Oleh Pena Suasa

 

Lagi meninggalkan keADILan

 

KINI dua lagi ahli keADILan keluar dari parti ini. Kali ini di Sarawak. Kedua-duanya, Setiausaha keADILan Sarawak, Idris Bohari dan Ketua Bahagian Saratok, Henry Gerijih.

Seperti biasa, apabila seseorang keluar meninggalkan parti, mereka akan disertakan dengan kenyataan. Kedua-dua mereka ini menyifatkan keADILan sebagai sebuah parti “angan-angan dan berada dalam alam khayalan semata-mata”.

Siapa lagi selepas ini, kita tunggu dan lihat. Apakah keADILan akan mati, berkubur dan rebah dengan tindakan sebahagian mereka seperti Idris, Henry dan kalau di Semenanjung, Baharuddin Ali Masrom, Zul Azhar Cha, Zuraidi Rahim, Wan Idera Putra Ahmad dan Abdul Rahman Mohamad?

Cerita paling baru, bekas Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri yang kini sudah menjadi Setiausaha Politik Satu Perdana Menteri, Dato’ Johari Baharom sedang mengira-ngira (mempertimbangkan) sama ada mahu melayan permintaan Zuraidi Rahim, bekas Naib Ketua Pemuda keADILan Negeri Kedah yang bertindak keluar parti untuk mendapatkan wang RM10,000.

Kita cabar Dato’ Johari dan Zuraidi menafikan dakwaan ini segera kerana heboh di sekitar Putra Jaya sekarang, Zuraidi turun naik pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri, kerana manuntut wang RM10,000 seperti yang dijanjikan jika dia bertindak meninggalkan keADILan.

Zuraidi juga turun naik pejabat Menteri Belia dan Sukan, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato’ Hishamuddin Hussein, bagi membincangkan sesuatu mengenai “imbuhan” jika dia bertindak keluar keADILan.

Zuraidi, masih berhutang dengan beberapa pemimpin keADILan termasuk Mohd Ezam Mohd Nor dan Johari Abdul. Apakah dia menuntut imbuhan dari Johari dan Hishammuddin kerana mahu menjelaskan hutangnya kepada Mohd Ezam dan Johari atau, dia memang berperangai sedemikian… suka meminta duit dengan orang-orang politik.

Kita tengok, lama mana Zuraidi boleh meneruskan aktivitinya selepas meninggalkan keADILan? Adakah dia akan meninggalkan Umno pula selepas ini, setelah segala aktivitinya diketahui umum? Atau, ada tindakan besar yang bakal dibuatnya bersama-sama Zul Azhar Cha, bekas banduan yang dihukum kerana pecah amanah. Apakah Umno masih mahu menyimpan orang-orang seperti ini, dijadikan alat untuk mencaci keADILan?

Kita juga harus tengok ke mana selepas ini Wan Indra Putra Ahmad yang kini berkot dan bertali leher ke hulu dan ke hilir mencari simpati dengan mencaci keADILan. Dia turut mencaci Mohd Azmin Ali, ADUN keADILan Hulu Kelang yang dikatakan “tidak memberikannya wang lagi” selepas pilihan raya.

Di Johor, selepas Jaafar Ahmad, tauke filem porno dan Kamaruddin Kerawit meninggalkan keADILan, apakah mereka mendapat tempat di dalam Umno?

Kini, kita tengok berapa harga Idris dan Henry di Sarawak apabila tiba musim pilihan raya Dewan Undangan Negeri itu.

Seperti yang saya tulis terdahulu…jika nak keluar, silakan. Usah ditunggu lagi. KeADILan tidak menjanjikan apa-apa, kecuali mereka yang tahu erti kemungkaran, kezaliman dan keadilan. KeADILan bukan parti tempat mereka yang tidak tahu hujung pangkal, tidak tahu erti keikhlasan dan kejujuran. Ini bukan parti tempat orang-orang kecewa yang tidak mendapat tempat di lain-lain parti. Sebab itulah mereka (para pemimpin keADILan) berkali-kali menyeru; “Masuklah mana-mana parti, DAP boleh, PAS boleh, PRM boleh atau keADILan…,”

Tiada siapa mengajak mereka masuk keADILan kerana di depan mereka terdapat pilihan. Terdapat alternatif. Oleh yang demikian, jika mereka tersalah pilih, menyesal buat apa? Itu kebodohan sendiri dan kelemahan manusia.