Oleh Pena Suasa

pena_suasa@hotmail.com

 

Apa Ada Lagi Yang Mahu Keluar?

 

DEWAN Undangan Negeri Lunas di Kedah akan menghadapi pilihan raya kecil tidak lama lagi. Biasanya bila sampai masa pilihan raya, tidak kira pilihan raya kecil atau pun pilihan raya umum, maka sibuklah akhbar-akhbar harian menyiarkan berita-berita “ahli-ahli keADILan” bertindak meninggalkan parti dan mahu menyertai Umno.

Jika bukan keADILan yang menjadi mangsa, sudah pasti PAS, PRM ataupun DAP akan “diserang” dengan berita-berita yang sengaja dicipta. Apakah para pengundi di Dun Lunas akan terpengaruh dengan berita seperti ini?

Minta-minta tidak! Kita semua sudah biasa dengan propoganda seperti, maka janganlah hendaknya  terpengaruh dan kita usah terperangkap.

Tentu ada seorang dua dalam Umno Bahagian Padang Serai ataupun “tukang-tukang karut” di dalam BN Negeri Kedah akan merancangkan perjumpaan “untuk menyerah borang” memohon menjadi ahli Umno. Kali ini, “budak penagih dadah” yang bernama Rohaidi Rahim yang pernah mengisytiharkan keluar keADILan dahulu akan memainkan peranan penting, kononnya untuk menjadi orang mustahak.

Dia akan buat itu dan buat ini, tujuannya hanya satu “nak cari duit raya”.

Kita tengok, kalau calon nanti datangnya dari keADILan, maka “ada berita orang keADILan” keluar parti. Begitulah juga kalau calon DAP, nantinya “ada orang DAP akan meninggalkan DAP” kononnya hilang kepercayaan kepada perjuangan parti itu; kononnya kerana bekerjasama dengan PAS.

Alahai…. Umno. Alahai BN… tektik lama tu.

Kali ini, kalau ada kejituan dan kerjasama yang erat, BN akan dapat diajar. Tunjukkan kesepakatan kita dan bekerja keraslah untuk ‘menafikan 2/3 suara BN di Dewan Undangan Negeri Kedah’.

Umno sudah kekeringan idea. Perhimpunan Khas Umno 18 November 2000 ini adalah perhimpunan untuk mengekalkan kedudukan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Presiden Umno sekurang-kurangnya hingga 2005.

Ingat, Umno tewas dahulu di dalam pilihan raya kecil Arau kerana mereka berkrisis sesama sendiri isu nepotisme dan kronisme yang timbul dalam Perhimpunan Agungnya.

Kali ini, rata-rata ahli di peringkat bawahan sudah menyampah dengan keputusan untuk “mengekalkan” Dr. Mahathir. Mereka langsung tidak boleh bersuara dan pilihan raya ini adalah tempat untuk mereka menyatakan perasaan masing-masing.

Terpulang kepada penceramah Barisan Alternatif (BA) menyusun program dan tangani isu dengan penuh kematangan. Usah gelabah dan usah bertindak keterlaluan. Semua wakil-wakil rakyat PAS di Kedah hendaklah memberikan tumpuan ke setiap peti undi dan muslimat hendaklah buat kerja dari rumah ke rumah.

Umno cukup tenat sekarang. Pindaan Perlembagaan parti itu yang sepatutnya menuju ke arah menarik minat golongan muda ternyata tidak menjadi. Para pengampu di dalam Majlis Tertinggi (MT) seperti Tajol Rosli Ghazali, Annuar Musa dan Ali Rustam mahukan tiada pertandingan dan Perdana Menteri dan Timbalannya mesti dikekalkan selagi ada hayat.

Mereka tidak mahu Dr. Mahathir turun kerana bagi mereka, tanpa Dr. Mahathir, mereka tidak akan dapat duduk sebagai Menteri Besar Perak dan Ketua Menteri Melaka.

Gunakan isu ini seluas-luasnya. Sampaikan mesej ini kepada ahli-ahli Umno di peringkat bawahan. Jika mereka tahu, mereka pasti akan menolak Umno dan BN. Mereka akan memilih calon-calon BA dalam pilihan raya.

Teluk Kemang merupakan satu kejayaan besar buat BA dan teruskan tekad itu. Korbankan wang, masa dan tenaga demi mencapai matlamat. Gunakan semaksimum tenaga dan kemampuan yang ada. Kita jumpa di Lunas, InsyaAllah.

 

habis