankan 'masa depan gemilang' yang menunjangi budaya rasuah, penyelewengan dan kezaliman ke atas seteru politiknya yang terus dipertikaikan rakyatnya sendiri?? Atau dirujukkan kepada golongan professional guaman seperti Mohtar Abdullah, Ariffin Jaka, Eusof Chin dan lain-lain yang diragui kemampuan guamannya?? Atau dirujukkan kepada kelompok pemimpin-pemimpin rasuah dan menyalahgunakan kuasa di Kementerian-kementerian atau Jabatan-jabatan yang menjadi jentera kepada kerajaan?? Kalau inilah bentuk martabat bangsa yang diimpikan apakah maknanya bangsa melayu?? Buktinya, masih ramai di kalangan orang-orang Melayu termasuk para 'hero' dan 'jagoan' perpaduan melayu yang masih mengampu dan sayangkan individu pemimpinnya yang telah jelas tergolong di dalam kategori yang disebutkan. Kalau beranipun setelah tersingkir dan tersisih dari kelompok asal seperjuangannya.Apakah patut dengan bangga terus menerus melaung dan menteriakkan perpaduan Melayu???

Jelasnya 'Martabat Bangsa' yang perlu difokuskan adalah dari persfektif agama. Kalaulah bangsa difokuskan ke arah keimanan dan ketakwaan sebenar kepada Sang Pencipta sudah pasti tidak terlantik individu-individu yang mewakili bangsanya itu si Penzalim, si Perasuah, si Penyeleweng dan si pengampu yang senantiasa menjilat 'punggung' ketuanya. Bagaimana harus dicapai? Sudah pasti melalui usaha dan sumbangan para pendidik kalangan alim-ulama yang mampu menunjuk ubat-ubat mujarab sebagai penyembuh segala penyakit rohani manusia.

Tetapi hakikatnya adalah malang seribu kali malang, sewaktu para 'hero' dan 'jagoan' ini mencanangkan isu perpaduan bangsanya, golongan tersebutlah yang diasak, ditekan, digam dan disisihkan dari media arus perdana kununnya menjadi 'ejen' kepada pihak pembangkang dan menjadi penentang kepada polisi kerajaan. Persoalan agama yang menjadi tunjang kekuatan bangsa diremehkan. Fungsinya turut diperlekehkan. Kekuatannya dilunturkan.

Inilah kemelut pemikiran 'hero' dan 'jagoan' perpaduan melayu yang hilang arah.Sudah erti perpaduan dikaburkan dengan merujuk kepada kekuatan bangsa secara zahir atau individu berkepentingan semata-mata, erti martabat pun dilihat seolah-olah ingin mempertahankan seseorang yang sudah berada di hujung sisa kariernya. Jika di gandingkan keduanya jadilah sebenarnya 'memartabatkan bangsa' itu adalah yang bermaksud 'terus menyokong' sejenis bangsa melayu berkuasa yang takut hilang segala kuasa dan harta yang dimilikinya. Sebab itu kesungguhan mereka melaungkannya adalah dengan berkira bahawa mereka boleh diterima semula dan tidak terus di sisih dari mengecapi segala 'nikmat' martabat dan perpaduan yang disembunyikan di lubuk hatinya.

Maka tidak hairan perhimpunan 'Tak Melayu Hilang Di Dunia' berlangsung sebenarnya hasil dari kemelut pemikiran ahli jawatankuasa penganjurnya. Akibat kekaburan itulah agenda 'perpaduan' yang dicanang telah bertukar kepada 'keluhan dan rintihan' akibat terlepas dari mengecapi sama nikmat 'martabat bangsa' (agihan projek dsbg) yang sebenarnya telah berakar umbi diperjuangkan oleh sesama mereka sehingga hilang segala nilai-nilai murni dan peradaban akibat kenikmatan yang mempersonakan itu.

Walaupun demikian kita berhak mempersoalkan lagi apakah jenis kemelut pemikiran hero dan jagoan perpaduan bangsa seperti bekas ahli Majlis Tertinggi Datuk Ibrahim Ali, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Datuk Zakaria Said, bekas Exco Pemuda Tajuddin Rahman, Dato' Khalid Yunus dan Datuk Mazlan Harun yang dilaporkan sebagai antara pengkritik kepada pimpinan tertinggi kerajaan yang berketuakan Mahathir itu?

Akhirnya, kembalilah wahai bangsa Melayu kepada 'Martabat dan Perpaduan' sebenar mengikut acuan Islam dan keluarlah dari kemelut pemikiran melayu yang tidak berkesudahan seperti;(merujuk kepada artikel di ruangan forum Utusan Hari Rabu)

1.'Melayu hanya pandai menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahan diri' SEPATUTNYA 'Melayu harus senantiasa bersikap positif dan mahu menerima pandangan, nasihat dan teguran orang lain meskipun pahit dan tidak memihak dirinya'

2. 'Dr. Mahathir Mohamad telah menerajui negara ini dengan memberi penekanan serius kepada pembangunan bangsa' SEPATUTNYA pengertian pembangunan bangsa tidak terus dicanang sebegitu rupa sehinggakan menyembunyikan agenda-agenda 'melingkupkan bangsa' yang telah jelas di lakukan. Nyatakanlah dengan berani dan tegas bahawa agenda pembangunan bangsa bukanlah keutamaan tanpa di dahului pembangunan insan.

3. Tetapi apakah kepandaian dan kepakaran bangsa Melayu hanya untuk mengkritik tanpa mempunyai idea-idea bernas untuk memajukan anak bangsa? SEPATUTNYA bukan sekadar kepandaian mengkritik yang dipersoalkan tetapi sejauh manakah kemampuan menerima kritikan dan bersikap keterbukaan di dalam menerima apa jua kritikan dan BUKAN berdalih, memutarbelit dan menindas pengkritik. Buktinya, apa sudah jadi dengan kebebasan media negara ini-isu terbaru boikot MalaysiaKini & Akhbar PRM.

Persoalan lagi: Bagaimana semua pengkritik ini harus dan boleh menggemblengkan tenaga, minda dan usaha agar boleh membuahkan perakuan-perakuan yang boleh membantu memartabatkan bangsa mereka sedang ide-ide mereka tidak mahu didengar apalagi untuk diterima dan dilaksanakan. Lebih dahsyat lagi para pengkritik diugut, ditekan dengan berbagai akta dan undang-undang yang menggerunkan.

Salam Perjuangan

Ntzalim 8.30 pm 7/2/01