Oleh Pena Suasa

 

Alahai… Umno Kedah

 

SAYA terbaca sebuah rencana mengenai Umno Kedah dalam sebuah akhbar mingguan. Masing-masing mengharapkan Menteri Besar, Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain akan dapat melakukan sesuatu yang mampu memberi kelebihan kepada parti itu menjelang pilihan raya umum 2004.

Apakah Umno Kedah sudah tiada pemimpin lain selain Syed Razak yang tidak ada kelulusan akademik ini?

Mengapa mereka, orang-orang Umno Kedah tidak menumpang pengaruh Presiden Umno, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad?

Dr. Mahathir adalah pemimpin Umno Malaysia. Dia tentunya ada pengelamanan dan kebolehan untuk membantu Kedah. Kalau dia tidak boleh berbuat sesuatu untuk Kedah, apa lagi yang hendak diharapkan kepadanya untuk menerajui Umno Malaysia?

Jika diibaratkan pemain bola, pemain-pemain hebat peringkat negerilah yang sepatutnya jadi pemain nasional. Jika dia gagal bermain di peringkat negeri, bagaimana dia boleh terpilih menjadi pemain nasional. Bagaimana dia boleh dilantik menjadi ‘kapten pasukan kebangsaan?’

Alahai…Umno Kedah. Nyawa mereka tinggal nyawa-nyawa ikan. Tercunggap-cunggap. Selain orang Kedah ada Presiden Umno, mereka juga ada Bendahari. Bendahari Umno ialah Tun Daim Zainuddin. Daim merupakan salah seorang anggota konspirator menjatuhkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dahulu. Mengapa tenaga dan kedudukan kewangannya tidak digunakan untuk membantu Umno Kedah jika Umno Kedah merasakan mereka tenat?

Atau, memang orang Umno Kedah sudah tahu bahawa Daim memang tidak laku dan tidak berguna di Kedah? Kalau Daim sering balik ke Kedah dan pergi ke kawasan lain, selain kawasan pilihan rayanya, Merbok, maka lebih nazak Umno Kedah dibuatnya.

Di Kedah ada seorang Exco bekas posmen. Namanya Othman Mat Aji. Dia ada dua isteri dan salah seorang isterinya, orang Kelantan cukup hebat berniaga. Othman kerap juga ke Kuala Lumpur untuk urusan perniagaan isterinya. Dia ni orang Bandar Baru-Kulim yang tidak tahu apa mengenai pentadbiran kerajaan. Kalau dia bercakap mengenai fotfolionya, ramai yang ketawa. Cakap-cakapnya tidak berasas dan nampak bodoh. Inilah tahap Exco Kedah yang diharapkan dapat membantu Syed Razak merampas semula kerusi-kerusi yang dimenangi PAS.

Cuba lihat wakil-wakil rakyat PAS, mereka profesional. Ada jurutera dan peguam. Di barisan Umno, ada yang tidak lulus LCE, ada posmen dan ada yang setakat ambil SPM tetapi tiada sijil.(PS)

Ditambah dengan pergolakan dalaman Umno Kedah, bertambah parahlah parti itu. Isnin, 21 Ogos 2000 lalu, Timbalan Perdana Menteri, Abdulah Ahmad Badawi khabarnya mahu ke Kedah untuk membantu kempen beberapa ‘orangnya’ yang mahu menguasai Umno bahagian tetapi dibatalkan disaat-saat akhir atas sebab-sebab tertentu.

Syed Razak khabarnya tidak dimaklumkan kedatangan Abdullah ini. Abdullah juga sudah melakukan perkara yang sama, datang ke kawasan orang tidak dimaklumkan kepada Ketua Bahagian. Paling baru, di Kuala Pilah. Dia ke situ tanpa pengetahuan Dato’ Abu Zahar Nika Ujang. Ini alamat dan tanda-tanda kejatuhan Umno menjelang 2004. Sama-sama kita perhatikan .

habis